Sesungguhnya kematian merupakan peringatan yang menusuk kalbu. Pemergian seseorang telah meninggalkan pengajaran bahawa mati itu pasti. Cuma tahap persediaan kita sahaja yang belum pasti. Apabila badan kita malas untuk beribadat; kita hendaklah berfikir tentang kematian. Kebaikan apakah yang akan aku bawa jika mati secara tiba-tiba? Mengapa kehidupan kita dilalaikan dengan nikmat dunia? Dan mengapa disia-siakan kehidupan dengan hiburan semata-mata? Apakah amal ibadah kita di dunia ini cukup untuk dibawa ke akhirat kelak?
Firman Allah SWT yg bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Allah yang menghidupkan kamu kemudian DIA akan mematikan kamu, setelah itu DIA akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat - (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)." Surah Al-Jaathiyah; 26.
Manusia kadangkala terlupa dan ramai yang tidak mahu berfikir tentang masa hadapan di alam akhirat kelak. Masa muda bukanlah hanya untuk mencari harta. Sebaik-baiknya semasa punya tenaga yang bernyala-nyala inilah perlu kita lakukan ibadat dan menambah amal kebaikan di dunia. Marilah kita berlumba-lumba melakukan amalan yang berpanjangan pahalanya seperti sedekah jariah, wakaf, mengajar ilmu yang boleh diamalkan ramai orang dan memulakan amalan baik yang boleh dicontohi masyarakat. Apa yang boleh bantu kita sebaik sahaja ajal tiba? Jika kita telah melakukan kebaikan yang banyak serta sempat meraih redha Ilahi, kebahagiaan itu akan kita mula rasai sejak mula mati lagi. Jika kejahatan lebih banyak dan tidak sempat bertaubat, sakaratulmaut lah permulaan sengsara.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputu pengetahuan-NYA akan segala yang kamu kerjakan." Surah Al-Hasyr: 18.
Kisah Rasulullah SAW; suatu hari ketika Rasulullah sedang berjalan melintasi sebuah perkuburan, baginda mendengar suara kesakitan dua orang yang sedang diazab dalam kubur. Baginda terus bersabda,"dua orang ini diseksa kerana melakukan dosa besar." Tambah baginda, "Benar! Seorang tidak membersihkan diri daripada kotoran air kencing (setelah membuang air kecil) sementara seorang lagi diseksa kerana suka memfitnah." Kemudian baginda meminta sahabat memberikannya sebatang ranting hijau, mematahkannya menjadi dua bahagian dan memacakkannya di atas kedua-dua kubur tersebut. Sahabat pun bertanya mengapa Rasulullah melakukan begitu? Jawab baginda, "Aku berharap barangkali dapat mengurangkan seksaan mereka hinggalah dua batang ranting itu kering." Kisah benar ini banyak memberi pengajaran kepada kita, antaranya:
» Rasulullah SAW membuktikan seksa kubur itu benar.
» Seksa kubur boleh dielakkan dengan menjauhi maksiat, tidak kira dosa kecil mahupun dosa besar.
» Menyesal kemudian tiada gunanya.
» Jika orang mati boleh hidup semula barang sesaat, tentu mereka akan berusaha memadamkan dosa tersebut dan berpesan kepada ahli keluarga agar tidak menunjuk berani melakukan larangan Allah SWT.
Oleh itu jadikanlah kehidupan kita ini biarlah bermanfaat, semoga mati kita nanti akan mendapat berkat. Kawallah hati supaya sentiasa bersabar ketika menjauhi dan membenci maksiat, elakkan dari permusuhan sesama kita (mengumpat, melaga-lagakan orang, berlaku zalim) leka dan lalai dengan hiburan dunia. Apapun yang terjadi, kembalilah kepada Ilahi. Usah semakin jauh dari Ilahi, seperti orang kafir yang tidak mempercayai qada' dan qadar. Setiap perbuatan baik kita nanti hasilnya bukan sahaja di dunia; malahan kebahagiaan di akhirat kelak. Kejarlah rahmat Allah SWT kerana hanya dengan rahmat-NYA sahajalah kita layak masuk syurga. Jika kita melakukan sesuatu demi rahmat dan redha Allah, In shaa Allah jalannya akan terbuka luas untuk kita.
Amalan doa harian [HR Tirmizi]:
"Ya Allah, berikanlah kami rasa takut kepada-MU yang dapat menghalang kami berbuat maksiat, berikanlah kami ketaatan kepada-MU yang dapat menyampaikan kami ke syurga-MU, berikanlah kami keyakinan yang membuatkan kami tabah menghadapi cobaan dunia. Kurniakanlah kepada kami melalui pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami, apa yang dapat membuat kami hidup. Jadikanlah ia diwarisi keturunan kami. Berikanlah kami pahala atas orang yang berbuat zalim kepada kami. Bantulah kami daripada orang yang menganiayai kami. Janganlah Engkau jadikan musibah kepada agama kami. Jangan pula Engkau jadikan kehidupan dunia sebagai tujuan utama dan di akhir ilmu kami, serta janganlah Engkau berikan kami pemimpin yang tidak mengasihani kami." amin ya robbalalamin..
(Sumber: Buku 'Kau Hadir Dalam Munajatku' ~ Ruhana Zaki)
[Entri kali ini khas ditujukan kepada insan yang pernah hadir dalam kehidupanku (1996-2000), kasih sayangnya suatu ketika dulu yang pernah membahagiakan walaupun seketika cuma, kebaikan hati dan perlakuan yang baik merupakan kenangan yang terindah dalam hidupku. Pemergiannya pada 3 Julai 2013 dalam usianya 38 tahun, sudah pasti takkan kembali lagi. Hanya doaku senantiasa mengiringimu selalu. Ila arwahi Mohd. Tarmizi Zawawee, al fatihah..]
No comments:
Post a Comment