Iman Tidak Boleh Dipaksa

Firman Allah SWT yg bermaksud:
"Tiada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kekesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." Surah al-Baqarah ayat 256

Kita mungkin boleh memaksa manusia makan atau bercakap, atau bergerak, atau diam, atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini seperti memaksa seseorang mempercayai apa yang dia tidak percaya atau meragui apa yang dia yakin atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.
Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk seseorang mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hati atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak. Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain.
Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.
Wallahualam.

[sumber: Bab 20; buku Penawar Duka Pengubat Sengsara ~ Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr MAZA)]

No comments:

Post a Comment