Atas dorongan untuk meraikan cinta
kononnya, batas akidah, syariat dan akhlak dilanggar semahu-mahunya.
Cinta yang dicipta indah oleh Allah yang Maha indah, menjadi punah.
Dikotori oleh pemujanya seperti kera yang merosakkan bunga.
Cinta yang suci untuk tujuan yang suci
telah dicemari. Cinta yang berfokuskan seks – yakni cinta yang
diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan itulah yang dipuja oleh manusia yang
bertamadun!
Mengapa jadi demikian? Ini kerana masih
ramai manusia yang sedang mengalami kekosongan jiwa (emptines). Hidup
hanya untuk memenuhi kehendak nafsu yang inginkan kepuasan material dan
fizikal, urat, daging dan tulang. Apabila persoalan paling ‘basic’
(asas) dalam hidup tidak terjawab dengan tuntas… Itulah akibatnya.
Apakah persoalan itu? Ya, mengapa kita
dihidupkan? Orang Islam yakin bahawa Allah tidak mencipta manusia
sia-sia. Manusia punya tugasan dan peranan yang sangat besar. Al Quran
menegaskan Allah ciptakan manusia dengan tujuan menjadi hamba-Nya dan
khalifah di muka bumi.
Selagi kita berpegang kepada tujuan
hidup ini dan melaksanakannya, hidup kita akan dipenuhi ketenangan.
Kekosongan jiwa, minda dan masa kita akan terisi dengan sepenuhnya. Kita
boleh melaksanakan apa jua aktiviti yang tidak terkeluar daripada
kerangka tujuan hidup yang telah ditentukan Allah itu. Selagi manusia
bertindak selaras dengan tujuan penciptaannya, maka selagi itulah ia
akan tenang, selamat dan bahagia.
Sebaliknya jika tujuan hidup ini
diabaikan, maka kekosongan jiwa pun berlaku. Pada waktu itu jiwa
meronta-ronta bagaikan ikan tanpa air. Akibatnya, manusia terus mencari.
Pencarian ini bukan menambah ketenangan, tetapi tambah mengusutkan.
Apabila panduan Islam diabaikan, maka jalan atau kaedah yang salah
telah dipilih.
Pada waktu inilah budaya hidup Barat
mencelah. Remaja menyangka budaya Barat itu penawar yang akan memberi
hiburan dan ketenangan. Padahal ia adalah racun yang sangat bisa. Bukan
sahaja masalah yang sedia ada tidak akan selesai, malah masalah yang
sedia ada pun akan semakin membesar. Itulah bahana budaya Barat yang
menawarkan kepada remaja kita produk yang bernama “Hari Valentine”.
Malangnya, produk itulah yang sentiasa
dipromosikan dan diiklankan sehingga menjadi budaya secara langsung
ataupun tidak. Apabila sudah menjadi budaya, yang palsu nampak benar,
yang salah nampak indah dan hebat. Remaja, yang masih membina kematangan
akan terpengaruh untuk menerima. Dirasanyakan yang datang dari Barat
itu semuanya baik, hebat dan agung belaka. Apatah lagi yang menjadi
figur mempromosikan budaya buruk ini adalah artis atau celebriti yang
menjadi pujaan para remaja itu selama ini. Maka mudah mereka terikut.
Lagipun ada sesetengah berpandangan
tidak ada implikasi agama dalam soal ini. Apa salahnya, cuma hiburan,
cuma suka-suka… Sedangkan mereka tidak sedar semua ini ada kesan dari
segi mempengaruhi fikiran, hati, perasaan dan sikap seseorang. Sesuatu
yang dilarang oleh Islam, pasti ada kesan buruk pada hati, jiwa dan
perasaan samada disedari atau tidak, samada jangka panjang atau jangka
pendek.
Kesan yang paling cepat ialah remaja
kita akan ikut menyerupai mereka dari segi cara berfikir, emosi dan
jiwa. Akhirnya, ini akan mempengaruhi tingkah laku dan kelakuan.
Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum ia
akan menjadi kaum itu.”
