Part 4: Suka Duka Gerakan Islam "Ikhwanul Muslimin"

Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir. Matlamat Ikhwanul Muslimin ialah untuk mendirikan masyarakat dan negara Islam di mana Syariah Islam menjadi undangundang negara. Hassan al Banna berkata :

"Kita tidak akan berdiam diri dan bersenang hati atau berhenti selagi Qur'an benar-benar menjadi perlembagaan negara. Kita akan hidup untuk mencapai matlamat ini atau mati dalam usaha melaksanakannya".

Al Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undangundang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah.

Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya :
"Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".

Di dalam jawapan kepada salah seorang pemimpin politik di zamannya, beliau berkata :
"Kami mengajak kamu kepada Islam, ajaran Islam, undang-undang Islam dan petunjuk Islam. Kalau ini dianggap politik oleh kamu maka inilah politik yang kami perjuangkan". 

Oleh kerana Demokrasi tulin tidak wujud di Mesir, Hassan al Banna memerintah supaya semua parti politik dibubarkan termasuk Sistem Parlimen kerana ini semua tidak menghasilkan apa-apa melainkan keruntuhan moral dan perebutan kuasa. Hassan al Banna dan pengikutnya berkeyakinan bahawa tidak ada satu pun parti politik Mesir yang wujud di zaman Raja Farouk benar-benar ingin melaksanakan undang-undang Islam atau cinta kepada Islam. Ikhwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa
yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.

Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu. Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa.

Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu. Presiden Gamal Abdul Nasser pernah berkata :
"Saya telah bertemu dengan Ketua Penasihat Ikhwanul Muslimin yang telah membuat beberapa tuntutan kepada saya. Perkara pertama yang dia mahu ialah semua wanita diwajibkan menutup aurat. Dia juga mendesak supaya ditutup semua panggung wayang dan tempat pementasan. Dengan lain perkataan dia mahu supaya hidup kita gelap dan mendung. Sudah tentulah menjadi perkara mustahil untuk kita melaksanakannya".
[sumber: nowwhytwo.wordpress.com ~ penulis: Maryam Jameela dgn Terjemahan: Nazri Mohd. Amin]

No comments:

Post a Comment