Jujur Dalam Kehidupan

Sejak kecil kita telah dididik oleh ibu bapa kita supaya sentiasa jujur dalam setiap perbuatan kita. Hal ini kerana kejujuran merupakan tangga teratas daripada keseluruhan amalan hati dan akan memimpin kita kearah kebaikan.  Selain itu, kejujuran dan keimanan harus  berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “ Hendaklah kalian bersikap jujur kerana kebenaran dan kejujuran itu bakal memimpin seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan itu pula akan menyampaikan seseorang itu ke syurga. 


Seseorang itu sentiasa tetap degan kebenaran dan perilaku yang benar serta berusaha mencarinya sehingga ditulis di sisi Allah s.w.t sebagai orang yang suka berlaku benar. (Riwayat al-Bukhari).  Allah s.w.t telah memerintahkan kepada semua hambanya supaya menanam sifat jujur di dalam diri masing-masing dengan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai “role model”. 

Seperti mana yang kita sedia maklum, para nabi dan rasul sentiasa berlaku jujur dan berkata benar sesuai dengan tugas mereka untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia.  Bersifat jujur kepada Allah dan rasul merupakan perkara yang paling utama untuk memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Jujur kepada Allah dan Rasul bermaksud mereka beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar iman.Segala amal kebajikan dan ibadah mereka adalah ikhlas kerana Allah Taala. Orang yang jujur kepada Allah dan rasul lazimnya berasa malu untuk meninggalkan perintah Allah serta melakukan kemungkaran.  Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihatnya, Dia pasti melihat kamu.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya, kita haruslah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Sama ada kita sedar atau tidak,  melaksanakan perintah Allah seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan sebagainya lebih mudah dilaksanakan berbanding bersikap jujur. Kadangkala kita berasa amat sukar untuk mengakui kesalahan yang telah kita lakukan lebih-lebih lagi jika pengakuan tersebut akan mengakibatkan hukuman yang berat.  Kita juga sering mendengar orang di sekeliling kita berkata, manusia mungkin mampu membohongi orang lain,tetapi mereka tidak mampu untuk membohongi diri sendiri.  

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua anggota badan kita untuk berlaku jujur kecuali lidah. Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Oleh yang demikian kita haruslah mendidik lidah kita supaya sentiasa berkata benar.

Menurut Ustaz Muneer Mohamed Farid al-Hafiz yang merupakan seorang peguam yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah, ketika saksi menjawab pertanyaan peguam, jawapan tersebut bukan dinilai melalui percakapan semata-mata. Gerak-geri badan, tangan, kaki dan pandangan mata turut diambil kira. Kebiasaannya, saksi yang berbohong akan berasa kurang senang ketika menjawab soalan yang diajukan kepada mereka.Di mahkamah dunia, mungkin kita boleh bercakap bohong atau menghafal skrip jawapan untuk menegakkan benang yang basah menggunakan lidah. Namun, tidak semua jawapan akan “dipersetujui”  oleh anggota  badan kita yang lain. Tetapi di mahkamah Mahsyar kelak, bukan lidah kita yang akan menjawab segala persoalan yang diajukan. Bahkan semua anggota tangan dan kaki yang akan mengambil alih tugas menjawab semua soalan.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Maka pada hari ini kami tutupkan mulut mereka, dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu kami kesalahan masing-masing, dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka usahakan.”

Kemudian, kita mesti bersikap jujur kepada orang lain. Kejujuran memainkan peranan yang amat besar dalam pembangunan umat dan kebahagiaan sesebuah masyarakat. Cuba anda bayangkan jika kita berhadapan dengan orang-orang yang tidak jujur, apabila melakukan urus niaga kita ditipu, apabila bejanji acap kali dimungkiri dan apabila diamanahkan dengan sesuatu pasti dikhianati.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diamanahkan dia mengkhianatinya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Nauzubillah. Marilah kita sama-sama jauhi sifat orang munafik ini.

Tidak rugi jika bersikap jujur kerana orang yang jujur hatinya sentiasa tenang, mereka disenangi dan dipercayai oleh orang di sekeliling mereka dan yang paling penting kehidupan mereka dilimpahi rahmat serta keberkatan dari Allah s.w.t. Selain itu, darjat mereka tinggi di sisi Allah s.w.t. Manakala, orang yang sering berdusta hatinya sentiasa dihantui resah, gelisah dan bimbang sekiranya perkara sebenar terbongkar. Kelebihan orang yang jujur turut disebut dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.,  maksudnya: “Tetap berpegang eratlah pada kejujuran walaupun kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada kejujuran, tetapi yakinlah bahawa dalam kejujuran itu terdapat keselamatan.  Jelas, kejujuran amat penting dalam kehidupan individu muslim. 

Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa bersikap jujur dan menjauhi dusta dan tidak amanah kerana ia merupakan sifat yang tercela dan hanya membawa kepada perpecahan. Marilah bersama kita menanam sifat jujur dalam diri kita. Hakikatnya, tidak susah untuk jujur jika kita mempunyai keberanian yang tinggi di dalam diri. Memang berlaku jujur itu amat pahit pada permulaan, namun ia mampu membuahkan kemanisan untuk selamanya. Maka dengan itu, berkata benarlah walaupun ia pahit.

[sumber:  muslimin45.blogspot.com]


No comments:

Post a Comment