Setiap
kita tahu bahawa masa yang berlalu itu pasti tidak akan kembali lagi.
Oleh itulah sikap setiap muslim yang baik keislamannya dia pasti akan
sentiasa memanfaatkannya dengan perkara-perkara yang bermanfaat,
sekaligus meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat lagi tidak disukai
Allah. Malah Allah menegaskan di antara sifat orang-orang yang berjaya
adalah orang yang meninggalkan hal yang sia-sia sebagaimana dalam awal
Surah al-Mukminuun.
Bagi menjelaskan lagi perkara ini, terdapat sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ
“Sebahagian
dari baiknya keislaman seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak
bermanfaat buat dirinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 1737. At-Tirmidzi
no 2317, 2718. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh an-Nawawi,
Ibnu Hajar, dan Syu’aib Al-Arnauth)
Kata
al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah dalam Jami’ al-‘Ulum wa
al-Hikam, hadis ini termasuk hadis yang menyebutkan salah satu prinsip
adab yang agung.
Hadis
ini menunjukkan meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat termasuk
dari kebaikan keislaman seseorang sama ada dalam urusan agama mahupun
dunia, sama ada amali atau pun lisan.
Sebagaimana
kata Imam ash-Shan’ani rahimahullah, “Hadis ini mencakupi seluruh
perbuatan dan perkataan yang tidak bermanfaat.” (Subulus Salam, 4/310 –
al-Maktabah at-Taufiqiyah)
Maka
jika ia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya dan melaksanakan
apa yang bermanfaat baginya, maka sesungguhnya ia telah menuju kepada
kebaikan yang menyempurnakan keislamannya.
Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):
“Meninggalkan
sesuatu yang tidak bermanfaat baginya dan apa yang tidak ia inginkan
bukanlah kerana mengikutkan hawa nafsu dan kehendak perasaan, sebaliknya
adalah kerana pertimbangan syari’at dan Islam. Oleh sebab itulah Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadikan sikap seperti ini sebagai bukti
kebaikan keislaman seseorang.
Dengan
itu, apabila keislaman seseorang itu baik, ia pun meninggalkan
ucapan-ucapan dan tindakan-tindakan yang tidak penting baginya dalam
Islam. Kerana Islam menuntut seseorang agar melaksanakan
kewajiban-kewajiban sebagaimana yang telah dijelaskan.” (Jami’ al-‘Ulum
wa al-Hikam, 1/288-289. Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth – Mu’asasah
ar-Risalah)
Di
antara perkara-perkara yang tidak bermanfaat yang harus ditinggalkan
adalah apa-apa yang diharamkan oleh agama. Termasuk perkara tidak
bermanfaat lainnya adalah hal-hal yang syubhat, hal-hal yang dibenci
(makruh), dan hal-hal mubah yang tidak diperlukan.
Kata al-Hafiz Ibnu Rejab lagi:
“Semua
itu tidak penting bagi seorang Muslim seandainya keislamannya telah
baik dan mencapai darjat ihsan di mana ia mampu mengabdikan diri kepada
Allah seolah-olah ia melihat-Nya dan jika ia tidak melihat-Nya maka ia
tahu Allah sentiasa melihanya. Jadi, sesiapa yang mengabdikan diri
kepada Allah dengan mengetahui kedekatan Allah dan pengawasan Allah
kepadanya, sesungguhnya keislamannya telah baik dan menjadikannya
meninggalkan apa jua perkara yang tidak bermanfaat baginya dalam Islam
dan ia lebih sibuk dengan perkara-perkara yang penting untuknya.” (Jami’
al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/289. Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth – Mu’asasah
ar-Risalah)
Imam ash-Shan’ani menjabarkan lagi tentang hadis tersebut dengan katanya:
“Dengan
itu, tujuan hadis ini mencakup seluruh perbuatan secara umum, termasuk
di dalamnya agar meninggalkan sikap bermegah-megah dalam kehidupan
dunia, bercita-cita untuk mendapatkan jawatan, kerusi pemerintahan, dan
puji-pujian dari orang lain serta perkara-perkara lainnya yang
sebenarnya tidak berguna untuk kebaikan agama dan untuk urusan
dunianya.” (Subulus Salam, 4/310 – al-Maktabah at-Taufiqiyah)
Termasuk
perkara yang tidak bermanfaat yang turut disinggung oleh para ulama
apabila membahaskan hadis ini adalah tidak berkata-kata melainkan yang
baik-baik.
Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
“Ketahuilah
bahawa seseorang mukallaf sepatutnya mampu menjaga perkataannya untuk
tidak berbicara melainkan untuk perkara yang benar-benar bermanfaat.
Apabila berdasarkan pertimbangannya kemaslahatan antara diam dan
berbicara adalah sama, maka menurut sunnah, lebih baik ia mengambil
sikap diam. Kerana perbicaraan yang mubah (harus) adakalanya boleh
membawa kepada perbuatan haram atau makruh (dibenci).” (Riyadhus
Shalihin, m/s. 503 – Daar Ibnul Jauzi)
Ini bersesuaian dengan pesan-pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam antaranya:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata
yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no.
6135)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:
المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Seorang
muslim ialah di mana umat Islam lainnya selamat dari lidah dan
tangannya dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa
yang dilarang oleh Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 10)
Ini juga sebagaimana apa yang diingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya:
“Tidak ada suatu lafaz dari apa yang diucapkan melainkan ada di sisinya Malaikat (Raqiib) yang sentiasa mencatat.” (Surah Qaaf, 50:18)
Selain
itu, perbuatan meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat ini sama ada
perbuatan atau perkataan, ia juga termasuk kesan dan hasil sifat malu
kepada Allah. Apabila seseorang mengetahui dirinya sentiasa dekat dengan
Allah dan sentiasa mendapat pengawasan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala,
maka sudah tentu ia akan merasa malu dan meletakkan dirinya dalam
keadaan sentiasa berhati-hati lagi berwaspada.
[sumber: an-nawawi.blogspot.com]
No comments:
Post a Comment