Islam mengajar kepada umatnya supaya menjaga 5
perkara iaitu agama, akal, keturunan, diri, dan harta. Kesemua ini boleh
dilihat di dalam ayat Al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. yang beredar sekitar
pemeliharaan perkara-perkara yang telah disebutkan. Contohnya pengharaman arak
adalah untuk memelihara akal manusia daripada rosak, pengharaman zina adalah
kerana ia boleh merosakkan diri dan keturunan
Antara perkara yang diharamkan oleh Islam ialah pandangan lelaki kepada wanita
dan sebaliknya yang boleh menyebabkan kepada maksiat. Syair Arab pernah
menyebutkan :
نَظرَةٌ ,
فَابْتِسَامَةٌ , فَسَلامٌ * فكَلامٌ , فَمَوْعِدٌ , فَلِقَاءٌ
Maksudnya : Pandangan, kemudian senyuman dan
salam. Seterusnya kata-kata, temu janji dan pertemuan.
Jelas kepada kita daripada rangkap ini bahawa pandangan itu boleh mengakibatkan
kesan yang tidak baik sesama masyarakat iaitu berleluasanya gejala sosial. Oleh
sebab itulah Allah S.W.T. memerintahkan kepada orang-orang beriman supaya
menjaga pendangan serta kemaluan berdasarkan ayat Al-Quran di dalam Ayat Al-Quran, Surah An-Nuur ayat 30-32:
Maksudnya
: “Katakanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau
anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka
yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari
orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang
yang beriman, supaya kamu Berjaya (31). Dan kahwinkanlah orang-orang bujang
(lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari
hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan
memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas
(rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui”.
Panduan
yang diberikan di dalam ayat berkenaan ialah :
* Suruhan menjaga pandangan dan kemaluan yang
ditujukan kepada kaum lelaki dan wanita.
* Aturan Islam dalam menerangkan penampilan seorang
muslimah.
Jika diperhatikan kepada kedua-dua ayat tadi, ia memberikan gambaran kepada
kita bahawa beberapa jenis pandangan itu ada kalanya dibenarkan di sisi syara’.
Sebab itulah Allah S.W.T menyebutkan ((يغضوا من أبصارهم dan (يغضضن من أبصارهن) yang menunjukkan
beberapa pandangan manusia ini perlu dijaga dan dipelihara sedangkan bakinya
ada keringanan daripada syariat seperti pendangan ketika menjalankan urusan
jual beli dan lain-lain. Walaupun begitu, Islam masih menggariskan syarat yang
perlu dipatuhi bagi menjaga umatnya agar tidak melakukan perkara yang dilarang
Allah S.W.T.
Maksud Menjaga Pandangan
Ayat Al-Quran di atas memberikan maksud menjaga pandangan itu dengan
menundukkannya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan syara’. Bukanlah
maksud kita memejam mata atau berjalan dengan memandang ke tanah tetapi ia
adalahmenjaga pandangan supaya tidak berasa seronok apabila melihat
kecantikannya serta tidak memandang dengan pandangan yang lama.
Sabda
Nabi S.A.W. kepada Saidina Ali : (Wahai
Ali, janganlah pandangan itu dituruti dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya
pandangan pertama itu bagimu dan bukannya pandangan selepas itu). – Riwayat
Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.
Sabda baginda
lagi : (Dua mata turut
berzina, dan zinanya ialah pandangan) – Riwayat Imam Bukhari.
Zina
mata yang dimaksudkan di sini ialah berseronok dengan pandangan yang tidak
dibeanrkan syara’.
Bukan sahaja Al-Quran bahkan di dalam kitab Injil juga ada menyebutkan
kata-kata Nabi Isa a.s. : (Telah
berkata mereka yang hidup sebelum kamu – “Jangan berzina” dan aku mengatakan
kepada kamu – sesiapa yang melihat sesuatu dengan pandangan matanya maka dia
telah berzina).
Pengharaman Pandangan Kepada Aurat
Antara pandangan yang perlu dijaga
ialah pandangan kepada aurat, kerana Nabi S.A.W. melarang umatnya memandang
kepada aurat walau pandangan seorang lelaki kepada lelaki yang lain atau
seorang wanita kepada wanita yang lain samada keduanya disertakan dengan
syahwat atau tidak.
Sabda
Nabi S.A.W. : (Tidaklah bagi
seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidaklah seorang
wanita melihat kepada aurat wanita yang lain. Dan tidaklah juga seorang lelaki
tidur berkongsi satu selimut dengan lelaki yang lain, dan juga wanita dengan
wanita yang lain dalam satu selimut). –
Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.
· Batasan aurat lelaki yang tidak boleh dilihat oleh
lelaki dan wanita – antara pusat dan lutut, manakala sebahagian ulama’ seperti
Ibnu Hazam dan sekumpulan ulama’ Mazhab Maliki mengatakan bahawa peha itu bukan
aurat.
· Batasan aurat wanita yang tidak boleh dilihat oleh
lelaki ajnabi – seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan.
Adapun
aurat dengan muhrim mereka seperti bapa, saudara dan sebagainya akan dinyatakan
dalam perbahasan akan datang.
Pengharaman yang disebutkan sebelum ini adalah apabila ia terjadi dalam suatu keadaan yang tidak terdesak, dan hukumnya akan berubah jika berlaku dalam situasi mendesak seperti perawatan dan lain-lain. Perlu diingat, walaupun ada batasan pandangan yang dibenarkan syara’ namun dengan syarat aman daripada fitnah dan syahwat, dan jika tidak maka keharusan ini tidak lagi dibenarkan.
Pengharaman yang disebutkan sebelum ini adalah apabila ia terjadi dalam suatu keadaan yang tidak terdesak, dan hukumnya akan berubah jika berlaku dalam situasi mendesak seperti perawatan dan lain-lain. Perlu diingat, walaupun ada batasan pandangan yang dibenarkan syara’ namun dengan syarat aman daripada fitnah dan syahwat, dan jika tidak maka keharusan ini tidak lagi dibenarkan.
Had pandangan yang dibenarkan syara’ antara lelaki
dan wanita:
Wanita kepada
lelaki – Nabi S.A.W.
mengizinkan kepada Saidatina Aisyah untuk melihat orang Habsyi yang sedang
bermain pedang di Masjid Nabawi, sehinggalah beliau berasa bosan dan berlalu
pergi. – Riwayat Imam Bukhari
dan Muslim.
Pandangan yang diharuskan bagi kategori ini ialah apabila tidak disertakan syahwat
dan aman daripada fitnah.
Lelaki kepada
wanita – Muka dan tapak tangan selagi mana tidak disertakan syahwat dan aman
daripada fitnah.
Daripada
Aisyah bahawa Asma’ binti Abu Bakar – saudara kandung beliau – datang kepada
Nabi S.A.W. dengan keadaan pakaian yang nipis dan menampakkan bentuk badan,
maka Nabi berpaling dan bersabda :
(Wahai Asma’, sesungguhnya wanita apabila telah
baligh tidak dibenarkan melihatnya melainkan ini dan ini). Lalu baginda
mengisyaratkan kepada muka dan kedua tapak tangannya). Riwayat Abu Daud.
Walaupun hadis
di atas atas ada yang mengatakan ia tidak kuat untuk dijadikan sandaran namun
telah disokong hadis sohih lain yang membenarkan pandangan kepada muka dan
tapak tangan ketika aman daripada fitnah.
Kesimpulan : Pandangan kepada bahagian anggota
badan lelaki dan wanita yang bukan aurat adalah dibenarkan selagi mana tidak
berulang kali atau memandang dengan lama serta aman daripada fitnah.
Pandangan Yang Dimaafkan
Namun, Islam memaafkan pandangan yang tidak disengajakan pada kali pertama
kepada perkara yang tidak dibenarkan. Daripada Saidina Jarir bin Abdullah telah
berkata : Aku telah bertanya kepada Nabi S.A.W. tentang pandangan secara
tiba-tiba. Maka baginda menjawab :
(Palingkan pandanganmu).maksudnya janganlah mengulangi pandangan tersebut kali
kedua.
Jelas kepada kita bahawa pandangan yang tidak
dibenarkan ialah pandangan seterusnya yang boleh menimbulkan fitnah dan
menyebabkan rasa seronok serta memandang dengan lama walau tidak membangkitkan
syahwat.
Bahagian Yang Dibenarkan Untuk Diperlihatkan
Potongan firman Allah S.W.T. (ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها) daripada Surah An-Nuur ayat 31, menyebutkan bahawa kaum
wanita tidak dibenarkan untuk memperlihatkan perhiasan mereka melainkan apa
yang zahir daripadanya. Maksud perhiasan wanita ialah apa yang menghiasi dan
mencantikkan dirinya samada secara semulajadi seperti kecantikan muka, rambut
dan badan atau bukan semulajadi seperti pakaian, barang kemas dan sebagainya.
Dalam ayat ini, Allah S.W.T membenarkan perhiasan
wanita itu diperlihatkan melainkan apa yang terzahir daripadanya (إلا ما ظهر منها). Khilaf ulama’ berlaku dalam
mentakrifkan maksud perkara yang zahir daripada perhiasan wanita :
Kebanyakan
para salaf berpendapat ia adalah apa yang berlaku pada adat iaitu bahagian yang
zahir daripada perhiasan wanita. Pendapat Ibnu
Abbas dan Anas yang mengharuskan bagi seorang wanita memakai celak dan cincin. Pengharusan
kedua ini secara umum membawa maksud membenarkan bahagian tubuh badan yang
dibenarkan untuk dilihat iaitu muka dan tapak tangan. Aisyah dan
Qatadah – gelang tangan, dan ini bermaksud mengecualikan bahagian daripada
tangan yang termasuk dalam had pemakaian gelang tangan adalah tempat yang
dilarang untuk dilihat lelaki yang ajnabi. Abdullah bin
Mas’ud dan An-Nakhaei – pakaian luaran.
Pendapat yang terpilih – bahagian muka dan tapak tangan beserta perhiasan yang dibenarkan padanya seperti cincin di tangan dan celak di mata dengan tidak berlebih-lebihan pada pemakaiannya. Pendapat ini juga telah dinyatakan oleh sekumpulan para sahabat dan tabiin.
Tetapi berbeza dengan gincu, pewarna dan
bedak yang dipakai oleh kaum wanita pada zaman sekarang kerana ia termasuk
dalam sikap terlalu berlebih-lebihan dan kesemua ini hanya dibenarkan dipakai
di dalam rumah sahaja. Samalah juga keadaan mereka yang berhias supaya menjadi
perhatian kaum lelaki maka ini juga termasuk dalam perhiasan yang diharamkan.
Aurat Wanita
Aurat dengan
lelaki ajnabi dan wanita bukan muslimah : seluruh badan melainkan muka dan
tapak tangan. Aurat dengan
golongan yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam Surah An-Nuur ayat 31 (suami, bapa, bapa mertua, anak,
anak tiri, saudara lelaki kandung, anak saudara lelaki kepada saudara kandung
lelaki dan wanita, wanita muslimah, hamba, mereka yang tiada syahwat kepada
wanita dan selalu bersamanya seperti khadam atau wakil, kanak-kanak) : bahagian yang zahir daripada tubuh
badan seperti telinga, leher, rambut, tangan, betis dan sebagainya. Bahagian badan yang tidak
kelihatan seperti belakang badan, perut, kemaluan, dan peha maka tidak
dibenarkan untuk diperlihatkan kepada mereka melainkan suami.
Oleh sebab itulah Allah S.W.T memerintahkan kepada para muslimah untuk menutup
tubuh badan mereka ketika keluar ke tempat awam dengan jubah / pakaian yang
tidak menampakkan bentuk tubuh mereka serta membezakan antara mereka dan orang
kafir. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 :
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ
وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ
أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {59}
Maksudnya
: “Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Ahzab ayat 59)
Hal ini disebabkan wanita pada zaman jahiliah menampakkan perhiasan apabila
keluar daripada rumah mereka seperti bahagian leher dan rambut dan membuatkan
lelaki terpesona. Maka turunlah ayat yang memerintahkan wanita muslimah
melonggarkan jubah sehingga tidak akan ternampak bentuk tubuh badan yang boleh
menimbulkan fitnah.
Pandangan Kepada Wanita Di Dalam Gambar Dan Yang
Seumpamanya
Tidak dibenarkan kepada lelaki
mahupun wanita melihat aurat sesama mereka di dalam gambar, video dan
seumpamanya yang boleh memantulkan dan menayangkan bahagian tubuh masing-masing.
Begitu juga keadaan suami atau isteri yang tidak dibolehkan untuk melihat video
lucah dan seumpamanya dengan alasan untuk menaikkan syahwat sebelum melakukan
hubungan atau pada waktu yang lain kerana ia akan membawa kepada bayangan
individu lain ketika melaksanakan hubungan suami isteri. Menurut pandangan para
ulama’ perkara ini boleh membawa kepada hukum zina jika seorang suami atau
isteri membayangkan orang lain ketika bersama dengan pasangannya.
