Bhg. 2: Cara-cara Memimpin Hati

Untuk jelasnya dibuat beberapa contoh, cara membersihkan hati yang jahat ini:

Contoh 1: Rasa Bakhil
Biasanya nafsu mendorong kita bersifat bakhil. Sedangkan bakhil itu dikeji dan dibenci oleh Allah. Kerana Allah mahu kita jadi pemurah. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Riwayat Al Khatib)Oleh itu kita mesti melawan kemahuan nafsu itu. Paksalah hati memberi atau menderma selalu, terutamanya waktu rasa bakhil itu menguasai diri. Yang paling baik, waktu duit tinggal sedikit, waktu itulah kita latih berkorban kerana waktu itulah nafsu rasa paling tercabar. Itulah waktu yang sebaik-baiknya untuk menundukkan nafsu. Sedangkan waktu kita kaya, fungsi menderma tidaklah sebagai riadah melawan nafsu tetapi perbuatan itu sekadar dapat pahala.
Katakanlah kita sedar bahawa pada diri kita ada sifat bakhil. Kita pun tahu bahawa Allah tidak suka pada orang yang bakhil. Kerana itu kita berazam untuk mengikis sifat yang terkutuk itu. Maka kita perlu cuba membiasakan dan membanyakkan sedekah, memberi hadiah dan lain-lain amalan yang berupa pemberian hak kita kepada orang lain. Agar sifat pemurah menjadi subur dan sebati seterusnya menjadi tabiat kita. Sebagai pendorongnya, kita hendaklah selalu membaca firman-firman Allah dan Hadis-Hadis yang banyak menganjurkan kita berkorban. Di sini dipetik beberapa ayat Al Quran dan Hadis untuk menunjukkan Allah dan Rasul-Nya sangat menganjurkan sifat pemurah itu.Firman Allah SWT: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkan sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagian dari hartamu, memperolehi pahala yang besar.” (Al Hadid: 7)  Firman Allah SWT: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)  Bersabda Rasulullah SAW: “Orang yang membantu perempuan janda dan orang miskin, samalah seperti berjihad di jalan Allah dan seperti bersolat malam tanpa letih, dan seperti berpuasa siang hari tanpa berbuka.” (Riwayat Bukhari)  Sebenarnya sifat bakhil bukan sahaja ada pada orang kaya dan berharta bahkan orang miskin pun tidak mustahil dihinggapi penyakit ini. Kerana itu dalam Islam bukan sahaja sedekah itu boleh dilakukan dengan harta benda tetapi boleh juga dilakukan dengan cara yang lain. Cara-cara ini dapat mendidik akhlak mulia bagi semua orang, memberi peluang pada orang miskin mengikis sifat bakhil selain turut mendapat pahala sedekah.Allah SWT berfirman: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263)  Rasulullah SAW pernah memberikan garis-garis panduan berikut dalam satu riwayat Hadisnya: “Segala perbuatan yang baik itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dan Bukhari dari Jabir)  Sabda Rasulullah SAW: “Senyuman kepada saudaramu itu adalah sedekah.”(Mashabi Assunah)  Lagi Sabda Baginda: “Aku khabarkan kepadamu, yang lebih tinggi dari darjat puasa, sembahyang dan sedekah. “Khabarkanlah,” kata Sahabat-Sahabat. “Mendamaikan dua golongan yang bergaduh itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dari Abi Dardak)  Dengan menggunakan panduan-panduan di atas, orang yang menyedari ada padanya sifat bakhil, bolehlah cuba melatih diri untuk mengubatnya. Bila ada saja peluang untuk sedekah dan sebagainya, jangan dibiar begitu sahaja. Paksalah hati untuk mengeluarkan harta atau bertindak memberi kebaikan kepada orang lain dengan bermacam-macam cara itu.
Di waktu rasa bakhil itu terasa kuat bergantung di hati, waktu itulah perlawanan mesti dihebatkan. Keluarkan apa-apa yang disayangi itu dengan segera dan sebanyak-banyaknya. Latihan ini akan jadi lebih berkesan kalau kita sanggup mengeluarkan harta itu semasa kita sendiri kekurangan. Katakanlah kita didatangi oleh peminta derma di waktu kita hanya ada RM5 di poket. Waktu itu, paksakan hati supaya mengeluarkan separuh yang ada. Tentulah hati rasa berat tetapi keluarkanlah juga. Insya-Allah, kalau ini dibuat dan sanggup kita buat selalu, kita akan jadi seorang yang pemurah dan rasa bakhil akan lenyap terus dari hati kita. Katakanlah kita ada duit RM10,000 tetapi yang kita dermakan hanya RM10 sahaja, tentu tidak akan berkesan apa-apa di hati kita. Di waktu duit sedikit, rasa bakhil sangat kuat maka waktu itu kita akan rasa berat untuk menderma. Ketika itulah kita perlu lawan sifat bakhil itu. Itulah yang dikatakan latihan. Itulah caranya untuk suburkan sifat-sifat pemurah.

