Hadis Kedua Puluh Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ
الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ
مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ
الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ
بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً
أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً
فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ
بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ
يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)
25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
(Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan:
Kelebihan orang yang
mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama
dan orang yang
sebaliknya.
Huraiannya:Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman; ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk, kerana ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman. Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan, bahkan ia seperti haiwan, bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.
[sumber: www.islamgrid.gov.my]
No comments:
Post a Comment