PERSOALAN AGAMA 3: BAB PUASA


80. Soalan: Adakah sah berpuasa dengan tidak berbuka

Jawapan: Sah puasa


81. Soalan: Seorang yang uzur tidak dapat berpuasa hingga ke tahun berikutnya. Adakah wajib fidyah ke atasnya kerana terlewat qada'

Jawapan: Tidak wajib fidyah ke atasnya wajib qada' sahaja ke atasnya.


82. Soalan: Adakah pahala membaca AI-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain

Jawapan: Pahala membaca AI-Quran dan bersedekah dibulan Ramadhan adalah berganda.


83. Soalan: Bolehkah isteri membayar fidyah puasa suami yang telah meninggal dunia

Jawapan: Harus isteri membayar fidyah puasa suaminya yang telah meninggal tetapi yang terutamanya ialah anak-anaknya kerana anak-anaknya yang menerima asabah daripada pusakanya. Ini berpandu kepada Imam as-Subki yang telah memfidyahkan puasa keluarganya yang telah meninggal dunia.


84. Soalan: Hukum puasa orang yang terkentut dalam air

Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.


85. Soalan: Apakah hukum perempuan hamil berbuka puasa kerana takut menjejaskan kesihatan kandungannya 

Jawapan: Hukumnya harus


86. Soalan: Hukum mencantumkan puasa qadha' dengan puasa sunat

Jawapan: Hukumnya harus bahkan setengah ulama' mengatakan sunat.


87. Soalan: Hukum berniat puasa qadha' pada waktu pagi siang hari dan bagaimana niatnya 

Jawapan: Hukumnya tidak sah kecuali puasa sunat.


88. Soalan: Apakah hukum meninggalkan puasa kerana bersalin

Jawapan: Hukumnya wajib, jika perempuan yang bersalin itu ada darah nifas dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain tetapi sekiranya perempuan yang bersalin itu tiada darah nifas maka harus dia meninggalkan puasa kerana menjaga kesihatannya dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain.


89. Soalan: Bolehkah fidyah puasa dibuat jamuan kepada fakir miskin?

Jawapan: Tak boleh fidyah puasa dengan duit. Mengikut Mazhab Shafie fidyah puasa hendaklah dengan dikeluarkan beras secupak pada satu puasa dan tidak boleh ditukarkan kepada yang lain. Oleh itu hendaklah diberi beras, jangan ditukar kepada yang lain atau makanan supaya hak orang miskin ini tidak dapat diguna oleh orang-orang yang tidak berhak.


90. Soalan: Bolehkah berpuasa pada hari Arafah yang jatuh di hari Jumaat?

Jawapan: Sunat berpuasa di hari arafah walaupun berlaku hari Jumaat. Yang makruh berpuasa di hari Jumaat ialah semata-mata melakukan puasa sunat.


91. Soalan: Saya mahu qada' puasa di hari ini tetapi saya tertidur semalaman. Adakah boleh saya berniat di siang hari?

Jawapan: Tidak boleh, kerana niat puasa qada' dan nazar itu wajib dan niat puasa qada' dan nazar adalah di malam hari. Tidak sah selepas Subuh dan boleh berniat di siang hari hanya untuk puasa sunat sahaja.


92. Soalan: Apabila seseorang qadal puasa kemudian dia membatalkan puasanya dengan sebab kawan mengajak makan. Adakah dengan sebab yang demikian digandakan dua hari untuk puasa qadalnya?

Jawapan: Wajib dia puasa yang dibatalkan itu sahaja dan haram membatalkan puasanya.


93. Soalan: Adakah boleh qada' puasa pada 13 Zulhijjah?

Jawapan: Tidak boleh kerana 13 Zulhijjah dilarang berpuasa.


94. Soalan: Saya mahu Puasa qada' selama 10 hari. Adakah boleh saya berniat puasa di malam pertama puasa?

Jawapan: Tidak harus kerana sepuluh puasa qada' itu adalah puasa yang berlainan seperti orang tinggal sepuluh kali pada sembahyang Subuh. Maka sepuluh Subuh itu adalah lain di antara satu sama lain. Maka hendaklah berniat pada membuat tiap-tiap sembahyang yang sepuluh itu. Begitu juga dengan puasanya.


95. Soalan: Adakah boleh saya bagi fidyah puasa kepada satu orang?

Jawapan: Boleh.


96. Soalan: Ibu saya meninggal dunia pada hari yang ke sepuluh Ramadhan kerana sakit dan tidak dapat puasa. Apakah hukumnya?

Jawapan: Tidak dikenakan apa-apa fidyah kerana dengan sebab tidak ada masa untuk dirinya mengqada'kan puasanya.

97. Soalan: Apakah pada bulan Muharram itu ada hari diharamkan berpuasa?

Jawapan: Tidak ada, harus berpuasa sepanjang bulan.


98. Soalan: Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?

Jawapan: Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.


99. Soalan: Bolehkah puasa sepanjang tahun selain dari 2 hari raya dan hari-hari tasyrik?

Jawapan: Boleh berpuasa bahkan sunat berpuasa sekiranya kuasa dan tidak terjejas tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.


100. Soalan: Kenapakah awal puasa dan hari raya tidak sama di antara negara-negara Islam di dunia.

Jawapan: Awal puasa dan hari raya tidak sama kerana tidak sama matlaknya, tidak boleh disamakan waktu seperti waktu sembahyang contohnya di negara kita sudah masuk waktu Isyak tetapi di Mekah belum Maghrib lagi.


101. Soalan: Adakah boleh berpuasa sunat di hari Jumaat?

Jawapan: Boleh tetapi makruh puasa hari Jumaat sahaja kecuali dihubungkan dengan hari sebelum atau hari selepas. Sekiranya hari itu jatuh hari sunat berpuasa seperti sepuluh Muharram maka disunat berpuasa.


102. Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa dan makan kerana terlupa?

Jawapan: Sah puasanya kerana makan dengan tidak sengaja. 

[Sumber: klikkhas.bharian.com.my ~ laman web JAKIM]

No comments:

Post a Comment