Firman Allah SWT dalam al-Quran, surah an-Nisa, ayat 58:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.Islam merupakan agama yang syumul iaitu yang meliputi keseluruhan kehidupan manusia. Ia disebut sebagai ad-Din yang bermaksud cara hidup. Islam merupakan suatu sistem yang diturunkan Allah SWT selaras dengan fitrah manusia. Sewaktu manusia berada di alam roh, Allah SWT berfirman, maksudnya:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?, maka semua roh manusia menjawab “Benar, Engkau Tuhan kami, bahkan kami menjadi saksi.” (Surah al-A’raf : ayat 72)
Oleh sebab kehidupan manusia secara fitrahnya adalah makhluk berpolitik, maka suatu sistem berlandaskan Islam diperlukan. Rangkuman sistem politik berlandaskan al-adalah wal-ihsan yang menggabungkan keperibadian kepimpinan, maka wujudlah kesetaraan antara hablun minallah (hubungan dengan Allah), hablun minanas (hubungan dengan manusia) dan hablun minal alam (hubungan dengan alam). Dalam sejarah klasik, keperibadian Daud a.s dan Sulaiman a.s, kedua-duanya adalah pemerintah dan juga nabi. Dalam konteks kontemporari, kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh membebaskan Costantinople hanya 800 tahun selepas zaman Rasulullah SAW sangat berkait rapat hubungan dengan Allah SWT. Kejayaan mengangkat bahtera ke bukit lalu diluncurkan kembali ke laut berkait rapat dengan elemen tahajjud. Semua kejayaan yang dicapai adalah menggabungkan aspek fizikal dan spiritual.
Semua aspek kehidupan samada politik atau pemerintahan, menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT, bermaksud:
“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia, melainkan untuk beribadat kepada-Ku” (Surah al-Zariat ayat : 56)
Al-Maududi mentakrifkan konsep sebuah negara Islam menjelaskan bahawa negara yang kuasa mutlaknya terletak pada Allah SWT. Manakala syariatnya berdasarkan al-Quran dan bukannya perlembagaan sebagai kuasa tertinggi. Terdapat sesetengah sarjana yang melihat konsep sebuah negara Islam digambarkan sebagai sebuah negara yang mirip konsep teo-demokrasi, iaitu konsep yang menggabungkan autoriti mutlak daripada Allah SWT manakala penyerahan kekuasaan autoriti yang terbatas kepada manusia dalam perlaksanaan urusan negara yang selari dengan hukum syarak (Mohd Rumaizuddin Ghazali : 2009).
Apabila manusia lari daripada arahan Allah SWT, iaitu dengan mengambil setengah dan meninggal setengahnya maka kemurkaan Allah SWT pasti datang. Kejatuhan sistem kekhalifahan Islam pada 3 Mac 1924 di Turki Uthmaniyah oleh gerombolan taghut yang didominasi syaitan dan iblis, menyebabkan pemahaman umat Islam mengenai sistem politik, keadilan dan kepimpinan berlandaskan Islam turut beransur lenyap. Tugas ulama yang dahulunya amat besar dalam memahamkan umat Islam mengenai Islam disempitkan oleh sistem sekular Barat yang mengetengahkan doktrin pengasingan politik dan agama. Akibatnya, umat Islam seluruh dunia mula mendefinisikan apa itu Islam, politik dan keadilan dari kacamata sekular Barat (Sautun Nahdhah : 2008).
Dalam menyampaikan risalah Islam, para daie’ tidak lekang daripada berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Kemunculan tokoh reformis Islam sepanjang zaman seperti Muhammad Abduh, Hassan al-Banna, Syed Qutb, Yusuf al-Qardawi, Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat serta beberapa yang lain menjadi bukti bahawa usaha mereka tidaklah mudah. Pejuang Melayu sebelum kemerdekaan, as-Syahid Tok Janggut gugur ke bumi dalam mempertahankan kedaulatan Islam di bumi Kelantan (Nik Anuar Nik Mahmud : 2000).
