Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada
hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi
bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah
‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit,
Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah
perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang
memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita
hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi…
dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya,
apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang
sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas
segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa
bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam
hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu
yang tidak baik’ dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak
disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi
tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu.
Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian).
Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana
kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip
yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda…
“aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”
[sumber: genta-rasa.com ~ Ustaz Pahrol Mohd. Juoi]
No comments:
Post a Comment