Tinta 4: Ukhwah Islamiah & Perjalanan Dakwah


Sesungguhnya yang mesti dihindarkan oleh para aktivis dakwah adalah perasaan buruk sangka terhadap saudaranya sendiri di mana ini biasanya berlaku kerana kurangnya rasa saling mengenal antara sesamaaktivis dakwah.

Ramai di antara kita yang kehilangan semangat berjamaah disebabkan masih cenderung memegang ego kelompok (ashabiyyah).

Rasulullah saw bersabda :
“Tidaklah kamu sekalian termasuk beriman sebelum saling menyayangi.”

Para sahabat berkata,
”Ya Rasul, kami sudah saling menyayangi.”

Baginda menjawab,
”Yang dimaksudkan bukanlah berkasih sayang hanya dengan salah seorang di antara sahabat-sahabatmu, tetapi berkasih sayanglah kepada umum.” (HR Ath-Thabrani)

Apabila wilayah `ta'aruf' sudah terbentang, maka akan tumbuh pula sikap `tafahum'.
‘Tafahum’ bererti usaha setiap aktivis dakwah untuk dapat menggali informasi sebanyak mungkin segalaperkara yang berkaitan dengan cara berfikir dan ruang lingkup pengalamannya dari sesama saudaranya.


Untuk belajar memahami orang lain, kita sepatutnya mampu mengenal pasti karakter diri kita berdasarkan perspektif orang lain.

Kita wajib memiliki gambaran khayalan tentang saudara kita, iaitu ‘empati’.

Sikap `tafahum' akan menjaga kesegaran jamaah dakwah kerana dakwah dipikul oleh orang-orang yang :
Mempunyai keterpautan hati.
Saling bertoleransi.
Saling berkompromi untuk perkara-perkara yang mubah.
Kepentingan `tafahum' akan kian terasa ketika pendukung jamaah dakwah terdiri dari berbagai jenis orang baik suku, budaya mahupun bahasanya.

Semua karakter kesukuan mesti lebur dalam tradisi `tafahum' dalam ukhuwah walaupun kedekatan tradisi dan budaya juga bermanfaat bagi kejayaan dakwah.

Imam Malik pernah berkata :

"Lihatlah orang dengan kebenaran dan jangan sebaliknya, iaitu engkau lihat kebenaran dengan orang."

Puncak `tafahum' ada pada tahap "berbicara" pada satu bahasa di mana sebagai satu karakter khas yang mewarnai seluruh aktivis jamaah dakwah adalah mereka berfikir dengan pola pemikiran yang satu dan berbicara dengan bahasa yang satu.

Sesiapa yang tidak memahamkan dirinya dengan konsep `tafahum' ini akan gagal memasuki tahap ukhuwah berikutnya, iaitu `ta’awun'.

Jika cinta kepada Allah telah menembusi jantung setiap dada umat ini maka sifat ‘ta’awun merupakan salah satu ciri yang melekat seutuhnya. Saling tolong menolong antara aktivis dakwah tidak mungkin wujud jika setiap individu dilanda penyakit ‘wahn’, pengecut dan lemah.

Perasaan ‘ta’awun’ akhirnya mampu membawa aktivis dakwah kepada lorong ‘takaful’.
Ia adalah perasaan tanggungjawab yang akan menyebabkan setiap aktivis dakwah bersikap sangat waspada dan memiliki ‘self control’ yang tinggi untuk menjaga saudaranya dari kehancuran, fitnah dan celaan keranadia merasakan bahwa dirinya juga sebahagian dari saudaranya yang lain.
Memang begitulah Islam mengajarkan bahwa sesama muslim itu bersaudara.

Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa menutupi aib saudaranya maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat.” (HR Ibnu Majah)
Inilah intisari ukhuwah yang darinya lahir `itsar' (mendahulukan sesama saudara) iaitu puncak dari segala amal ukhuwah.

`Takaful' tidak semestinya bahu membahu dalam memberikan jaminan kebendaan. Ia boleh dalam bentuk bahu membahu :
* Menunaikan kerja.
* Saling membela orang yang dizalimi.
* Saling mengirim doa.

‘Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah’ tidak akan pernah tegak sebelum umat ini bersatu dalam ikatan Ukhuwah Islamiyah’.

Untuk itu kita perlu bangunkan harapan bersama bagi terciptanya ‘Ukhuwah Islamiyah’ dalam sebuah jamaah. 

Ukhuwah Islamiyah atau persaudaraan Islam yang sejati akan panjang usianya bahkan hingga ke hari akhirat kelak bersesuaian dengan sebuah hadis Rasulullah saw :

"Di sekitar Arasy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Para nabi dan syuhada cemburu kepada mereka." Ketika ditanya para sahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, saling bersahabat kerana Allah dan saling berkunjung kerana Allah." (HR Tirmizi)

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang menjalinkan hubungan ukhuwah antara sesama kami semata-mata keranaMu. Sesungguhnya tiada tujuan lain kami berada di atas jalan dakwah ini melainkan untuk sama-sama menjadikan kalimahMu tinggi dan terpacak kuat di muka bumi ini. Jauhkanlah kami dari menuntut apa-apa kepentingan dari saudara-saudara kami dalam kami bersahabat dan bersaudara di jalanMu yang mulia ini.

[sumber: tintaperjalananku.blogspot.com]

No comments:

Post a Comment