Tentang bahagian yang boleh dilihat
daripada lelaki dan perempuan di atas pantulan (televisyen, video, gambar dan
seumpamanya) pula melihat kepada perbahasan yang telah dijelaskan sebelum ini.
Melihat Aurat Orang Kafir
Hukum sama turut digariskan kepada umat Islam apabila diharamkan untuk melihat
aurat orang kafir samada lelaki atau wanita. Hal
ini kerana bukanlah perbezaan agama itu menjadi suatu penilaian tetapi alasan
yang digunakan ialah tempat-tempat yang dilarang untuk dilihat tersebut boleh
membangkitkan syahwat dan membawa kepada kemungkaran. Perkara ini termasuk juga dalam
suruhan umum Allah S.W.T. (Surah An-Nuur ayat 30-32) kepada umat Islam supaya
menjaga pandangan tidak kira samada ia melibatkan aurat sesama muslim atau
kafir.
Kesimpulan daripada perbahasan :
1) Melihat
wanita yang tidak menutup auratnya adalah haram, begitu juga wanita melihat
lelaki yang tidak menutupi auratnya hukumnya haram.
2) Bila seorang
lelaki melihatnya dengan syahwat yang dapat mengundang fitnah maka hukumnya
haram.
3) Melihat
wanita yang berpakaian sesuai dengan syariat Islam dengan tidak menampakkan
perhiasannya hukumnya boleh dengan syarat tidak dengan pandangan bersyahwat,
seperti melihatnya di jalanan, di pejabat, pasar, masjid, saat menunaikan
ibadah haji atau di dalam kenderaan awam, begitu juga wanita melihat lelaki
yang berpakaian sopan di jalanan, pejabat, atau yang seumpamanya sebagaimana
Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha melihat para lelaki Habasyah saat mereka
bermain :
قالت عائشة : كان رسول الله صلى الله عليه
وسلم يسترني بردائه وأنا أنظر إلى الحبشة يلعبون في المسجد.
Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha berkata : Suatu
ketika Rasulullah menutupiku dengan selendangnya di saat daku memandang kepada
sekumpulan lelaki Habsyah bermain di halaman masjid. (HR Bukhari dan
Muslim).
4) Hukum-hukum
di atas turut mencakupi qadhiyah(keadaan)
melihat wanita di televisyen atau melihat gambarnya di majalah-majalah,
akhbar-akhbar, buku-buku, dan begitu juga sebaliknya.
5) Penjelasan di
atas menafikan pendapat yang memperbolehkan melihat wanita secara mutlak samada
wanita itu berjilbab atau tidak, dengan memperlihatkan perhiasannya di
televisyen, majalah, akhbar mahupun buku-buku. Ini bermaksud, andai gambar yang
terpampang di dada sesebuah akhbar contohnya, dalam keadaan yang tidak menutup
aurat, maka haram bagi lelaki memandang gambar itu. Begitu juga, andai gambar
yang terpampang di dada akhbar itu adalah wanita berpakaian sopan sekalipun,
namun jika pandangan seseorang lelaki terhadap gambar berkenaan adalah dengan
pandangan syahwat, tetap haram hukumnya kerana ia yang membawa kepada
fitnah hatinya.
Penutup
Ajaran Islam amat menitikberatkan martabat kaum wanita dalam masyarakat
sehingga meletakkan beberapa panduan yang perlu diikuti oleh kaum muslimah.
Segala perkara yang berkaitan dengan mereka adalah untuk menjaga kehormatan dan
kesucian mengikut batasan yang ditunjukkan. Contoh terbaik yang mesti diambil
ialah wanita muslimah yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W. kerana mereka
berada secara langsung di bawah tunjuk ajar baginda menerusi penjelasan kepada
ayat-ayat Allah dan teladan isteri-isteri baginda hasil didikan Nabi S.A.W.
Semoga dengan catatan ringkas ini dapat diambil perhatian oleh umat Islam dalam
mengikut cara dan ajaran agama secara keseluruhannya dengan berpandukan kepada
Al-Quran dan As-Sunnah.
[sumber: manhal.pmram.org]
No comments:
Post a Comment