Contoh 2: Sifat Takabur
Sifat takabur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan-jalan kebaikan yang mungkin dibuat oleh seseorang itu. Hampir semua dari kita ada sifat ego atau sombong ini. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali ada berkata bahawa sifat ego itu hampir-hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia. Ada ulama sufi berkata, setelah melakukan latihan melawan hawa nafsu, sifat mazmumah yang paling akhir sekali keluar dari dirinya ialah kibir, sombong atau ego.  Bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa. Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, akan mampu pulalah kita meminta maaf. Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu perlu sangatlah kita melatih diri untuk melawan sifat sombong atau takabur itu.
Latihan yang lebih berkesan lagi ialah kita biasakan diri tinggal bersama dengan orang-orang yang dipandang rendah oleh masyarakat. Orang-orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap-cakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka. Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita. Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”  Kalaulah amalan ini dibiasakan, insya-Allah sifat ego itu sedikit demi sedikit akan dapat kita buang dari hati kita. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Luqman: 18).  Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.” (Al Hujurat: 11)
Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita. Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.”  Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Allah. Ia adalah lawan pada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah. Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.Latihan ini sangat susah hendak dibuat kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya. Sebab itu Rasulullah ada bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.”
Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja. Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu. Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit. Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan ini sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang telah kita sebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun ianya bukan mudah. Amat susah. Tersiksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah. Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun melalui latihan yang bersungguh-sungguh, insya-Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah. Allah berfirman: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)

Contoh 3: Rasa Takut
Rasa takut yang menguasai hati akan bertindak dalam berbagai bentuk mengikut suasana yang dihadapi. Contohnya, takut jin, takut harimau, takut ular, takut penjahat, takut miskin, takut orang kata, takut menegakkan kebenaran, takut maksiat dan takutkan Allah.  Di antara rasa-rasa takut yang disenaraikan di atas, ada rasa takut yang dilarang syariat dan ada pula rasa takut yang disuruh syariat. Perlu diketahui bahawa kedua-dua jenis takut ini tidak mungkin mengisi hati manusia dalam satu masa. Kalau rasa takut yang dilarang syariat ada dalam hati, maka rasa takut yang disuruh syariat, tidak akan bertapak di hati. Sebaliknya kalau takut yang disuruh syariat mengisi ruangan hati, maka hilanglah pula rasa takut yang dilarang syariat.Tujuan melawan hawa nafsu yang dianjurkan syariat adalah untuk membuang segala rasa takut yang dilarang, untuk diganti dengan rasa takut yang disuruh. Kemuncak rasa takut yang dikehendaki syariat ialah rasa takutkan Allah, dengan erti takutkan segala azab yang dijanjikan oleh Allah di dunia apalagi di Akhirat.Untuk itu kita mesti melawan nafsu kita yang takut pada hantu atau momok misalnya. Setiap kali kita terserempak dengan suasana itu, jangan kita mengalah dengan nafsu. Kuatkan hati dan tanamkan keyakinan bahawa Allah sahaja yang layak kita takuti. Yang lain-lain hanyalah makhluk seperti kita dan tidak ada apa-apa kuasa.Untuk lebih berkesan, cuba di waktu tengah malam, kita pergi sendirian ke tanah perkuburan atau ke tempat-tempat yang menyeramkan. Masya-Allah! Tentulah takut. Takut itulah yang mesti kita lawan. Lawan dengan iman dan ilmu. Yakin bahawa tidak ada suatu kuasa pun yang boleh memberi kesan melainkan kuasa dan keizinan Allah. Waktu itu, isikan hati dengan zikrullah. Sedar dan yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dan Allah sangat hampir dengan kita. Allah Maha Melihat dan sedang melihat apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar dan sedang mendengar apa yang kita katakan. Allah Maha Mengetahui segala masalah yang sedang melanda hati kita. Allah penentu, Allah pemutus, Allah penolong, Allah pembantu, Allah penyelamat dan Allah Maha Kasihan Belas pada hamba-hamba-Nya yang mahu mengikut jalan-Nya.  “Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk mencari keredhaan Allah) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)

Lakukan latihan ini dengan tawakal dan doa yang sungguh-sungguh, agar Allah merestui dan memudahkan perjalanan kita. Buangkan rasa takut itu dan gantikan dengan ingatan serta keyakinan hanya pada-Nya.  Bagi orang yang ingin menegakkan kebenaran, tetapi takut dikata orang, takut dihina, takut dibuang kerja, takut ditangkap, takut dijel, takut dibenci dan diketepikan, juga wajib bermuhajadah. Lawanlah rasa takut yang begitu dengan bertindak melakukan amalan tersebut. Misalnya kita takut hendak menghantar anak ke sekolah yang terjamin ada pendidikan Islam, dengan alasan takut tidak dapat kerja, takut gelaplah masa depannya di samping takutkan sikap hidup yang konon ketinggalan zaman.  Cara melawannya ialah hantarkan sahaja anak ke sekolah yang ditakuti itu. Kuatkan hati, pejamkan mata, pekakkan telinga dan lepaskan si anak pergi. Apa sahaja yang dibisikkan nafsu dan syaitan itu kita lawan. Jangan dilayan. Tawakal dan berdoa kepada Allah semoga usaha itu direstui dan semoga Allah bukakan jalan-jalan kemenangan kepada kita di dunia dan Akhirat.

Bagi orang-orang yang tidak melawan nafsu, imannya tidak mungkin dapat bertambah. Malah makin berkurang. Sama ada mereka sedar atau tidak, mereka telah diperhambakan oleh nafsu, menempah kecelakaan dan kutukan Allah di dunia dan Akhirat. Sebenarnya apa yang ditakuti itu, baik jin, mahupun kemiskinan atau penghinaan dari orang lain, pada hakikatnya tidak begitu. Adakah selama ini jin yang mencekik dan membunuh orang? Benarkah orang yang berpendidikan Islam itu miskin dan hina? Benarkah orang yang berpendidikan sekular terjamin hidup dunianya? Cubalah renung dan fikirkan hakikat ini. Kemudian sesuaikan pula dengan firman Allah:  “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong Allah, Allah akan menolong kamu dan Dia akan menetapkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)Demi Allah yang tidak akan mungkir janji, yakinlah bahawa setiap usaha yang bertujuan mencari keredhaan-Nya pasti mendapat jaminan dan dimuliakan. Seperkara yang harus kita sedar bahawa Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih itu, sentiasa bersedia untuk menolong sesiapa sahaja dari hamba-hamba-Nya. Kerana telah ditetapkan-Nya bahawa untuk mendidik hati, menambah iman itu perlu kita banyakkan latihan melawan hawa nafsu, maka Allah sendiri selalu memberi peluang pada kita untuk berbuat demikian. 
Mehnah atau ujian dari Allah yang selalu menimpa kita seperti miskin, sakit, kematian, kecacatan anggota, kekurangan rupa paras, lemah dan bodoh, kata nista, hasad dengki orang, bencana alam dan lain-lain kesusahan serta penderitaan itu adalah peluang yang Allah berikan untuk kita bermujahadah. Lagi tinggi taraf iman seseorang, lagi banyaklah mehnah yang Allah datangkan. Demikian maksud sabda Rasulullah SAW: “Bala yang paling berat akan ditimpa pada nabi-nabi, kemudian orang yang paling mulia (selepas nabi), kemudian yang paling mulia selepas itu. Seseorang itu diuji mengikut pegangan agamanya. Jika kuat agamanya beratlah ujiannya. Jika lemah agamanya, maka diuji mengikut agamanya.” (Riwayat At Tirmizi).  Apabila jiwa dihimpit dengan kesusahan-kesusahan, ertinya nafsu tercabar. Nafsu bakhil, sombong, penakut dan lain-lain mazmumah itu menjadi sakit dan terseksa setiap kali ditimpa ujian. Sesiapa sahaja sama ada orang Islam atau bukan Islam, asalkan dia hamba Allah, pasti merasakan hal ini. Bagi orang-orang yang beriman, dia sedar maksud Allah berbuat begitu. Setiap kali ditimpa ujian dia cepat-cepat memberitahu hatinya bahawa kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu ia pasti akan mendapat satu dari dua yakni:
1. Penghapusan dosa atau
2. Kasih sayang Allah dan pangkat darjat di Syurga

