Pergilah Kenangan, Hadirlah Kebahagiaan

Setiap bilah hari yang meninggalkan kita membawa bersama pelbagai coretan, kenangan, rahsia, cerita, derita, bahagia serta segala rupa warna dan rasa. Sebahagian yang tinggal menunggu giliran untuk melalui peristiwa yang sama. Mungkin berbeza nama hari, bulan dan tahun, tetapi tetap sama pada keadaan dan peranan. Ia akan membawa lagi sebahagian daripada kita pergi meninggalkan kehidupan dunia ini. Sehinggalah pada saat tamatnya bilangan terakhir, maka ketika itu berakhirlah kehidupan kita di dunia ini. Tiada upaya kita menolaknya.
Walaupun saban waktu dan hari bilangan itu pergi tidak kembali lagi, tetapi ia tetap meninggalkan kesan pada bilangan yang masih ada. Kenangan, peristiwa, pengajaran dan bekalan yang dikutip oleh hari-hari semalam ditinggalkan untuk hari-hari mendatang. Ada kala ia pahit, ada kala manis, ada kala kita membencinya, ada kala kita menangisi kehilangannya dan adakala kita ingin melupai dan mengharapkan bilangan itu tidak pernah wujud dalam diari kehidupan kita.
Bilangan yang pergi dan datang jua menyimpan pelbagai rahsia setiap kita. Bukan semua babak lakonan setiap insan diketahui oleh orang lain. Sebahagian besarnya adalah rahsia kehidupan, hanya dia dan Allah. Beruntunglah insan yang rahsianya di sisi Allah SWT lebih baik dari yang disangka oleh manusia.
Sentiasa bersyukur atas apa yang telah diberikan dan memohon kepada Allah agar dikekalkan nikmat kurniaan.
Hari-hari yang datang tidak semestinya mencontohi lagi hari semalam. Bahkan derita semalam, memuncakkan kenikmatan apabila kebahagiaan menjelma pada hari ini.
Sesiapa yang bertawakal kepada Allah akan dibukakan pelbagai keajaiban yang tidak disangka. Usia yang berbaki ini kita hanya menghitung bilangan hari di mana kita semua pasti sampai pada saat bilangan detik waktu yang terakhir.
Mohonlah keampunan dari Allah atas segala kenangan yang lalu, ianya merupakan episod dalam drama kehidupan. Menunggu saat perhitungan Allah atas segala cerita yang kita lakonkan.
Kepada Allah SWT juga pengharapan dalam setiap detik kehidupan. DIA yang memberikan segala kurnia sebagai ujian untuk sebahagian hamba-hamba-NYA.

[sumber: Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA)]

"Biarlah semuanya pergi bersama kenangan, hadirnya 2014 ini pastinya memberi sejuta kali kebahagiaan. Sentiasa muhasabah dan perbaiki diri dalam kehidupan. Usaha, tawakal, sabar dan redha menjalani kesukaran, perjuangan dan sentiasa istiqamah dalam diri kita. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada tulisan saya di sepanjang 2013 ini yang menggores hati atau bisa mengundang kesedihan kepada semua pembaca. Ampunilah saya, yang hanya manusia biasa tidak lepas dari melakukan dosa. Marilah kita bersama-sama mohon kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah sentiasa memberi keampunan kepada kita semua.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah: "Wahai hamba-hamba-KU yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya DIAlah jua yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani." (surah al-Zumar ayat 53)
Wallahualam...
Ikhlas dari ♥; missydamia.blogspot.com

No comments:

Post a Comment