Ibadah Dan Budaya Kerja

Ruang lingkup ibadah di dalam Islam amat luas sekali, dan ianya merangkumi setiap kegiatan kehidupan manusia. Setiap aktiviti yang dilakukan baik yang berkaitan dengan individu mahupun dengan masyarakat adalah ibadah menurut Islam selagi mana ia memenuhi syarat-syarat tertentu.
Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :
1. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam, bersesuaian dengan hukum-hukum syarak dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun amalan-amalan yang diingkari oleh Islam dan ada hubungan dengan yang haram dan maksiat, maka tidaklah sekali-kali dianggap sebagai ibadah.
2. Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik bagi tujuan untuk memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya dan bagi memakmurkan bumi sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.
3. Amalan tersebut mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w."Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya." (Muslim)
4. Ketika membuat amalan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syarak dan ketentuan batasnya, seperti tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.
5. Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat dan sebagainya dalam melaksanakan ibadah-ibadah umum yang lain.
Firman Allah : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah, barangsiapa berbuat demikian, maka mereka sebenarnya orang-orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, 9)
Firman Allah : "Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli dari mengingati Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat." (Surah al-Nur, 37)
Oleh itu, apabila seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan kehidupannya, maka dia akan dikira sentiasa beribadah kepada Allah meskipun dia tidak duduk dalam masjid ketika melakukan kerja-kerja tersebut.

Budaya Kerja Islam
Secara umumnya, budaya kerja membicarakan tentang aliran pemikiran, perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalankan kerja. Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri-ciri yang berikut dalam susunan dan pelaksanaan tugas sesebuah masyarakat.
Pertama, oleh sebab pekerjaan dianggap sebagai satu tuntutan keagamaan dan merupakan ibadah, maka organisasi dan pekerja Muslim sewajarnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi pekerjaannya. Kualiti prestasi pekerjaan merupakan nilai positif yang sentiasa boleh dimajukan. Ia merupakan usaha yang berterusan untuk semua lapisan masyarakat Islam.
Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman (built-in mechanism) iaitu menjadikan usaha dan menjalankan pekerjaan sebagai satu tuntutan keagamaan. Dengan ini jelaslah bahawa keimanan dan prestasi pekerjaan mempunyai hubungan yang rapat. Bagi seseorang pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, beliau seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerjaya dari semasa ke semasa.
Mekanisme dalaman ini sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi bagi setiap pekerja Muslim. Walau bagaimanapun, menurut realiti semasa, pekerja Muslim tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat amalan bekerja sebagai sesuatu yang terpisah daripada agama.
Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan supaya faktor-faktor yang terdapat dalam diri manusia disatukan. Ini bererti, setiap pekerja Muslim perlu menjaga dan mempertingkatkan akhlak dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya. Peningkatan prestasi kerja seharusnya disusuli oleh peningkatan akhlak pekerja.
Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang bersifat positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak yang positif kepada kemajuan pekerjaan dari semua dimensi. Oleh itu, Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersifat kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa akhlak yang mulia dan budi pekerti yang tinggi, prestasi kerja akan mengalami kemelesetan.
Ketiga, budaya kerja Islam memberikan penekanan yang tinggi terhadap disiplin. Umat Islam sepatutnya melalui penghayatan ibadat khusus, seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki disiplin yang tinggi. Masyarakat tanpa amalan disiplin yang tinggi pasti akan menghadapi krisis kemanusiaan.
Sebagai contoh, Islam memberikan perhatian khusus tentang pengurusan kuasa, masa dan sumber. Islam mengutuk dengan sekeras-kerasnya golongan yang tidak menggunakan kuasa (authority) dengan efektif dan tidak menghormati masa (surah al-`Asr). Begitu juga dengan penggunaan sumber-sumber alam yang lain. Allah menyamakan amalan mereka yang membazir dengan amalan syaitan.
Keempat, budaya kerja Islam menepati semangat tauhid yang menganjurkan kesatuan dalam matlamat dan penghayatan syura dalam masyarakat. Sehubungan itu, Islam menganjurkan budaya kerja secara bermuafakat dan berpasukan. Pada hakikatnya, keberkesanan dalam menjalani pekerjaan akan tercapai melalui semangat bekerja secara bermuafakat dan berpasukan.
Sebagai kesimpulannya kita boleh katakan budaya kerja dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat dengan semangat pengabdian manusia yang sepenuhnya kepada Pencipta iaitu Allah s.w.t. Asasnya ialah tauhid dan pendekatan ini sesuai dengan nilai kemanusiaan. Islam berkeyakinan bahawa semua urusan manusia termasuk menjalankan tugas atau pekerjaan akan membawa hasil yang cemerlang dan berkekalan jika ia menepati nilai kemanusiaan. Justeru itu, penghayatan nilai tauhid menepati nilai kemanusiaan.
Fitrah kemanusiaan ialah nilai yang berkekalan selagi manusia tetap manusia. Jika perlu, penyusunan dan teknik menjalankan sesuatu pekerjaan yang dinamik dan bersesuaian dengan perubahan masa serta tempat perlu dipelajari dari bangsa yang maju dan diubahsuai menurut kaedah tempatan. Penghayatan nilai murni dan etika kerja dalam perkhidmatan atau pekerjaan merupakan pendekatan yang dinamik dan akan terus relevan dengan usaha manusia.

(Sumber: IKIM ~ Ditulis oleh Abu Bakar Bin Yang. Posted in Artikel)

No comments:

Post a Comment