Sebenarnya, perayaan Hari kekasih bukan
semata-mata perayaan luaran sahaja. Ia datang dalam bentuk pakej yang
yang ‘menyerang’ remaja secara multi dimensi. Ia datang dengan idea
kebebasan tanpa batas seperti pendedahan aurat, pergaulan lelaki-wanita
secara bebas, tarian, lagu dan unsur-unsur hedonisme yang cukup
membahayakan. Perayaan itu bukan setakat pemberian hadiah, kad atau
bertukar-tukar ucapan, tetapi diiringi pertemuan, sentuhan dan lain-lain
yang jika tidak diawasi dan dibatasi syariat pasti mencecah batas-batas
‘menghampiri zina’.
Bila hari kekasih diuar-uarkan dengan
segala bentuk dan elemennya, dan ia diterima sebagai satu budaya yang
biasa… Para remaja akan menerima itu sebagai satu isyarat
‘menghalalkan’ sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum ini. Tanpa
disedari, remaja yang terpengaruh dengan sambutan Hari kekasih ini
akhirnya, menjadi lali dan akhirnya ketagih dengan apa sahaja yang
datang dari barat, yang kononnya agung dan canggih. Pada ketika itu
generasi kita sebenarnya sudah dijajah kembali dari segi minda dan akan
terus menjadi bangsa pengguna (konsumer) bukan pencipta dalam arus
globalisasi masakini.
Bila Islam melarang sesuatu, pasti ada
rasional di sebalik larangan itu. Cuma sebagai manusia, kita kekadang
belum nampak apa rasionalnya pada peringkat awal. Ilmu manusia yang
terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Inilah
yang dikatakan suruh atau larang dalam Islam adalah berasaskan iman
kepada Allah. Kita beriman kepada Allah dalam ertikata kita yakini Allah
SWT maha Bijaksana, maha Penyayang, Maha Belas Kasihan untuk tidak
menganiayai hamba-hambaNya dalam apa jua perintah suruh dan larang-Nya.
Mengapa hari Kekasih dilarang untuk
disambut oleh orang Islam? Sebab sejarah sambutan hari itu sendiri sudah
dikaitkan dengan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Apabila kita
turut merayakannya, seolah-olah kita juga turut merelai atau meredhai
kebenaran akidah mereka. Seperkara lagi, apakah Islam yang kita anuti,
malah agama yang paling unggul di dunia, sudah ketandusan cara untuk
menghargai rasa kasih sesama manusia?
Islam punya kaedah sendiri yang lebih
benar dan tepat untuk meraikan rasa kasih dikalangan manusia. Namun
Islam hanya membenarkan rasa kasih itu dijalinkan dalam bentuk ikatan
yang sah agar rasa cinta dibina atas asas-asas yang kukuh, mulia dan
terhormat.
Cinta dalam Islam mesti diasaskan pada
tanggung-jawab, pembelaan, pendidikan, penjagaan dan perlindungan atas
nama Allah. Cinta mertabat tinggi ini lebih sejati dan hakiki berbanding
cinta di atas kad ucapan, kotak hadiah, lagu, pakaian, cincin dan
lain-lain elemen Hari kekasih. Hari pertunangan, pernikahan, ulang
tahun perkahwinan, hari mendapat cahaya mata… adalah hari-hari kekasih
yang sepatutnya disambut meriah dengan erti dan makna yang lebih
mendalam dan ikhlas. Bukan seperti Hari Valentine yang bersifat luaran,
gimik dan penuh kepura-puraan yang acapkali untuk mewajarkan sahaja
pelempiasan hawa nafsu seks atas nama cinta suci!
Ingatlah, tidak akan ada kebahagiaan
yang sejati dengan melanggar hukum Allah. Ini sepatutnya diterima dengan
hati yang terbuka, dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan yang mencipta
manusia maka Dialah yang paling arif menentukan apakah yang diperlukan
oleh manusia untuk tenang dan bahagia. Jika kita mencintai Allah yang
Maha Pengasih, kita akan mampu mengasihi sesama manusia pada setiap
masa, keadaan dan ketika. Bagi orang Islam setiap hari adalah Hari
Kekasih!
[sumber: genta-rasa.com; Ustaz Pahrol Mohd. Juoi]
No comments:
Post a Comment