1. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang melarang kita berkawan rapat dengan orang kafir (ada kecenderungan hati), kerana akidah mereka yang mensyirikkan Allah lantas tidak diredhai Allah, dan juga kerana di kalangan mereka ada yang berkonspirasi menghancurkan umat Islam. Oleh itu Allah sebut ; tidak akan sesekali mereka meredhai kamu (yahudi nasrani) hingga kamu mengikuti agama mereka/ketentuan mereka, dan juga ‘mereka sentiasa akan memerangi kamu sehingga kamu murtad/keluar dari agama kamu’.
2. Oleh sebab itu harus dibezakan antara dua kafir, yang pertama yang dilahirkan oleh ibubapa kafir lalu menjadi kafir dengan jahil, dan tidak pernah mengenal Islam, ataupun mengenali Islam tapi tak nak masuk Islam dan tak perjuangkan agamanya untuk hancurkan Islam.
kedua, kafir yang memusuhi Islam, di mana mereka memang sudah tahu apa itu Islam, sudah mengenali, tapi tidak mahu masuk Islam dan memusuhi Islam.
3. Untuk golongan pertama kita berdakwah dengan hikmah dan boleh bersangka baik sekiranya kita tidak mendapati sebarang bentuk permusuhan dengan mereka, dan ini yang disebut dalam surah Al-Mumtahanah (Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada mereka).
4. Untuk golongan kedua, ini kena berhati-hati, kerana mereka memusuhi Islam dan mempunyai komplot dan konspirasi tersendiri. Kalau kita sangka baik dengan kita, masuklah kita dalam perangkap mereka. Ciri-ciri golongan kedua ini antaranya, banyakkan dialog yang memeningkan kefahaman Islam, mempertikai institusi besar Islam, dan mahu menunjukkan kononnya dirinya baik dengan Islam dengan menyebut-nyebut ayat-ayat Quran di hadapan orang Islam. Hakikatnya mereka mahu mengabui mata orang Islam agar dilihat baik. Allah menyebut mengenai pendirian kita dalam hal ini dalam surah Al-Mumtahanah (selepas ayat tadi).
5. Perlu bezakan juga antara dakwah dan pertahankan umat Islam. Kita tak boleh berdakwah dengan menyebabkan kerugian umat Islam. Dakwah kepada mereka wajib, tapi mempertahankan umat Islam lebih wajib kerana Allah lebih menyayangi orang Islam berbanding orang kafir. Kita hayati surah Abasa di mana Ibnu Ummu Maktum yang buta lebih tinggi darjatnya dan lebih disayangi di sisi Allah daripada Abu Jahal dan para pembesar Quraisy.
6. Jadi apabila dakwah itu bertembung dengan maslahat umat Islam, maslahat umat Islam dikedepankan. Kita dapati banyak retorik yang mengatakan mahu berdakwah dengan non-Muslim, maka kita MESTI melakukan engagement dan persepakatan dalam banyak perkara terutama perkara kenegaraan, lalu terhasilnya persepakatan menentang kerajaan orang Islam oleh non-Muslim + orang Islam sendiri.
7. Hakikatnya ia bukanlah merapatkan mereka dengan Islam, tapi ia lebih merosakkan kefahaman Islam sendiri. Apabila masyarakat Islam sudah tidak nampak apa bezanya parti Islam dengan parti bukan Islam, maka ia satu musibah besar kerana menghilangkan neraca wala’ wal bara’. Bahkan ia menyebabkan perpecahan di kalangan orang Islam sendiri.
8. Dr Faysal Maulawi rahimahullah menulis dalam kitab Nahnu Wal Akhar (Kita dan Orang Lain), bahawa jika kita mahu menarik orang non-Muslim kepada Islam, dan mahu bersatupadu dengan mereka, kita mesti menunjukkan kesepakatan dan kesatuan Islam di hadapan mereka.
[sumber: fitrahislami.wordpress]
No comments:
Post a Comment