Sudah menjadi senario biasa dalam kalangan umat Islam yang menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci, mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan solat serta berdoa di tempat mulia seperti di Raudhah dan Multazam. Peluang yang ada tidak akan dilepaskan begitu saja. Mereka akan berdoa bersungguh-sungguh sambil menangis teresak-esak merayu supaya segala permintaan dikabulkan. Semua orang ingin mengejar keredaan dan keampunan Allah, lantas bersungguh-sungguh beribadah fokus kerana Allah. Namun, ada mereka terlalu obses hingga lupa untuk menghormati insan di sekelilingnya. Mereka sanggup menyiku, bertolak sesama sendiri, malah ada yang bertengkar di hadapan makam Nabi dan Kaabah As-Syarif. Malah, ada juga terkorban dalam insiden ganas ini. Dalam keadaan itu, mereka lupa menjaga hubungan sesama manusia. Hakikatnya, Islam mengajar kita untuk menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Mereka semua tetamu Allah dan dijemput Allah. Oleh itu, mereka mesti saling menghormati. Inilah yang dinamakan pentingkan diri. Ada yang berdoa di hadapan Allah untuk mengejar impian duniawi. Mereka minta untuk jadi kaya, sihat, ditemukan jodoh atau disembuhkan penyakit.. Pentingkan diri sendiri merintih pada Allah kerana pentingkan diri seolah-olah Allah hanya tempat mengadu dan meminta, bukan letaknya takwa dan iman. Lantaran terlalu ingin dimakbulkan permintaan dan mengejar pahala, mereka tegar menyakiti manusia lain. Umat Islam digalak berlumba-lumba membuat kebaikan. Firman Allah SWT: “(Berlumba-lumbalah mengejar kebaikan).” Bagaimanapun, itu semua sudah tidak bermakna tatkala kita menyakiti orang lain. Wajarkah kita mengejar pahala sambil mencipta dosa? Namun jemaah Malaysia ada kala dilihat lebih suka mengalah berbanding mengejar peluang. Menurut sesetengah daripada mereka, cukuplah sekadarnya dengan beberapa amalan yang telah dilakukan. Sikap ‘tidak apalah’, ‘cukuplah’ atau ‘OK lah tu’, harus diperbetulkan kerana dalam satu kaedah fiqh ada disebut berkorban dalam perkara ibadah adalah makruh. Kita mesti berlumba-lumba untuk mencium Hajar Aswad, berdoa di raudah, solat di Hijir Ismail. Berebut-rebutlah melakukan amalan sahabat yang solat di saf awal dalam jemaah dan berlumba-lumba memberi khidmat pada Rasul. Kita sebenarnya diminta berlumba-lumba dalam ibadat. Tidak salah hendak mendapat pahala lebih, tetapi harus diingat, jagalah hubungan sesama manusia. Santuni mereka kerana mereka juga tetamu Allah. Andai berdosa dengan Allah, kita boleh bertaubat bila-bila masa dan Allah Maha Pengampun. Namun dosa sesama manusia mesti diampunkan orang yang dizalimi itu. Bagaimana jika dia tidak ampunkan dosa kita? Ibarat dikejar tak capai, dikendong keciciran.
[sumber: Hafiz - Berita Harian, 22 April 2013]
'Mabuk' Kejar Pahala Tetapi Abai hubungan Sesama Insan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment