Bentuk kehidupan seseorang yang menghayati dan memperjuangkan Islam
tentulah berbeza dengan manusia lain.
Antaranya ialah:
1. Terikat dan menurut ajaran Islam.
Iman bukan sekadar cita-cita. Iman adalah suatu yang tertanam di dalam hati
dan dibuktikan melalui amal perbuatan. Allah SWT sering mengaitkan iman dengan
amalan.
Firman Allah SWT: maksudnya;
“…orang-orang yang beriman dan beramal soleh …” (Al-’Ashr: 3)
Dalam hubungan ini Allah SWT mengingatkan janganlah kita mengajak manusia
lain berbuat baik sedangkan kita melupai diri kita sendiri.Firman Allah SWT:
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu
melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu
berfikir?”. (Al-Baqarah : 44)
2. Mengutamakan kepentingan Islam.
Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya;
“Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”
Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam
yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”
Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;
“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan
sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”
3. Berasa mulia dengan
kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT.
Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT adalah
antara sifat-sifat orang-orang beriman. Allah mengingatkan dalam al-Quran di
dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan
kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Ali Imran:
139)
Ketika para sahabat Rasulullah SAW berada dalam perlindungan kerajaan
Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendita yang ada di Istana
Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Ja’far bin
Abi Thalib r.a yang menjadi ketua rombongan itu menjawab: “Kami tidak
sujud melainkan untuk Allah SWT.”
4. Bekerja untuk Islam dan
bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam.
Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut
bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru
kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan
kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah
tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam
pemerintahan. Firman Allah SWT: maksudnya;
“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)
Firman Allah SWT lagi: bermaksud;
“Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu
bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)
Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;
“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain adalah seperti binaan
yang tersusun. Sebahagiannya meneguhkan sebahagian yang lain.”
“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.”
“Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (daripada
kumpulannya).”
Masa depan milik Islam
Keimanan kepada Islam harus sampai ke peringkat yakin bahawa masa depan
adalah milik Islam. Islam diturunkan Allah SWT. Oleh itu Allah sahajalah yang
paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia. Dialah paling layak untuk
memimpin manusia.
Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras
dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan
tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia.
Firman Allah SWT:
“Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun
lagi Maha Mengetahui.” (Al-Mulk: 14)
“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”
“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”
Mengapakah Islam akan
menguasai masa depan dunia?
Jawapannya ialah:
1. Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang
kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal
dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.
2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan,
ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung
sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan,
perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri-ciri ini adalah cetusan daripada
Sibghah Rabbani.
3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan daya untuk menghadapi
aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sibghah atau ciri ini
membuatkan Islam berkebolehan untuk berijtihad atau menyimpulkan hukum-hakam
terhadap hal-hal yang tiada nas sama ada melalui Qiyas, Masalih Mursalah,
Istihsan dan sebagainya.
4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan
sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat
terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat Yang Maha Mengetahui akan
masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia.
Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup
manusia. Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu
mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun
urusan luar negara. Firman Allah SWT:
“Itulah sibghah (corakan/celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik
celupannya daripada celupan Allah.” (Al-Baqarah: 138)
5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan
menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme,
sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada
batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia
dan lemah.
6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau
sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan
hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan
daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang
semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran
telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian
dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan
semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan
sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil
seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam
krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial,
ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam
masalah lagi.
8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan
republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan
membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan
kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan,
penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh
curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung
dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah.
Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin
dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau
Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk
digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan.
Firman Allah
SWT:
“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu
(berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan
kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang,
dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.” (Al-Infitar:
6-8)
Firman Allah
SWT:
“Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja
bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pastilah kamu akan menemui-Nya. Adapun
orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya maka akan diperiksa dengan
pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama
beriman) dengan gembira. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang
maka dia akan berteriak: Celakalah aku. Dan dia akan masuk ke dalam api yang
menyala-nyala (neraka). Sesungguhnya dahulu (di dunia) bergembira di kalangan
kaumnya (yang sama-sama kafir). Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia
sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya). (Bukan demikian), yang
sebenar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.”
(Al-Insyiqaq: 6-15)
(Al-Insyiqaq: 6-15)
[sumber: amirulasril.com]
No comments:
Post a Comment