Kebesaran Allah SWT; Bencana Di Bumi Filipina

Firman Allah SWT dalam surah AL-Ankabut ayat 38-40 yang bermaksud:

Dan (ingatkanlah peristiwa kebinasaan) Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan) Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah). 
Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah). 
Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. 


Tanggal 8 November 2013 hari Jumaat (awal pagi), dunia telah dikejutkan dengan taufan yang paling dahsyat pada tahun ini dengan kelajuan antara 275 hingga 375 km/jam bergerak menuju wilayah Cebu dan pulau pelancongan (Boracay, Leyte, Samar), Tacloban City serta beberapa kampung berdekatan (kira-kira 600km di barat daya Manila) di Filipina. Kira-kira 10,000 penduduk telah meninggal dunia dan mayat bergelimpangan di kiri kanan jalan. Hampir 1.4 rakyat terjejas di wilayah berkenaan dan terdesak mendapatkan perlindungan serta bantuan kemanusiaan. Walaubagaimanapun lebih 125,000 rakyat telah berjaya dipindahkan sebelum ini setelah mendapat amaran tentang bencana alam ini. Kelajuan angin taufan berkenaan telah menyebabkan ombak setinggi 5-6 meter dan rata-rata penduduk yang dilanda musibah mengatakannya seperti TSUNAMI. Serangan Taufan Haiyan ini berlaku kurang sebulan dari kejadian gempa bumi yang melanda Filipina pada 15 Oktober lalu. Gempa bumi yang berukuran 7.2 pada skala Ritcher telah mengorbankan 222 orang penduduk manakala beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.




INFO ~Berikut adalah kategori angin/ribut/taufan:

Kategori 1. (angin yang sangat berbahaya dan akan menghasilkan sedikit kerosakan)
- Kelajuan angin 33-42 m/s , 119-153 km/j

Kategori 2. (angin yang amat berbahaya dan membawa kerosakan besar)
- Kelajuan angin 43-49 m/s , 154-177 km/j

Kategori 3. (kerosakan dahsyat akan berlaku)
- Kelajuan angin 50-58 m/s , 178-208 km/j

Kategori 4. (kemusnahan ngeri akan berlaku)
- Kelajuan angin 58-70 m/s , 209-251 km/j

Kategori 5. (kemusnahan bencana akan berlaku)
- Kelajuan angin >70 m/s, >251 km/j

Alam ialah gabungan keadaan-keadaan luaran yang mempengaruhi kehidupan setiap organisma (Zaini Ujang 1998: 1). Alam, secara relatifnya berhubung kait dengan tingkah laku manusia. Hal ini demikian bermakna, segala tingkah laku dan aktiviti manusia di muka bumi ini akan memberi kesan kepada alam. Fenomena alam sejak akhir-akhir ini mula menunjukkan perubahan yang drastik ekoran sifat rakus manusia. Keadaan ini telah menghasilkan ketidakseimbangan antara manusia dengan alam. Hasilnya, bencana pula yang menjelma. Fenomena ketidakseimbangan ini dibuktikan oleh penduduk Afrika Selatan yang kini sudah ‘pandai’ memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis akibat cuaca panas melampau, tidak ketinggalan juga beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegar negara China. Dalam pada itu, banjir yang berterusan banyak menelan korbannya bermula dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India (http://www.yadim.com.my/Sains/SainsFull.asp?Id=83).
Kebanyakan bencana alam yang berlaku di serata dunia sering dikaitkan dengan pemanasan global. Perkara ini sangat membimbangkan walaupun secara hakikatnya, tidak semua bencana alam berpunca daripada peningkatan suhu bumi. Persoalan yang timbul; Mengapakah hal seperti ini boleh berlaku? Adakah dunia sudah semakin tua atau sudah sampai ke penghujungnya? Apakah yang akan terjadi jika keadaan ini berterusan? Inilah antara persoalan yang masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan saintis demi survival penduduk dunia yang sudah menjangkau lebih daripada enam bilion penghuni. Dalam era industri sains dan teknologi yang berkembang pesat, manusia mampu mengecapi nikmat kesejahteraan hasil hubungan mereka dengan alam sekitar. Dalam masa yang sama jugalah, manusia hampir lupa untuk mengamati dan peka terhadap pencemaran alam yang menyebabkan bencana alam berlaku.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Surah Ar-Ruum; 41

Kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar juga penting bagi menjamin kestabilan ekosistem alam sekitar. Selagi ada perancangan baik bagi mengawal segala kebarangkalian terhadap bencana alam, maka segala perancangan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Oleh yang demikian, langkah untuk mengawal kejadian bencana alam perlulah lebih komprehensif dan lebih serius terhadap keseimbangan dan pembangunan yang lebih mampan, di samping mengkoordinasikan pendekatan secara struktur.


Sentiasa berwaspada dengan alam yang nampak tenang selama ini mampu menjadi sebaliknya. Kuasa Allah SWT dapat melakukan apa sahaja dalam sekelip mata; pasti ada sesuatu sebab sesuatu perkara itu berlaku dan pasti juga ada hikmahnya untuk pengakhirannya.
Wallahualam

[sumber: pelbagai ~ media & Blogger]

No comments:

Post a Comment