Konsep Politik Daripada Kacamata Islam
Politik merupakan satu cabang dalam ramuan Islam yang syumul. Islam tidak melarang manusia berpolitik selagi tidak bercanggah dengan syariat. Politik Islam atau siasah berasal dari perkataan ‘sasa’ yang bermaksud perintah, tegah, melakukan pembaikan dan mendidik. Manakala menurut istilah, siasah bermaksud melakukan sesuatu yang membawa kebaikan kepada makhluk dengan membimbing mereka ke arah jalan kejayaan duniawi dan ukhrawi (Osman Khalid : 1986). Kajian Dewan Ulama PAS (1980 : 14) mendapati Islam dan politik tidak boleh dipisahkan sama sekali kerana berkait rapat dengan prinsip akidah dan akhlak.
Kebanyakan ulama melihat politik Islam adalah jauh berbeza dengan politik sekular. Fathi Yakan (2010 : 9) mendefinisikan politik Islam sebagai usaha memelihara semua hal ehwal ummah yang merangkumi aspek pendidikan, maklumat, ekonomi serta keperluan hidup. Fahaman sekularisme Barat memisahkan agama dengan politik; iaitu agama adalah hak gereja manakala negara adalah hak pemerintah.
Ikhwan Saffa (Mustafa Haji Daud: 1994) membahagikan ilmu politik (siasah) kepada lima iaitu Siasah Nabawiyah (politik para nabi), Siasah Mulukiyah (politik kerajaan), Siasah Ammah (politik rakyat), Siasah Khassah (politik rahsia) dan Siasah Dhatiyah (politik peribadi). Menurut Ahmad Atiyatullah (Mustafa Haji Daud : 1988), perkataan siasah digunakan dalam kitab Tahdib al-Siyasah karangan Abu al-Hassan Ahwazi (362-446H). Perkataan politik dan siasah membawa pengertian yang hampir sama kerana kedua-duanya telah menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kosa kata bahasa Melayu (Kamus Dewan : 2004). Ehsan Ehsanullah (1994) melihat keperibadian Siasah Syariah dalam konteks negara Arab Saudi mendapati amat wajar seluruh dunia mengimplementasi arahan Allah SWT.
Konsep Kuasa dan Amanah Dalam Islam
Menurut Abdul Hadi Awang (2011), kekuasaan dan kedaulatan adalah milik Allah dan manusia hanya merupakan pemegang amanah untuk menguruskan negara. Beberapa peringkat pembahagian kuasa iaitu khalifah, Majlis Syura dan ulil al-Amri. Khalifah bertanggungjawab dalam perlaksanaan undang-undang (eksekutif) manakala Majlis Syura bertanggungjawab dalam penggubalan undang-undang (legislatif) serta Ulil al-Amri (Qadi) bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang.
Ibn Taimiyah berpendapat bahawa kekuasaan politik merupakan min a’zam wajibat al-din (suatu kewajipan agama yang utama). Pandangan ini serupa dengan pandangan Yusuf al-Qardhawi yang menyatakan terdapat hubungan simbiosis antara Islam dan politik. Ia sebagai sesuatu yang tidak terpisah daripada hakikat Islam itu sendiri (Heruhe Mat Rupiah : 2011).
Politik dari Pespektif Islam dan Sekular
Menurut K. Ramanathan (1987), politik merupakan satu cara mengendalikan aktiviti-aktiviti manusia. Konsep politik Barat tidak mempunyai sebarang panduan yang tepat kerana pengertian politik ditafsir tanpa berpandukan kepada suatu panduan mutlak serta mengenepikan unsur kerohanian atau spiritual.
Menurut Fathi Yakan (2010 : 10), fahaman politik Barat memisahkan agama dan politik merupakan fahaman serpihan ideologi gereja. Islam mengajar bahawa politik seharusnya diadun sebati dengan konsep tauhid kepada Allah Taala dan mengikut lunas-lunas syarak sebagaimana dalam Al-Quran, diperincikan dalam as-Sunnah serta dibahaskan oleh para ulama muktabar.
Menurut Mustafa Haji Daud (1988), Islam mengasaskan sistem politik yang merangkumi tiga aspek iaitu tauhid, risalah dan khalifah. Tauhid iaitu konsep politik mengikut segala lunas yang ditetapkan Allah SWT. Risalah pula merupakan konsep politik yang diwahyukan Allah SWT melalui Rasul-Nya dan wajib dituruti oleh segenap manusia. Manusia sebagai khalifah Allah di bumi harus mentadbir alam berlandaskan lunas-lunas syarak.
Para sarjana politik Barat, termasuk segelintir cendekiawan Islam melabelkan pemerintahan Islam sebagai salah satu cabang pemerintahan berbentuk teokrasi (Hamdan Aziz : 2012). Namun konsep teokrasi di Barat dengan Islam jauh berbeza kerana teokrasi Barat berpendapat bahawa sesebuah negara hanya diperintah oleh golongan agamawan ataupun individu yang mendapat mandat dari tuhan serta tidak semestinya pemerintah itu menggunakan hukum Allah. Sedangkan konsep pemerintahan Islam amat jelas iaitu individu yang paling tinggi keimanan dilantik sebagai pemerintah dan pentadbiran yang meliputi pelbagai aspek harus dan wajib tunduk kepada undang-undang Illahi.
Ciri-ciri Pemimpin Menurut Islam
Para sahabat nabi bersepakat mengatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam adalah wajib. Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata, “Bahawa Muhammad telah pergi, justeru itu, agama ini (Islam) memerlukan penjaganya.” Hampir kebanyakan aliran pemikiran termasuk Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah, Syi’ah, al-Murji’ah, Mu’tazilah dan Khawarij bersepakat mengatakan menegakkan sistem politik Islam adalah wajib bagi umat Islam. Allah Taala berfirman, bermaksud:
“Wahai Umat yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasullullah dan kepada ‘Ulil Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”(Surah an-Nisa’ : ayat 59)
Terdapat beberapa kriteria yang harus ada sebelum seseorang individu dilantik menjadi pemimpin. Antaranya, individu tersebut dari kalangan ulama, berakal sempurna, memiliki kefahaman serta mempunyai kelayakan dari segi intelek dan fizikal untuk mentadbir urus pemerintahan.
“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta kamu yang Allah telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu.” (Surah an-Nisa’ : ayat 5)
Seseorang yang zalim, fasik dan lalai serta melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Sebaliknya mereka hendaklah terdiri dari orang-orang yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh.
“Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Surah al-Kahfi : ayat 28)
Abu al-Maati al-Futuh (Mustafa Haji Daud: 1994) menjelaskan bahawa terdapat empat elemen dalam pemerintahan Islam iaitu Sultat (kebolehan mengurus), kedaulatan, kuasa dan syura. Kekuasaan ialah kewibawaan sesebuah pemerintahan dari rakyat (umat Islam). Abraham Lincoln mendefinisikan demokrasi sebagai “kerajaan yang dirikan oleh rakyat, dari rakyat dan kepada rakyat” (Hamdan Aziz : 2012). Dalam pada itu, kenyataan Lincoln hanya melihat aspek kebebasan mutlak individu tetapi kekuasaan yang diberikan kepada pemimpin mestilah berdasarkan keimanan dan ketakwaan.
Sistem kekhalifahan seperti diamalkan terdiri dari Majlis Syura, khalifah dan kementerian khusus yang mempunyai hak serta autoriti. Majlis Syura mempunyai hak seperti menentukan hukum bagi sesuatu perkara yang tidak dijelaskan secara khusus di dalam al-Quran, melantik khalifah daripada kalangan ahli Majlis Syura, mengaturkan bai’ah umat Islam terhadap khalifah manakala dalam masa yang sama Majlis Syura mempunyai hak melucutkan khalifah daripada jawatan atas sebab-sebab syarie. Menurut Muhammad Abdul Qadir Abu Faris (1987), sekiranya pemimpin memerintah tanpa berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah serta tidak bersifat sebagai seorang khalifah Islam dari sudut akhlak, maka pemerintah tersebut hilang kelayakan menjadi khalifah.
Khalifah merupakan individu yang penting dalam sistem politik Islam. Khalifah mempunyai hak dan autoriti dalam beberapa hal seperti memupuk perpaduan rakyat, memelihara agama dan keamanan negara, menguruskan kewangan, pentadbiran dan perundangan Islam. Segala undang-undang yang dijalankan haruslah berdasarkan semata-mata kepada al-Quran, as-Sunnah dan Ijtihad ulama sepertimana firman Allah SWT, bermaksud:
“Wahai Daud, sesungguhnya kami telah menjadikan khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan oleh kami); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah.” (Surah Sa’ad : ayat 26)
Musyawarah dan Keadilan
Menurut pandangan fuqaha, musyawarah adalah meminta pendapat orang lain mengenai sesuatu urusan. Perkataan musyawarah secara umum diertikan dengan perundingan atau bertukar fikiran. Perundingan disebut sebagai musyawarah kerana orang yang berunding diharapkan untuk mengeluarkan atau mengemukakan pendapatnya tentang suatu masalah yang dibincangkan dalam perundingan itu. Musyawarah merupakan salah satu hal yang amat penting bagi kehidupan, bukan saja dalam kehidupan bernegara malah dalam kehidupan berumah tangga. Islam memandang penting peranan musyawarah dalam kehidupan umat manusia. Contohnya dapat dilihat dari petikan ayat al-Quran dan Hadis yang menganjurkan umat Islam supaya bermusyawarah dalam memecah berbagai persoalan yang dihadapi, Firman Allah SWT, bermaksud:
“Maka disebabkan rahmat Allahlah, engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka. Seandainya engkau bersikap kasar dan berhati keras. Nescaya mereka akan menjauhkan diri darimu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan tertentu.Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah.Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”. (Surah al-Imran : ayat 159)
Menurut Saari Sungib (2011 : 28), sistem politik Islam menitikberatkan konsep keadilan dan musyawarah. Sekiranya seseorang pemimpin jelas membelakangkan konsep keadilan dan musyawarah dalam membuat keputusan pentadbiran, rakyat berhak menidakkan arahan yang datang daripada pemerintah yang zalim.
Asas kepimpinan Islam adalah berbentuk ibadah iaitu ketaatan rakyat kepada pemimpin serta dalam masa yang sama pemimpin taat kepada Allah. Sekiranya pemimpin membelakangkan hukum syarak, maka rantaian ketaatan kepada pemerintah akan terlucut dan Majlis Syura berhak menegur pemerintah dan melucutkan jawatan. Yusuf al-Qaradhawi (2011 : 40), pernah mengungkap kata-kata beliau di dalam karyanya Aku dan al-Ikhwan al-Muslimun mengenai konsep musyawarah dan kesepaduan ummah;
“…aku mulai faham dengan jelas bahawa untuk mengembalikan kemenangan Islam haruslah melalui kata-kata, perbuatan, dakwah…. Semua ini tidak mampu dilakukan oleh seorang diri….Seseorang akan lemah bila bersendiri dan kuat bila beramai-ramai …”
Perbincangan akhir
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berpegang dengan tali Allah iaitu Al-Quran. Di Malaysia, kepelbagaiannya masyarakatnya tidak menjadi halangan untuk masyarakatnya bernaung di bawah lembayung Islam. Parti Islam se-Malaysia (PAS) cuba membawa masyarakat kepada pengabdian diri kepada Allah SWT berlandaskan prinsip musyawarah. Hubungan politik dibina dalam kombinasi Pakatan Rakyat tetapi tidak menggadaikan prinsip Islam.
Apabila semua manusia menghayati prinsip Islam yang bersifat universal, maka konsep keadilan tetap terpelihara. Semua masyarakat perlu berganding bahu menentang segala kezaliman melalui undi dalam pilihan raya. Dengan menggunakan ruang yang ada seperti demokrasi, segala kebatilan akan hilang maka kebenaran pastinya muncul. Ingat firman Allah SWT, bermaksud:
“Sesungguhnya apabila datang kebenaran, maka kebatilan akan hancur. Sesungguhnya kebatilan pastinya akan hancur.” (Surah al-Isra’ : ayat 81).
[Sumber: Harakah Daily; Penulis: Mohamad Aiyad bin Ramli. Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.]
No comments:
Post a Comment