Apabila diyakini sungguh-sungguh, bagi kita yang bertaraf iman ilmu tentu akan sanggup bermujahadah, memaksa nafsu untuk tenang dan merasa tidak ada apa-apa dengan penderitaan itu. Kalau kita miskin, maka pujuklah hati untuk tidak sedih dan susah hati dengan kemiskinan. Kajilah kebaikan yang diperolehi oleh orang miskin, di dunia mahupun di Akhirat. Misalnya di dunia kita beruntung, tidak payah mengurus, tidak payah bertanggungjawab membantu orang lain. Di Akhirat pula hisab akan dikurangkan dan dipercepatkan masuk ke Syurga.  Kemudian ajaklah hati untuk menerima pemberian Allah itu dengan redha, tanpa kesal dan buruk sangka dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah cukup tahu kenapa kita perlu miskin. Kita pula sangat lemah untuk memahami hakikatnya apalagi untuk menangkisnya. Ibarat baju kita yang mana ia tidak pernah tahu kenapa kadang-kadang dibasuh, kadang-kadang digosok, kadang-kadang dijahit, kadang-kadang dipakai dan kadangkadang dibuang. Maka begitulah kita yang jahil tentang rahsia diri dan hati sendiri. Amat munasabahlah untuk kita redha dan sabar dengan ketentuan Allah kepada kita.Memang di peringkat mujahadah, hati masih sakit dan tidak puas hati. Hanya jagalah supaya kita tidak gelisah, tidak mengungkit-ungkit, tidak mengadu-ngadu serta tidak buruk sangka dengan Allah. Kalau sifat ini dapat dikekalkan, insya-Allah peluang untuk meningkatkan iman adalah besar. Sebaliknya kalau setiap ujian dihadapi dengan keluh-kesah dan gelisah, kebimbangan, tidak sabar dan buruk sangka dengan Allah, bersedialah untuk menanggung kegelisahan jiwa yang perit dan penderitaan di Akhirat yang amat sangat.  Untuk pengetahuan kita, perlu dinyatakan bahawa bagi orang-orang muqarrobin dan nabi-nabi, iman yang tinggi menjadikan mereka lebih senang hidup dalam kesusahan daripada kesenangan. Mereka lebih inginkan kekurangan daripada kecukupan. Sebagai bukti cuba kita lihat doa Rasulullah SAW: “Wahai Tuhan, hidupkan aku di dalam ke-miskinan, matikan aku dalam kemiskinan dan kumpulkan aku dalam Syurga bersama orang-orang miskin.” (Riwayat At Tirmizi)
Sayidina Ali dalam sejarahnya pernah ketika dia hanya ada sebiji kurma untuk berbuka puasa, tiba-tiba datang peminta sedekah meminta makanan, terus diberikannya kurma yang sebiji itu. Seorang perempuan di zaman Rasulullah SAW, yang punya tiga anak lelaki, sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang tetapi menangis bila diberitahu anak bongsunya juga syahid. Bila ditanya kenapa dahulu senyum, sekarang menangis? Beliau menjawab: “Aku sedih kerana tiada lagi anak yang boleh aku korbankan untuk jihad fisabilillah.”Nafsu kita juga selalu membuatkan kita kelu dan takut untuk bercakap bila berhadapan dengan orang-orang besar atau raja. Sedangkan bercakap benar di hadapan raja yang zalim itu adalah dituntut. Rasulullah SAW bersabda:  “Jihad yang paling utama itu berkata benar kepada penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu kita mesti berusaha dapatkan sifat berani. Untuk melakukannya, mesti biasakan bercakap kebenaran bila semajlis dengan orang-orang besar. Memanglah di permulaannya kita akan rasa gementar tetapi lama kelamaan rasa takut pada makhluk itu pasti hilang. Yang timbul hanya rasa takut pada Allah sahaja.Tanpa latihan tidak mungkin kita boleh buat peningkatan. Sedangkan latihan itu memang sulit. Kerana kita dihalang oleh nafsu. Rasa takut dan rendah diri itu sudah lama mendarah mendaging. Jadi dengan jiwa tauhid yang kuat dan ampuh bertunjang di hati saja, kita mampu menolak nafsu-nafsu takut dan hina diri itu. Terutama bila berhadapan dengan orang besar atau orang yang berkuasa.
(sumber: usahataqwa.com)

No comments:

Post a Comment