Siyasah Syar'iyyah Melalui Kacamata Imam Hasan Al-Banna (Bhg. 1)

Beberapa elemen yang cukup penting yang mewarnai gerakan dakwah Islam pada era kolonialisme adalah munculnya kesedaran kebangkitan nasional dan perjuangan menuntut kemerdekaan yang digerakkan oleh pertubuhan Islam. Salah satu pertubuhan yang sangat penting itu adalah Ikhwanul Muslimin.Pertubuhan ini diasaskan pada tahun 1928 M di daerah Ismailiyyah Mesir.[1]

Pengasas pertubuhan Ikhwanul Muslimin adalah Hasan al-Banna, salah seorang tokoh karismatik yang oleh beberapa pengkaji dan kalangan akademik disebut sebagai tokoh yang terlahir sebagai perumus metodologi pemikiran keagamaan yang bebas daripada aliran keagamaan yang pada kebiasaanya dijelmakan antara aliran reformis dan konservatif.[2] 

Beliau juga dikenali menguasai multidisiplin keilmuan dan penuh bakat sebagai penulis yang prolifik, penceramah yang disegani dan pendakwah dan pemimpin yang gigih dan ikhlas tanpa mengenal takut.Kemunculan Ikhwan dalam gerakan dakwah dan dalam percaturan politik Mesir banyak diwarnai dengan masalah yang mempunyai impak secara langsung kepada masyarakat Mesir ketika itu. Antara faktor-faktor kemunculan Ikhwan itu adalah, wujudnya pemerintahan kolonial Inggeris, sistem monarki, dinamika perkembangan parti politik dan kekuatan massa sebagai agent of social change.[3] 

Sejak menjajah Mesir pada tahun 1882, Inggeris telah mendominasi kepada semua aspek kehidupan masyarakat Mesir dan sistem pemerintahannya dengan mendominasi sektor ekonomi, politik, budaya dan pendidikan. Menurut Hasan al-Banna, pendudukan Inggeris di Ismailiyah menjadi pencetus kepada terbentuknya pertubuhan Ikhwan yang dilihat akan membawa kepada kehidupan umat Islam yang jauh lebih baik dan terwujudnya kemuliaan umat dengan bersama-sama berbai’ah kepada Allah menjadi bala tentera dakwah Islam.[4]

Dalam konteks ini, perbincangan juga akan menjurus kepada pemikiran Hasan al-Banna tentang siyasah syar’iyyah yang menjadi teras kepada gerakan dakwah Ikhwan. Sebagai pengasas dan ideolog Ikhwan, Hasan al-Banna merupakan individu penting yang banyak mencorakkan karakter dan halatuju Ikhwan dalam mendepani arus besar dakwah Islam. Meskipun mempunyai peranan dan kedudukan yang berbeza, akan tetapi Hasan al-Banna dan Ikhwan begitu sinonim dan sangat berkait rapat di antara satu sama yang lain. Perbincangan juga akan mencuba melihat setakat mana pengaruh pemikiran Hasan al-Banna mempunyai impak terhadap corak dan pendekatan kerajaan dalam menangani perkara Islam dan pengaruhnya kepada gerakan dakwah di Malaysia.

Wacana Konsep Siyasah Syar’iyyah
Diskusi mengenai siyasah syar’iyah tidak lari daripada perbincangan tentang sistem politik dan tata cara mengelola negara dan masyarakat berdasarkan prinsip-prinsip syariah Islam. Secara lebih mudahnya, siyasah syar’iyah dapat diertikan sebagai politik hukum Islam. Dalam hal ini, politik hukum Islam berkait rapat dengan aspek-aspek pelaksanaan pemerintahan, tata cara pelaksanaan, aturan hukum, prinsip-prinsip yang akan dijadikan parameter dan ruang lingkupnya. Beberapa ulama dan sarjana Islam dari zaman klasik sehingga zaman kontemporari telah memberikan wacana yang cukup mendalam mengenai konsep siyasah syar’iyyah. Meskipun beberapa ulama memberikan penghuraian yang bermacam-macam dan menggunakan perspektif yang berbeza, namun semuanya bermuara kepada syariah Islam sebagai teras utamanya.Menurut Ibn Khaldun (meninggal 808 H), siyasah syar’iyyah adalah satu mekanisme untuk menjalankan pentadbiran negara dan pelaksanaan hukum-hukum, merancang dan meminda peraturan dan undang-undangnya.[5] 

Bagi melaksanakan siyasah syar’iyah ini, Ibn Khaldun menggagas dua kaedah yang perlu dipakai. Pertama, bersandarkan kepada prinsip-prinsip dan ketentuan syariat yang diturunkan Allah di mana ia wajib dipatuhi dan ditaati tanpa reserve berdasarkan kepada konsep keimanan dan pembalasan di akhirat kelak. Kedua, bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliah) yang juga wajib dipatuhi. Kewajiban mematuhi siyasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat luas.Ibn Khaldun juga berhujah bahawa kerajaan yang berasaskan kepada ketentuan syariat akan menzahirkan tatanan sosial masyarakat yang harmonis, sejahtera dan berkeadilan sebagaimana yang menjadi tujuan syariat itu sendiri. Sedangkan bagi pemerintah atau Sultan yang mengabaikan syariat sebagai sistem politiknya, maka kehidupan masyarakat dan negara terancam dengan kehidupan yang tidak stabil, keharmonisan antar puak dan golongan sentiasa menjadi momok yang menakutkan dan menjadi bom waktu yang sewaktu-waktu boleh meletus, kekerasan dan paksaan menjadi santapan rutin masyarakat dan kesan negatif lain. Ini kerana kerajaan yang tidak menerapkan syariah sebagai tunggak utama pemerintahan, maka ia hanya lebih banyak memberi faedah kepada elit pemimpinnya dibanding membela rakyatnya dan kepentingan awam lainnya. Oleh sebab itu, Ibn Khaldun berpendapat siyasah syar’iyyah sebagai peraturan-peraturan kerajaan yang selaras dengan ketentuan syariat dan apapun peraturan yang dijalankan masyarakat yang dapat memenuhi kehendah syariah Islamiyyah.[6]

Sedangkan Ibn Abidin (meninggal 1252 H) mendefinasikan siyasah syar’yiyah ialah sebagai satu mekanisme yang mempunyai visi dan misi untuk membaiki kondisi rakyat dengan cara membimbing rakyat ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat.[7] 

Dalam hal ini, Ibn Abidin lebih menitikberatkan pengertian siyasah syar’iyyah kepada implementasi hukum syariah. Peraturan dan undang-undang yang diciptakan bertujuan untuk menciptakan masyarakat yang harmoni dan stabil. Oleh sebab itu, penggunaan takrif siyasah dalam pengertian Ibn Abidin adalah menjadikan hukum Islam sebagai sumber supremasi hukum agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengambil kira latar belakang status sosial seseorang. Hal ini termasuk memberikan hukuman yang berat termasuk hukuman mati kepada pelaku jenayah yang bertujuan untuk menimbulkan rasa serik di kalangan pelakunya.Seni memerintah, ketelitian, kecermatan dan kecerdikan dalam membuat dasar-dasar kerajaan dan kepentingan masyarakat umum yang mana semuanya dipandu dengan ketentuan syariat dan menekankan pentingnya aspek maqashid syariah merupakan intipati daripada pemikiran dan teori yang dikemukakan oleh Muhammad Naim Yasin.[8] 

Teori ini juga diperkukuh dengan penjelasan Abdul al-Al Atwah yang menambahkan bahawa konsep siyasah syar’iyyah hanya berkisar di dalam wilayah ijtihadi sahaja. Di dalam ushul fiqh dikenali dengan istilah dalil yang diperdebatkan (dzanni al-dalalah). Sedangkan bagi perkara-perkara yang sifatnya prinsip dan sudah pasti (qath’i al dalalah), penggunaan siyasah dalam wilayah ini tidak dibenarkan lagi. Dalam istilah Al Atwah, siyasah syar’iyah adalah tindakan yang diambil oleh kerajaan berdasarkan maslahah dalam perkara-perkara yang tidak dijelaskan oleh nas secara langsung dan dalam perkara-perkara yang sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan waktu, tempat dan keperluan manusia.[9]

Dalam konteks kontemporari, Yusuf Qardlawi mendefinisikan siyasah syar’iyyah sebagai sistem politik yang menjadikan syariat sebagai teras, kembali dan bersandar kepadanya, mengaplikasikannya di muka bumi, menancapkan ajaran-ajaran dan prinsipnya di tengah manusia, sekaligus sebagai matlamat dan sasarannya, sistem dan tatacaranya. Tujuannya berdasarkan syariat dan sistem yang dianut berdasarkan syariat.[10]

Pandangan Yusuf Qardlawi yang semua halatuju dan visi politiknya adalah bertunjangkan syariat merupakan reaksi dan antitesis daripada pemikiran sekuler dan liberal yang banyak dilaksanakan di dunia Islam belakangan ini. Beliau sama sekali menolak cara dan sistem negara yang didasarkan kepada sistem yang memisahkan syariat di dalam menjalankan pentadbirannya. Oleh sebab itu, tidak ada tolak angsur dalam hal pengertian tentang istilah politik selain dalam perspektif syariah sebagai acuan utamanya. Kritik keras yang dilontarkan oleh Yusuf Qardlawi terutama dihalakan kepada pengertian politik yang digagas oleh Machiavelli. Pengertian dan falsafah politik Machiavelli yang bertunjangkan kepada penyingkiran moral dan menghalalkan segala cara bagi mencapai tujuan politiknya. Kaedah mengadu domba, berdusta, menebar fitnah, pembunuhan karakter (caracter assasination), menganiaya, mengancam, menyingkirkan dan sampai kepada pembunuhan lawan-lawan politiknya merupakan norma yang biasa dalam politik yang tidak menyertakan elemen-elemen syari’ah dalam praktik politik.[11]

Daripada beberapa pandangan yang diberikan oleh ulama dan pemikir Islam tentang siyasah syar’iyyah dapat dipahami bahawa kerajaan di samping memiliki kekuasaan untuk menerapkan hukum Allah, ia juga memiliki autoriti untuk membuat pelbagai peraturan hukum berkaitan dengan perkara yang tidak diatur syariah secara eksplisit dan terperinci. Siyasah syar’iyyah diatur oleh manusia sepanjang hal itu sejalan dan tidak bertentangan dengan hukum dan ajaran syariah. Kuasa untuk menetapkan hukum syarak adalah hak Allah. Dia adalah pencipta umat manusia dan pembuat syariah. Pernyataan eksplisit Al-Qur’an banyak yang global (mujmal). Ia juga boleh dilihat sebagai respons perundangan terhadap kehidupan manusia yang sentiasa dinamik. Sementara penjelasan Hadist yang berkaitan dengan masalah politik dan kenegaraan sangat terkait dengan situasi zaman, lingkungan dan keadaan sosial tertentu. Dengan demikian, diperlukan ijtihad sebagai penjelasan lebih lanjut terhadap tuntutan nash, dan sebagai jawapan terhadap pelbagai persoalan yang secara langsung belum tersentuh oleh kedua sumber hukum utama tersebut. (bersambung).
----------------------------------
RUJUKAN:

[1] Tahun 1928 M nampaknya menjadi tahun yang disepakati oleh kebanyakan para pengkaji tentang sejarah terbentuknya Ikhwanul Muslimin. Hal ini kerana ada pendapat lain yang mengatakan bahawa tahun 1929 sebagai tahun terbentuknya Ikhwan berdasarkan adanya peringatan 10 tahun Ikhwan pada Januari 1939 sebagaimana yang diperbetulkan oleh F Rosenthal dalam karya tulisnya yang berjudul “The Muslim Brethern of Egypt”. Namun begitu, di kalangan dalaman Ikhwan sendiri, sama ada di kalangan ahli jawatan kuasa organisasi mahupun di kalangan ahli, meyakini tahun 1928 sebagai tahun kelahiran Ikhwanul Muslimin sebagaimana yang termaktub dalam artikel 1 perlembagaan Ikhwan. Lihat Richard Paul Mitchel, Masyarakat Al-Ikhwan Muslimun: Gerakan Dakwah Al-Ikhwan di Mata Cendekiawan Barat, Solo: Era Intermedia, 2005, catatan kaki 19, hal: 12. Ada juga penulis lain yang menyebut 1927 sebagai tahun berdirinya Ikhwan. Akan tetapi, nampak sekali kalau penulisan ini tidak tepat dan cenderung cuai dalam meletakkan tarikh sejarah pertubuhan Ikhwan. Ini kerana dari data-data yang tersedia, tidak ada penetapan tahun 1927 sebagai tahun kelahiran Ikhwan. Lihat, Zulkifili Mohamad Al Bakri dan Mohd Faisal Fadzil, Al Syahid Hasan al- Banna Pengasas Ikhwan Muslimin, Ampang: Dawama Sdn Bhd, 2010, hal: 64.
[2] Rahmat Abdullah, Al-Ikhwan Al-Muslimun Madrasah dengan Sejumlah Besar Lulusan, Kata Pengantar dalam Raa’uf Syalabi, Diva Yang Tenang Lahirkan Ide yang Cemerlang, Jakarta: Nuansa Press, 2005, hal: 9.
[3] Utsman Abdul Aziz Muiz Ruslan, Pendidikan Politik Ikhwanul Muslimin: Studi Analisis Evaluatif terhadap Proses Pendidikan Politik Ikhawan untuk para Anggota Khususnya dan Seluruh Masyarakat Mesir Umumnya dari Tahun 1928 hingga 1954, Solo: Era Intermedia, 2000, hal: 143-150.
[4] Richard Paul Mitchel, op.cit. hal: 13.
[5] Dalam membahas tentang siyasah syariyah ini, sebenarnya Ibn Khaldun tidak menggunakan istilah tersebut. Beliau hanya menghuraikan praktik politik yang harus dilandasi oleh kerangka syariat sebagai panduannya. Bingkai syariat ini yang menjadi pedoman yang dipenuhi dengan norma-norma, etika dan moral dalam menjalankan politik dan pembangunan masyarakat dan negara. Huraian tentang etika politik Ibn Khaldun dimuat dalam bab tentang pembangunan manusia memerlukan sistem politik yang dapat mengendalikannya. Lihat Ibn Khaldun, Al Muqaddimah, Beirut, tt, hal: 302-311.
[6] Ibid.
[7] Ibn Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al Durr al Mukhtar, Juz 4, Beirut, hal: 15.
[8] Dikutip dalam Shukeri Mohammad, Siyasah syar’iyyah dalam Pentadbiran Negara, Buku Prosiding Diselenggarakan oleh Jawatankuasa Seminar Pelaksanaan Siyasah syar’iyyah dalam Konteks Semasa 2011Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri, hal: 14.
[9] Abdul al- Al Atwah, Al Madkhal ila al-Siyasah al-Syari’yyah, Riyadh, 1993, hal: 44.
[10]Yusuf Al Qardlawi, Pedoman Bernegara dalam Perspektif Islam, diterjemahkan dari As-siyasah Asy-Syar’iyyah, penterjemah Kathur Suhardi, Jakarta: Penerbit Al Kautsar, 1999, hal: 33.
[11] Ibid., hal: 34.

Oleh: Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
(sumber: wasatiyyah.my)

No comments:

Post a Comment