Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal? Mengapa berkawan tidak berpanjangan? Tidak kekal berkawan secara itu kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Tuhan yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat. Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah Taala. Orang yang berkawan kerana Allah Taala, kalau berpisah pun kerana Allah Taala. Suka dan benci pun kerana Allah Taala.
Sabda Rasulullah SAW: “Tiadalah dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya.”
Bersahabat kerana Allah Taala, ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketaqwaan. Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati. Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah Taala yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah Taala.
Sabda Rasulullah SAW: “Cinta kasihKu terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang keranaKu. Akan Kunaungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Abiddunya)
Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat:
1. Sahabat secara umum
Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.
2. Sahabat secara khusus
Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam.
3. Sahabat yang dipersaudarakan
Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolah- olah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.
[sumber: www.usahataqwa.com]
No comments:
Post a Comment