Teman & Sahabat

Bila bicara tentang kehidupan, sukar untuk kita ungkapkan dengan kata-kata. Sememangnya, kehidupan itu unik. Kehidupan di dunia yang penuh dengan suka dan duka. Ilmu untuk hidup di dunia, bukan sekadar menuntut ilmu di taska, tadika, sekolah dan university. Ilmu untuk kekal berdiri di dunia ini ada di sekitar dan sekeliling kita. Menerusi apa yang kita lihat, apa yang kita dengar dan juga apa yang kita lalui di setiap hari.
Dalam mengenali manusia-manusia yang hadir dalam kehidupan kita, itu juga satu ilmu yang tidak ada dalam sukatan pelajaran kita di sekolah. Kalau zaman dulu-dulu, ayat yang selalu dikeluarkan adalah, “rambut sama hitam, tapi hati lain-lain”. Tapi, zaman sekarang dah tak boleh pakai ayat tuh lagi. Tengok rambut yang dah tak sama hitam (sebab ada yang dye rambut merah, kuning, hijau, oren dan kadang-kadang sampai rambut berkarat..erkk!), apa tah lagi hati manusia yang kita tak nampak kan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar." Surah AtTaubah~Ayat 119.
Berkawan biar seribu, kerana dalam seribu tu, belum tentu ada seorang pun yang bergelar sahabat sejati kita. Kenalan, kawan dan sahabat, bagi saya dua perkataan yang jauh berbeza maknanya walaupun kelihatan serupa. Kita boleh ada ramai kenalan, sesiapa yang tahu nama kita, sedikit tentang latar belakang kita, itulah namanya kenalan. Tapi kenalan tak semestinya mengetahui segala tentang diri kita.
Seorang kawan pula dia hampir serupa dengan seorang sahabat. Perbezaannya mungkin ramai yang tahu. Masa senang dan susah, itulah yang akan jadi perbezaan seorang kawan dan sahabat. Ramai yang akan menggelar diri mereka kawan kita pabila kita senang. Tapi apabila kita diuji dan dalam kesusahan, bilangan kawan yang ramai pada permulaannya mungkin tak sampai 3-4 orang sahaja. Itu normal. Tak semua orang akan ada disisi kita bila kita dalam kesusahan. Hanya yang betul ikhlas dan sayang kita sebagai kawannya, akan sentiasa ada walau apa pun jua keadaan kita.
Dalam 3-4 orang sahabat tuh pulak, akan ada hanya seorang sahabat sejati dalam hidup kita. Sahabat sejati yang memahami kita walaupun kita tak bercakap dengannya. Yang mengetahui segala isi hati kita tanpa kita perlu meluahkannya. Yang tahu kita sedang bersedih walaupun kita tersenyum dan ketawa depannya. Yang tak sanggup biarkan kita bersedih sendirian dan sanggup berkorban untuk memastikan kita tersenyum semula. Yang tahu cara untuk menggembirakan hati kita ketika sedang stress. Yang akan setia dan sentiasa ada di samping kita hingga ke akhir hayat  kita. Dan mungkin ada yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi memastikan sahabat sejatinya hidup dengan tenang. Yer, bunyi seperti orang yang sedang hangat bercinta. Tapi, ikatan persahabatan yang ikhlas dari hati, kasih sayang yang tulus dari jiwa akan lebih kukuh dan kebal dari ikatan cinta. Lebih-lebih lagi cinta yang tidak halal (tanpa ikatan perkahwinan).
Sahabat sejati inilah yang amat sukar untuk kita temui. Dan mungkin kita tak akan dapat temui sekiranya kita mengabaikan mereka yang ikhlas untuk bersahabat dengan kita. Sahabat sejati itu tak semestinya punya criteria dan minat yang sama seperti kita. Mereka tak semestinya baik seperti kita (andai anda tergolong dalam budak baik) dan tak semestinya nakal seperti kita (andai anda tergolong dalam budak yang nakal).  Kerana, perbezaan itu lah yang akan menyatukan anda dan menjadikan ukhuwah persahabatan lebih teguh. Jadi, jangan memilih dalam persahabatan. Hulurkan salam persahabatan pada semua orang. Tapi jangan tersilap dalam bersahabat. Pastikan kita dah cukup tahu tentang baik buruk kehidupan supaya tak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir liar duniawi.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: Pengganti yang mereka pilih itu." Surah AlKahfi~ Ayat 50.

(sumber: blogger)
Entri khas kepada semua kenalan, teman & sahabat di seluruh dunia. Semoga jalinan ukhwah ini akan sentiasa dalam hati dan kehidupan kita. Sama-samalah kita berkongsi ilmu, pandangan & pengetahuan; semoga sedikit sebanyak dapat memperbaiki diri kita dari hari ke hari..in shaa Allah

No comments:

Post a Comment