PERSOALAN AGAMA 2: BAB PUASA


34. Soalan: Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya

Jawapan: Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.


35. Soalan: Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina atau wathisubhah pada bulan puasa 

Jawapan: Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).


36. Soalan: Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak

Jawapan: Sunat berimsak.


37. Soalan: Sekiranya seseorang yang membatalkan puasa nazar/qada' adakah wajib dia berimsak

Jawapan: Tidak wajib berimsak.


38. Soalan: Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin/bermukim)

Jawapan: Mengikut khaul yang lebih betul tidak wajib berimsak.


39. Soalan: Adakah perempuan yang haid wajib berimsak

Jawapan: Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.


40. Soalan: Kanak-kanak yang tidak berpuasa dan baligh di siang hari, adakah wajib berimsak dan qada' puasanya

Jawapan: Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada'.


41. Soalan: Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa

Jawapan: Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.


42. Soalan: Adakah sunat berniat puasa beserta dengan lafaz

Jawapan: Sunat.


43. Soalan: Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu

Jawapan: Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.


44. Soalan: Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib

Jawapan: Tidak sah puasanya.


45. Soalan: Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya, masuk waktu Subuh

Jawapan: Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu Subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada'.

46. Soalan: Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya

Jawapan: Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja maka tidak batal puasanya.


47. Soalan: Apakah hukum menggosok gigi di bulan puasa

Jawapan: Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.


48. Soalan: Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi

Jawapan: Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila mengggosok gigi dan sengaja dia meggosoknya.


49. Soalan: Apakah hukum cabut gigi, berbekam dan berpatik semasa berpuasa

Jawapan: Hukumnya makruh.


50. Soalan: Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadhan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya

Jawapan: Tidak ada apa hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.


51. Soalan: Seseorang yang meningal dunia, puasanya sudah diqada' tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah

Jawapan: Fidyahnya tidak bertambah.


52. Soalan: Seseorang yang terdengar azan Subuh ketika dia sedang bersahur, adakah sah puasanya

Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada di dalam mulutnya.


53. Soalan: Orang yang bersahur dengan niat untuk menguatkan puasa, adakah sah niat tersebut? 

Jawapan: Tidak sah.


54. Soalan: Seseorang yang syak masuk waktu Subuh kemudian dia bersetubuh meninggalkan bersahur kerana bimbangkan luput waktunya, adakah sah puasanya

Jawapan: Sah puasanya kalau dia berniat puasa pada malam itu.


55. Soalan: Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya

Jawapan: Batal puasanya


56. Soalan: Air liur yang terkumpul di dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya

Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.


57. Soalan: Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa 

Jawapan: Batal puasanya.


58. Soalan: Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa

Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t kepadanya".


59. Soalan: Adakah sah niat puasa di malam 30 Syaaban sedangkan hatinya tidak berat sangka bahawa esoknya masuk Ramadhan

Jawapan: Tidak sah niat tersebut.


60. Soalan: Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan contact lens

Jawapan: Boleh.


61. Soalan: Adakah wajib berimsak ke atas kanak-kanak yang baligh dan sedang berpuasa 

Jawapan: Wajib berimsak ke atasnya.


62. Soalan: Orang yang berpuasa nazar kemudian dia berbuka puasanya. Adakah wajib dia berimsak selepas dia berbuka

Jawapan: Tidak wajib kecuali puasa pada bulan Ramadhan.


63. Soalan: Orang yang berpuasa yang melakukan 2 kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan 2 kifarat 

Jawapan: Dikenakan satu kifarat sahaja.


64. Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya

Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab:

a. Kerana keuzuran dirinya sendiri.

b. Kerana menjaga kesihatan anak.

Keterangan:

a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada' sahaja.

b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada'dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari.

c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada' sahaja.


65. Soalan:Adakah wajib qada' puasa yang ditinggalkan semasa dia gila

Jawapan: Tidak wajib qada' puasa tersebut. 


66. Soalan: Seseorang yang mati dan meninggalkan puasa tetapi walinya tidak membayarkan fidyah sehingga Ramadhan yang kedua. Adakah digandakan fidyahnya 

Jawapan: Tidak digandakan fidyahnya. Ada pendapat mengatakan dikenakan dua cupak bagi setiap hari, satu cupak kerana tidak berpuasa dan satu cupak lagi kerana menangguhkan fidyah.


67. Soalan: Apakah hukum seseorang yang mati yang belum sempat menunaikan puasa nazar

Jawapan: 

a. Mengikut Qaul Jadid hendaklah wali memberi secupak beras sehari.

b. Mengikut Qaul Qadim wali boleh memberi secupak beras sehari atau menggantikan puasa.


68. Soalan: Adakah harus qada' puasa kepada simati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqada'kan puasanya oleh 30 orang selama satu hari

Jawapan: Harus dan Sah.


69. Soalan: Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqada'kan puasa untuknya

Jawapan: Tidak boleh diqada'kan puasa kepada orang yang masih hidup.


70. Soalan: Bolehkan dibayar fidyah 10 cupak kepada 1 orang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang

Jawapan: Boleh diberi kepada satu orang atau sepuluh orang.


71. Soalan: Adakah sah bernazar puasa selama 1 tahun

Jawapan: Sah nazar tersebut dan hendaklah berpuasa selama tempoh tersebut termasuk dalamnya hari Tahrim (2 hari raya), tiga hari tasyrik, l bulan puasa Ramadhan dan puasa qada'.


72. Soalan: Apakah hukum seorang isteri bernazar untuk puasa setahun dan dilarang oleh suami

Jawapan: Wajib berbuka dan tidak dikenakan fidyah dan qada' kerana dikira uzur.


73. Soalan: Adakah sah puasa sunat seorang perempuan yang dilarang oleh suaminya

Jawapan: Sah puasa tetapi berdosa.


74. Soalan: Adakah wajib qada' bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya

Jawapan: Tidak wajib qada' pada mazhab Abu Hanifah.


75. Soalan: Bolehkah membatalkan haji sunat atau umrah sunat

Jawapan: Tidak boleh kalau terbatal wajib Qada'. Catatan: Masalah ini berbeza dengan puasa sunat kerana puasa sunat boleh dibatalkan tanpa qada'.


76. Soalan: Adakah sah berpuasa pada hari-hari Tahrim

Jawapan: Tidak sah dan haram berpuasa.


77. Soalan: Apakah hukum bersahur

Jawapan: Hukumnya sunat.


78. Soalan: Apakah hukum puasa sunat pada hari jumaat saja

Jawapan: Makruh berpuasa kecuali pada hari jumaat itu jatuh 10 Muharram.


79. Soalan: Apakah hukum meneruskan puasa 2 hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka

Jawapan: Haram berpuasa dengan tidak berbuka.

[Sumber: klikkhas.bharian.com.my ~ laman web JAKIM]


No comments:

Post a Comment