Murkanya Allah kepada Manusia; Ujian Bencana Alam Supaya Kita Sentiasa Bertaubat & Kembali Sujud KepadaNYA

Setelah Allah ciptakan manusia, diberi akal dan fikiran agar dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Kemudian Allah kirim pula petunjuk-Nya melalui perantaraan para nabi dan rasul, berserta diturunkan kitab-kitab panduan. Lantas, memang wajarlah Allah murka dan marah kepada manusia yang diberi nikmat tersebut (akal dan petunjuk), masih juga engkar, berbuat kejahatan, kerosakan, lebih dahsyat lagi mahu mencabar Allah dengan ‘kuasa’ yang sedikit yang Allah pinjamkan padanya.Bukankah Allah itu sangat berhak ke atas kita? Seorang saintis yang mencipta sebuah robot misalnya, tentu akan merasa marah dan kesal sekiranya robot yang diciptakannya itu mahu mengambil peluang merosakkan tuannya sendiri.
Antara murka Allah dan murka manusia tidak sama. Malah terlalu jauh bezanya. Murka manusia hanya berlaku setakat di dunia ini. Manakala murka Allah berlaku di dunia dan seterusnya di Akhirat, sekiranya yang berbuat kejahatan itu tidak bertaubat, hukuman Allah menantinya di Neraka.Hukuman yang dijatuhkan oleh manusia hasil kemarahannya tentulah terlalu kecil berbanding dengan hukuman akibat kemurkaan Allah. Sehebat mana marah dan murka raja atau ketua negara di atas muka bumi ini, walaupun dia mampu mencetuskan peperangan dunia hasil kemarahannya, tidak akan sama dengan murka Allah. Allah itu Raja segala raja. Jauh lebih gagah dan hebat daripada segala raja atau ketua negara manapun di atas muka bumi ini.Allah boleh hancurkan dunia ini bila-bila masa kalau dikehendaki-Nya dengan hanya “Kun” (Jadilah!). Allah mampu menghapuskan raja-raja yang sangat gila kuasa di atas muka bumi ini dengan sekelip mata. Azab-Nya di Neraka, tidak akan dapat digambarkan oleh fikiran kita. Api Neraka telah dinyalakan beribu tahun dahulu sementara menunggu manusia derhaka untuk menjadi bahan ‘makanannya’.
Manusia biasanya akan marah bila kepentingan dirinya tergugat, atau marah bila berlakunya sesuatu yang tidak sesuai dengan kehendaknya. Namun amat kurang manusia yang marah kerana mahu berlaku adil, atau pun yang boleh berlaku adil dalam memberi hukuman hasil daripada kemarahannya. Kalaupun ada, terlalu sedikit. Tetapi Allah, Tuhan kita tidak begitu. Allah tidak pernah mengambil faedah daripada ketaatan ataupun kederhakaan kita terhadap suruhan-Nya. Sekiranya kita taatkan Allah pun tiada keuntungan di sisi Allah, dan sekiranya kita menderhakai-Nya pun tidak akan memudharatkan-Nya. Apabila Allah marah, pada hakikatnya faedah dan kebaikannya adalah untuk diri kita. Kerana Allah mahu hidup kita sentiasa selamat dan sejahtera di muka bumi-Nya.
Hukuman Allah juga setimpal dengan kejahatan yang dilakukan oleh hamba-Nya yang berdosa. Beratnya hukuman yang menimpa manusia pada timbangan Allah memang sesuai dengan apa yang mampu ditanggung oleh manusia itu untuk dia sedar kembali akan kesalahan dan dosanya. Cuma  bagi manusia yang hatinya sudah tertutup, seksaan yang amat berat telah dijanjikan untuk mereka.Tanda-tanda kemurkaan Allah yang ditunjukkan dalam berbagai bentuk.

