Part 1: Suka Duka Gerakan Islam "Ikhwanul Muslimin"

Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk. Pergerakan Pembebasan Wanita Mesir menjadi bertambah kuat apabila wanita kelas atasan Mesir memberontak; enggan memakai purdah. Mereka memakai fesyen Eropah, menghadiri temasya sosial yang bercampur bebas antara lelaki dan perempuan, samada secara tertutup ataupun terbuka. Mereka juga mendesak supaya wanita mempunyai hak yang setaraf dengan lelaki di dalam soal kemasukan ke Universiti.

Semuanya ini berlaku di waktu Hassan Al Banna mencatitkan rasa kebimbangan beliau serta rakannya terhadap kebimbangan ini. "Hanya Allah yang mengetahui berapa malamkah kita berbincang tentang keadaan negara dan hubungannya dengan segala lapangan hidup rakyat. Apakah kesan dari penyakit masyarakat dan bagaimana untuk menyelesaikannya ? Kami berbincang dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Sebelum kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dengan panjang lebar sekali, tetapi alangkah terkejutnya kami apabila kami bandingkan keadaan ini dengan mereka yang tidak kisah kepada apaapa, yang asyik bersenang-senang di kedai kopi."

Dalam catitan yang sama, Sheikh Hassan Al Banna mengakui bahawa keputusan menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Beliau menganggap bahawa masjid dan khatib khutbah sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini. Ulamak-ulamak yang ada tidak terdaya untuk menahan serangan dari Puak Modernist selain dari melabelkan mereka murtad. Yang malangnya terdapat juga manusia yang digelar 'ulamak' tetapi terlalu mudah untuk bertolak ansur dengan pemerintah dari segi prinsip agama dengan tujuan untuk memuaskan hati taghut-taghut ini. Ulamak Khahirah jatuh ke lembah yang paling menghinakan apabila mereka menyetujui fatwa yang diberi oleh Rektor Universiti al Azhar bahawa Raja Farouk adalah layak untuk memerintah dan layak digelar Khalifatul Mu'min atas alasan "beliau adalah seorang Islam dan datang dari keturunan Rasulullah S.A.W.".

Dengan tekad bersungguh-sungguh dan sedaya upayanya Sheikh Hassan al- Banna terus menubuhkan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin demi untuk menyelesaikan nasib yang malang itu. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya. Apa yang dilakukan oleh Hassan Al Banna bercita-cita untuk menubuhkan satu harakah Islam 
yang syumul yang akan membimbing seluruh generasi dengan prinsip-prinsip Islam yang menyentuh semua aspek hidup seperti politik, ekonomi dan sosial. 

[sumber: nowwhytwo.wordpress.com ~ penulis: Maryam Jameela dgn Terjemahan: Nazri Mohd. Amin]

No comments:

Post a Comment