Kesyukuran sebenarnya merupakan hakikat keimanan yang tertanam pada jiwa seseorang itu.
Sebagai tanda berterima kasih kepada Allah, hendaklah kita secara
paling minimum, mengucapkan syukur Alhamdulillah terhadap nikmat yang
diberikan kepada kita. Ketika kita mengucapkan Alhamdulillah, kita perlu
merasai kebesaran-Nya.
Sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini, pasti kita merasai penjagaan
Allah terhadap diri kerdil ini. Kita merasakan Allah sentiasa menjaga,
memelihara kita dengan memberikan seribu satu nikmat iaitu melalui
rezeki yang kita makan, tempat tinggal dan sebagainya untuk memudahkan
gerak kerja, jasmani, dan kesihatan. Tetapi, semua itu tidak akan
memberikan kebahagian kepada kita tanpa santapan rohani - berupa hidayah
daripada Allah. Allah sememangnya telah membuka bermacam-macam lubuk
rezeki buat kita, seperti mana yang Allah nyatakan dalam surah al-Mulk
(67:15)
“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi,
maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari
rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”
~Maka hargailah nikmatNya, dan takutilah kemurkaanNya~
Allah juga memberitahu dalam surah al-Baqarah (2:29)
“ Dialah Allah yang menjadikan segalanya di bumi untukmu kemudian Dia
menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan
Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”
Rezeki dari Allah
Rezeki yang Allah berikan kepada kita sesuai dengan keperluan kita.
Allah memberitahu kita melihat alam semulajadi yang dicipta khas untuk
tunduk kepada kita. Allah beri kepada kita, tumbuhkan untuk kita,
biji-bijian, pepohon kacang, semuanya untuk keperluan makanan kita.
Apakah perasaan kita sewaktu kita makan kacang-kacang, buah anggur, sayur-sayuran?
Dapat atau tidak kita rasai bahawasanya Allah menjadikan semuanya ini (
buah-buahan, sayur-sayuran) untuk kita? Agar, dapat memberi zat-zat
kepada kita, untuk membantu kita memudahkan melakukan ketaatan
kepada-Nya. Sebab itulah sepatutnya apabila Allah menundukkan
tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan ternak untuk keperluan kita, sepatutnya
kita pula harus tunduk taat dan patuh kepada Allah.
Persoalan di sini adalah apabila semua nikmat Allah telah kita nikmati,
apakah kita menundukkan sepenuhnya ketaatan, atau masih berbelah
bahagi?
Lihat pada surah Abasa (80:27-30),
“ Lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian, dan anggur dan
sayur-sayuran, dan zaitun dan pohon kurma, dan kebun-kebun yang
rendang”
Ambil contoh buah zaitun. Allah tumbuhkan buah zaitun untuk kita,
diambil buah zaitun ini untuk diletakkan di atas pizza. Apakah perasaan
kita ketika makan pizza tu? Adakah ada rasa syukur diselitkan? Atau
kita kata ‘Eee, tak sedapnya buah zaitun nieyh!’
Lihat pada pohon-pohon kurma pula. Pohonya unik; ketika masih mentah, pohon berdiri tegak keatas, pabila masak , pohonnya tunduk sujud kebawah. Lihatlah ketundukkan pohon kepada Allah
. Uniknya buah kurma ini, bila kita tanam di Malaysia, buahnya tak
keluar. Tapi, kita ambil atau olah manfaat pohon kurma ditanam di Mesir,
dek kerna suhu 50 darjah celcius, pohonnya hidup, buahnya tumbuh.
Lantas menjadikan ummah di bumi Mesir tidak akan kelaparan. Lantaran
ini, penduduk Mesir menanam tanda kesyukuran atas nikmat yang Allah
kurniakan kepada meraka.
Seterusnya, Allah berfirman, “Kami telah menurunkan kepada kamu
al-Quran sebagai Nur(cahaya) yang menerangi segala apa jua yang membawa
kepada kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak.” Di
sini kita nampak, Allah ada memberitahu kita bagaimana caranya untuk
kita hidup berjaya di dunia dan bahagia di akhirat kelak – iaitu melalui
qalamNya, AL-QURAN.
Allah juga ada berfirman dalam surah al-Maidah (5:15-16)
“Wahai Ahli Kitab! Sungguh, Rasul Kami telah datang kepadamu,
menjelaskan kepadamu banyak hal dari (isi) kitab yang kamu sembunyikan,
dan banyak (pula) yang dibiarkannya. Sungguh, telah datang kepadamu
cahaya dari Allah, dan Kitab yang menjelaskan. Dengan Kitab itulah Allah
memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan
keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu
dari gelap gulita kepada cahaya dengan izin-Nya, dan menunjukkan ke
jalan yang lurus”
Di sini, Allah menjelaskan telah datang kepada kamu cahaya kebenaran yakni, Nabi Muhammad s.w.t dari Allah dan sebuah kitab Allah yang
jelas dan nyata keterangannya. Dengan itu, Allah menunjukkan
jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut
keredhaan-Nya dan dengannya, Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita
kufur dan memberikan rezeki kepada mereka.
Allah tundukkan siang dan malam. Allah turunkan hujan dan kemarau. Allah
turunkan angin yang menyamankan. Dan Allah tundukkan matahari untuk
kita membuat kerja di siang hari. Betapa besarnya nikmat yang telah
Allah berikan kepada kita. Maka, tidak ada langsung sebab lain untuk
kita tidak beriman dengan perintah-Nya, dan tidak ada sebab untuk kita
tidak melangsungkan dakwah-Nya.
Perintah dakwah merupakan tindakan yang perlu kepada manusia, seperti keperluan makanan. Santapan hidayah melalui dakwah membuatkan kita mengenal makanan rohani yang memberi kedamaian, ketenangan, untuk berinteraksi dengan Sang Pencipta.
Pemikiran semata tidak mampu memahami semua perkara. Di sini, dakwah
memainkan peranan memberi bimbingan kepada manusia. Manusia ada akal dan
syahwat dalam diri. Bila akal tak mampu memahami semua perkara kita
perlukan guide line. Tanpa guide line syahwat akan pantas membawa kita
hanyut melanggar peraturan Ilahi.
“ Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan, kerana
sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali nafsu
yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun,
Maha Penyayang” Surah Yusuf (12:53)
Nafsu ada tiga 3 jenis. Antaranya nafsu amarah yang selalu
membawa kepada kejahatan. Apabila nafsu amarah telah bertindak mengusai
diri dan kita bertindak melakukan kejahatan, jangan salahkan orang
lain. Ketika itu berlaku, kita ingat pada Allah, kita rasakan kita jauh
daripada nikmat Allah. Kerana kita memang tak mampu membersihkan diri
tanpa rahmat dan pertolongan Allah. Sebab itu, kita hendaklah sentiasa
memohon agar dapat dipandu oleh Allah s.w.t. So, apabila kita jauh
daripada Allah, kita beristghfar dan bertaubatlah.
Allah berkata “Sesiapa yang mengikuti petunjuk dariKu, nescaya dia
tidak akan sesat, namun sesiapa yang berpaling dari ingatan dan petunjuk
dariKu, maka sesunguhnya baginya, kehidupan yang sempit dan kami akan
mengumpulkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata, ‘Ya Allah Ya Tuhanku, mengapa kau kumpulkan aku dalam keadaan buta padahal dulu aku melihat?”
Allah telah berfirman “demikianlah keadaannya, telah datang
ayat-ayat Kami kepadamu, namun kau melupakan dan meninggalkannya, dan
demikianlah kau pada hari ini dilupakan dan ditinggalkan.”
Jadi, apabila diberikan hidayah dan petunjuk daripada Allah, tetapi kita
melarikan diri dan tidak mahu mendengar kerana bosan atau putus asa. Kita
merasakan diri sudah cukup hebat, sudah cukup ilmu, tak mahu mendengar
tazkirah, tak istiqamah dalam majlis-majlis tazkirah. Lihat balik ayat di atas, sanggupkah kita menghadapi saat di mana Allah meninggalkan dan tidak mahu menghiraukan kita?
Fitrah kita mampu membezakan antara haluan yang buruk dan yang baik,
kebenaran dan keperluan, namun kepintaran aqal, yang disinari dengan
cahaya sebenarnya tidak cukup untuk membezakan yang baik atau yang buruk
dan tidak cukup untuk memahami segala apa yang betul dan salah. Kita
tidak mampu untuk mengatur urusan manusia dalam satu sistem yang tulus
yang mampu dikatakan 100% tanpa kepincangan dan penyelewengan atas sebab
fitrah kita mampu berubah dek kerna pengaruh-pengaruh samada yang baik
atau buruk. Seperti dalam surah al-Baqarah (2:216),
“Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik
bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik
bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” Hanya Allah
mengetahui semuanya.
Manusia sentiasa lupa akan tujuan berada di muka bumi. Manusia lupa akan
janji yang telah kita berikan kepada Allah sebelum dilahirkan. Setelah
dilahirkan, dan diberikan sedikit kemewahan, kita terus lupa kepada
Allah. Kita sanggup melakukan kemaksiatan, sanggup melakukan perkara
yang membawa kita ke api neraka. Sedangkan makhluk lain di sekeliling
kita (burung, pohon, bumi, tanah) semuanya tunduk hanya pada Allah,
mentaati perintah-Nya, sentiasa mengakui kebesaranNya.
Lain pula dengan kita, kita lupa diri, dan cuba pula mengubah sistem
yang telah Allah aturkan, mengubah hukum-hukum Allah. Seperti
orang-orang kafir yang telah mengubah ayat-ayat Allah dan mengatakan
ayat-ayat tersebut adalah dari Allah. Disebabkan akal kita tidak mampu
memahami semua perkara, sebab itulah lahir kepentingan dakwah untuk
mengingatkan kita, supaya kita dapat menundukkan akal dan syahwat kepada
Allah.
Kita juga memerlukan petunjuk daripada Allah kerana akal kita
pendek. Kita cuba mencari dari mana datangnya manusia, namun malang
sekali, ini membawa sesetengah manusia menyembah bulan, bintang, haiwan.
Sedangkan Allah telah menyatakan kepada kita, asal kewujudan kita
adalah dari-Nya. Seperti dalam ayat surah al-Fusilat (41:37)
“ Dan sebagian dari tanda-tanda kebesaranNya ialah malam, siang,
matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan pula
kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika
kamu hanya menyembah kepada-Nya."
Allah juga berfirman dalam sura a-Hajj(22: 18)
“Tidakkah engkau tahu bahawa siapa yang ada di langit dan siapa yang
ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang,
gunung-gunung dan pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak
daripada manusia? Tetapi banyak manusia yang pantas mendapatkan azab."
Di sini Allah memberitahu semua ciptaanNya tunduk kepada Allah, kecuali manusia.
Dan sedikit benar daripada sekumpulan manusia yang tunduk kepadaNya,
sedangkan manusia merupakan sebaik-baik kejadian, yang diberikan kepada
menuasia nikmat kehidupan yang begitu banyak.
Seperti kisah burung Hud-Hud di zaman nabi Sulaiman, yang
menjumpai sekumpulan manusia yang menyembah bintang dan bukannya Allah.
Burung hud-hud mengutuk kumpulan manusia ini, dan bertanya, “Mengapa
sampai mereka menyembah yang lain daripada Allah?”
Manusia cuba mencari, tapi sebenarnya, telah tertulis empat perkara yang telah Allah tetapkan untuk kita yang sama sekali tidak perlu dicari: aqidah, ibadah, akhlak, dan syariat. Ini tidak perlu dicari, hanya perlu dilakukan.
Manusia yang cetek akal, cuba untuk membangunkan system hidup kita
bermasyarakat. Macam mana ini boleh terjadi, sedangkan kewujudan manusia
pun diciptakan oleh Allah. Sekiranya urat-urat jari kita putus, kita
juga tidak mampu menciptakan sendiri urat yang sama. Jadi, layakkah
kita? Manusia merasakan mereka ini sangat hebat, lalu mahu mencipta
system-sistem atau ideologi-ideologi sendiri yang akhirnya membawa pada
penyimpangan dan pecah belah. Contoh : membenarkan arak, judi, hubungan
sejenis.
Idea-idea ini dicipta semata-mata ingin memenuhi sifat-sifat
kebinatangan manusia. Sedangkan dalam ikhtilat perhubungan antara lelaki
dan perempuan pun, telah Allah tetapkan berada dalam sistem syarak.
Tapi disebabkan kita rasa kita hebat, kita langgar semua perintah Allah.
Telah ditegah daripada berdua-duaan, tetapi kita masih juga melakukan
couple, melakukan maksiat. Jadi, sekarang, tanya pada diri, layakkah
kita dihukum setelah kita melanggar segala yang telah ditetapkan?
Tetapi, Allah tak nak hukum kita, Allah bagi kita peluang untuk terus hidup, masa untuk bertaubat.
Rasa tak kasih sayang Allah pada kita? Namun, persoalan lebih penting,
sayang atau tidak kita pada diri sendiri? Kerana Allah tak mahu kita
masuk neraka kelak apabila dihisab amalan kita di dunia. Seperti Saidina
Abu Bakr as-Siddiq, pabila mendengar ayat ini, menangis dan mengatakan
lebih baik Beliau menjadi rumput, tidak perlu dihisab dan diadili di
akhirat kelak. Begitu takutnya Beliau sebagai seorang manusia bakal dihisab dan diadili.
Kita perlu bersyukur Allah memberi kita peluang untuk menikmati
keindahan alam ini. Namun, manusia tidak tahu kelemahan dan kelebihan
yang mereka miliki, lantas menyebabkan manusia beperang, menghambakan
manusia lain, merampas tanah orang lain, dan sebagainya. Contohnya
sistem komunisma, atau sekularisma. Yang berhak tidak mendapat yang hak,
yang tidak sepatutnya dapat berganda-ganda. Menyebabkan mereka menindas
orang-orang yang susah. Inilah kepincangan-kepincangan yang berlaku
kerana kita tidak mahu mematuhi sistem Allah s.w.t.
Anak-anak semua,
Kita mahu motivasi/dorongan/semangat yang tinggi yang berkobar-kobar yang mengerakkan hati untuk melakukan sesuatu yang baik. Dan dorongan-dorongan ini tidak lain, sumbernya adalah Al-quran. Al-Quran
merupakan salah satu cara interaksi hati kita dengan Allah. Qalam-qalam
Allah dalam al-Quran merupakan cara Allah untuk memotivasi diri kita.
Seperti dalam ayat Allah surah al-Baqarah (2:25)
“Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan
berbuat kebajikan, bahawa untuk mereka (disediakan syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki
buah-buahan dari syurga mereka berkata, ‘Inilah rezeki yang diberikan
kepada kami dahulu.’ Mereka telah diberikan buah-buahan yang serupa. Dan
disana mereka memperoleh pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di
dalamnya.
Allah memberikan gambaran syurga yang dapat dinikmati oleh orang-orang
beriman untuk memotivasikan kita. Allah tarik hati dengan khabar gembira
: gambaran kenikmatan syurga sekiranya kita taat kepada Allah, cinta
dan ikhlas kepada Allah. Melakukan amal tanpa pernah kenal jemu dan
penat lelah. Melalui ayat ini, Allah panggil dengan begitu lembut ,
memberi khabar gembira dan janji yang benar - kenikmatan syurgawi yang
tiada bandingan di dunia. Maka, hati orang-orang yang beriman akan rasa
terpanggil untuk mengampai syurga.
Syaratnya hanyalah dengan melakukan amalan soleh dan istiqamah.Memang
kalau nak ikutkan dengan logik, amal kita tak layak membawa kita ke
syurga. Namun, pabila kita tidak membenci kebenaran, tetap tawadhu’
kepada Allah, kita akan mentaati Allah tanpa syarat. Kita tidak akan
menolak kebenaran dan kita akan jauh daripada sifat takbur. Tawadhu’
kepada Allah mengajar kita untuk tawadhu’ sesama manusia. Jadi, dalam
apa keadaan pun, kita dapat menerima semua muslim sebagai saudara.
Jangan kita rasa ada orang lain yang lebih kurang atau lebih lekeh
daripada kita. Ini dapat menghilangkan tawadhu’ yang ada dalam hati.
Seperti penduduk di Thaif. Mereka mengarahkan anak-anak mereka
membaling batu kepada nabi Muhammad s.a.w sehingga Jibrail merasa
begitu marah kerana tidak menghargai Rasulallah. Jibrail bertanya “Ya
Rasulallah mahukah aku himpapkan gunung Uhud ini pada mereka? Rasullallah
menjawab ‘Jangan. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak
mengetahui, mudah-mudahan, Allah akan lahirkan daripada mereka ini
anak-anak yang soleh dan solehah. Betapa Rasulallah sangat sayangkan
mereka, memaafkan mereka. Maka dengan izin Allah, ketika Fathul Mekah,
Allah izinkan anak-anak ini untuk membantu sebahagian tentera Islam
untuk masuk dari pintu Thaif. Ini adalah contoh hati yang bersih yang
ditunjukkan Rasulullah s.a.w kepada kita.
Rasulallah percaya janji Allah itu adalah benar dan untuk mendapatkan
ganjaran di sisi Allah , syaratnya adalah melakukan amal soleh yang
memiliki standard syurga. Syurga itu mahal maka persiapkanlah diri
dengan amalan yang istimewa. Bila memohon syurga, mohonlah syurga paling
tinggi, syurga Firdausi. Mungkin kita tidak layak untuk memasukinya,
namun, mohonlah keredhaan pada Allah. Sekiranya kita tidak mampu
melakukan amalan yang banyak, janganlah melakukan maksiat.
Taatlah kepada Allah dengan keikhlasan. Mudah-mudahan dengan panggilan
syurga, dapat memecut jiwa untuk membuat amalan yang produktif, memberi
motivasi dan semangat yang kuat untuk mengejar cita-cita setinggi
syurga. Muslim yang luhur dengan tujuan yang luhur insyaAllah, dapat
membatasi batasan-batasan dunia dan akhirnya Allah akan memberikan
tempat yang ideal, memperoleh kesuksesan hidup di dunia dan kebahagiaan
di akhirat.
Seperti ayat surah al-Baqarah (2:201),
“Dan di antara mereka ada yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka"
[SUMBER: kuliahbm.blogspot.com]
No comments:
Post a Comment