TANDA-TANDA YANG TERCATIT DALAM AL QURAN
Di antara bencana-bencana yang dicatatkan di dalam Al Quran adalah sebagai peringatan untuk manusia atas kemurkaan Allah kepada mereka yang melampaui batas kederhakaan dan kekafirannya:
*  Banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. yang tingginya melampaui puncak-puncak bukit dan gunung. Tiada seorang pun manusia yang selamat, melainkan mereka yang berserta Nabi Nuh yakni hanya seramai 80 orang di dalam sebuah bahtera. ( Surah Nuh: 1-28 & Surah Al Mukminun:23-30 )
*  Bencana besar Allah timpakan ke atas bangsa Tsamud, suatu bangsa yang makmur kehidupan-nya tetapi menyanggah ajaran Allah dan berpakat membunuh Nabi Salleh a.s. Letusan gunung berapi yang hebat menjadikan mereka hancur-lebur, lenyap menjadi abu dalam waktu sedetik. ( Surah Al Haqqah: 4-5, An Naml: 45-54)
*  Gempa bumi yang dahsyat sehingga bumi pecah, retak dan terbalik diiringi dengan hujan batu dan lumpur yang panas ke atas kaum Nabi Luth a.s. yang melakukan kekafiran dan perbuatan homoseksual. ( Surah Al A’raf:80-84, An Naml:54-59)
*  Bom batu berapi yang digugurkan oleh burung-burung, ditimpakan ke atas tentera Abrahah yang cuba menyerang dan menghancurkan Kaabah. Kesannya lebih mengerikan daripada bom atom dan nuklear, diibaratkan hancurnya sebagai daun-daun yang dimakan ulat. ( Surah Al Fiil:1-4)

Begitulah hebatnya gambaran murka Allah terhadap kaum-kaum yang terlalu menderhakai-Nya. Adakah sesuatu kekuatan saintifik ataupun teknik canggih yang dapat menghalang bencana Allah? Jawapannya tiada. Cara menghalang dan menghindarkan berlakunya bencana tersebut hanyalah dengan menghentikan segala kejahatan dan kekufuran serta bertaubat kepada Allah SWT.

KEMURKAAN TERHADAP INDIVIDU
Tanda kemurkaan Allah terhadap individu-individu yang derhaka adalah melalui ujian dan bala. Kemalangan, kebakaran, kehilangan harta, rumahtangga porak peranda dan bercerai berai, hidup gelisah, jiwa tiada ketenangan. Semuanya Allah timpakan setimpal dengan dosa yang dilakukan cukup untuk membuat manusia itu sedar akan kesalahan-kesalahan dan dosa-dosanya.

ISTIDRAJ
Allah juga boleh menunjukkan tanda kemurkaan-Nya kepada hamba-Nya yang berdosa secara memberi nikmat-nikmat yang berlebihan, dipanggil istidraj. Mereka ini adalah orang-orang yang kufur dan sangat degil hati-hati mereka. Lantas Allah tambahkan nikmat ke atas mereka secara murka dan benci, agar mereka bertambah lalai. Semakin bertambah kekufuran dan kejahatannya, nikmat yang Allah curahkan padanya semakin banyak. Mereka semakin jauh dari Allah, hingga akhirnya mati dalam kekufuran, ganjarannya dihumbankan ke Neraka Jahanam.Fitrah semuala jadi manusia apabila dimarahi serta diancam, akan timbullah di dalam hatinya perasaan takut dan gerun terhadap kuasa yang memarahinya. Para anbiya, auliya, Sahabat dan salafussoleh dahulu adalah orang-orang yang amat takut akan kemurkaan Allah.Sayidina Abu Bakar r.a oleh kerana terlalu takutnya kepada Allah, ketika mengangkat takbir solat, terbakar hatinya sehingga bau hangus hatinya dapat dihidu oleh Sahabat-Sahabat lain.  Sayidina Uma r.a. pernah jatuh sakit hingga sebulan, apabila mendengar ayat-ayat tentang siksaan dan kemurkaan Allah.
(sumber: mymassa.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment