Hadith tentang Kepimpinan


Kitab Imarah: Wajib Mentaati Pemimpin Dalam Perkara Yang Tidak Maksiat Dan Haram Mentaati Pemimpin Dalam Perkara Maksiat
[sumber:  www.mymasjid.net.my]
Hadith no. 3416
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Telah turun ayat يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Rasul serta pemimpin dari kalangan kamu. Ayat tersebut ditujukan kepada Abdullah bin Huzafah bin Qais bin Adi As-Sahmi yang telah diutus oleh Nabi dalam satu peperangan yang tidak sertai oleh baginda.

Hadith no. 3417
Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku.

Hadith no. 3423
Hadis Ibnu Umar r.a: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.

Hadith no. 3424
Hadis Sayidina Ali k.w: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan tentera dan baginda telah melantik seorang lelaki sebagai pemimpin tentera itu. Lelaki tersebut telah menghidupkan api dan berkata: Kamu semua masuk ke dalam api itu. Maka sebahagian dari tentera ingin memasuki ke dalam api tersebut dan sebahagian dari tentera yang lain berkata: Kami telah melarikan diri daripadanya. Perkara itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda kepada orang-orang yang ingin memasuki api tersebut: Sekiranya kamu memasukinya nescaya kamu akan terus berada di dalamnya sehingga Hari Kiamat dan Nabi berkata kepada pihak satu lagi dengan kata-kata yang baik serta bersabda: Jangan mentaati perintah untuk melakukan maksiat kepada Allah tetapi taatilah dalam perkara kebaikan.

No comments:

Post a Comment