Hasan al-Banna, sebagai seorang pemikir dan aktivis Islam, telah banyak merumuskan tentang teori-teori politik Islam. Di antaranya adalah mengenai institusi dan bentuk negara. Selain sebagai ideolog penting dalam dunia gerakan Islam, Hasan al-Banna juga dikenali sebagai pendakwah, penulis yang prolifik dan aktivis Islam sejak usia muda lagi.[1] Melalui beberapa karyanya yang cukup penting[2], beliau banyak mengemukakan gagasan tentang pentingnya Islam sebagai prinsip utama sistem pemerintahan dan perlembagaan negara. Daripada teori-teorinya itu lah muncul satu slogan politik yang fenomenal iaitu Islam sebagai addin wa dawlah.[3]
Slogan ini kemudian menjadi inspirasi dan doktrin penting bagi umat Islam terutama di Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan mereka menjadikan negara dan pemerintahan yang lebih Islamik. Melalui asas pemikiran addin wa dawlah inilah yang menjadi intipati kepada siyasah syar’iyyah yang dicetuskan Hasan al-Banna dan kemudian dikembangkan oleh pengikut Ikhwanul Muslimin sama ada yang berada di Mesir mahupun di cabang-cabang lain di seluruh dunia.Hasan al-Banna bukan hanya merumuskan suatu teori tetapi beliau terbabit secara langsung dalam usaha untuk memperjuangkan pembentukan sistem pemerintahan Islam. Hasan al-Banna sangat mementingkan autoriti politik, sebagai satu kekuatan untuk melaksanakan hukum syariah Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara. Dengan panduan hukum syariat Islam yang berdasarkan Al Qur’an dan Sunnah, umat Islam dapat mewujudkan keadilan dan kesamarataan dalam kehidupan masyarakat. Hasan al-Banna juga menekankan dinamisme hukum peradilan dan tugas perundangan yang merancang dan meminda perlembagaan dalam pentadbiran dan negara Islam. Hasan al-Banna mengatakan bahawa institusi pemerintah adalah salah satu tiang sosial Islam.[4]
Oleh sebab itu, Islam tidak membiarkan negara dibiarkan tanpa pemimpin (imam), dan Islam sangat menekankan kedisiplin dan ketertiban dan tidak membenarkan berlakunya anarki (fauda’) yang diakibatkan oleh pemerintahan yang tidak berlaku adil. Oleh itu, adanya pemikiran bahawa Islam tidak mempunyai kaitan dengan politik adalah satu konsepsi yang salah yang muncul daripada orang-orang yang tidak memahami sumber syariah Islam yakni Al Qur’an dan Sunnah Nabi. Pemikiran siyasah syar’iyyah yang dikemukakan oleh Hasan al-Banna ini berdasarkan pemahamannya yang mendalam bagi memahami wahyu ilahiah yang bersifat asas tentang pentingnya kehidupan masyarakat dan negara yang bertunjang sistem Islam. Bagi Hasan al-Banna, kesyumulan Islam sebagai satu sistem dalam semua elemen kehidupan manusia ditegaskan banyak kali oleh Allah dalam firman-Nya. Beberapa nas al Qur-an itu antara lain adalah; maksud Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh (kaffah), dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata”.[5]
وعد الله الذين أمنو منكم وعملوالصلحات ليستخلفنّهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذى ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدوننى لا يشركون بى شيئا ومن كفر بعد ذالك فأولئك هم الفاسقون .”
Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia ridlai. Dan Dia benar-benar mengubah (keadaan) mereka setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) menyembahku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apapun. Tetapi barang siapa (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itu lah orang-orang yang fasik”.[6]
ان الحكم الا لله أمر أل
ا تعبدوا الا اياه ذالك الدين القيم ولكن أكثر الناس لا يعلمون ”
Maksudnya: perintah itu bukan milik siapa pun kecuali Allah. Dia telah memerintahkan kamu untuk hanya menyembah kepada Allah. Itu lah agama yang benar, namun kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”[7].
Berdasarkan prinsip ideologi Islam itu lah Hasan al-Banna menolak semua bentuk pemikiran politik sama ada ideologi liberal dan sekular yang dikemukakan Barat yang mereka semaikan benih itu ke negara-negara Islam di kawasan Timur Tengah. Bahkan, para orientalis mempengaruhi pemikiran intelektual muslim untuk memisahkan wahyu ilahiah dengan kehidupan duniawi. Mereka menyamakan Islam dengan agama Nasrani yang mereka anut, yang berorientasi kepada aspek ritual an sich dan tidak mempunyai kaitan dengan politik dan negara. Hal ini sangat jelas sebagaimana yang diungkapkan Hasan al-Banna tentang Islam dan sistem politik dengan menyatakan:
الاسلام شيء غير هذا المعنى الذى أراد خصومه والأعداء من أبنائه ان يحصروه فيه ويقيوه به, وان الاسلام عقيدة وعبادة, ووطن وجنسية وسماحة وقوة وحلق ومادة ثقافة وقانون وان المسلم مطالب بحكم اسلامه ان يعنى بكل شؤن امته, ومن لم يهتم بأمرالمسلمين فليس منهم.[8] ”
Ertinya: Islam bukan lah terminologi dengan erti sempit yang diinginkan oleh para lawan dan musuhnya sebagai persepsi para pemeluknya. Islam mencakup akidah, ibadah, negara dan kewarganegaraan, toleransi dan kekuatan, moral dan materi, kebudayaan dan undang-undang. Setiap muslim –dengan statusnya sebagai orang Islam- dituntut untuk ambil berat terhadap setiap persoalan umatnya. Barangsiapa yang tidak ambil berat dengan urusan kaum muslimin, maka dia bukan bahagian daripada mereka”.Oleh kerana pandangannya yang demikian, Hasan al-Banna menolak sama sekali pandangan yang mengatakan Islam terpisah dengan politik. Menurutnya, orang Islam yang menolak keterkaitan antara Islam dan politik menunjukkan ketidaksempurnaan imannya kepada agamanya.[9] Ini kerana sistem politik Islam boleh membimbing seseorang memiliki pandangan yang luas tentang permasalahan umat, bersikap ambil berat dan bersimpati dengan masalah yang membelenggu umat Islam. Oleh itu, Islam tidak mengakui penyekatan antara agama dan politik.[10]
Islam bagi Hasan al-Banna, ingin melaksanakan politik selaras dengan tuntutan yang telah diberikan agama dan menggunakan negara sebagai pelayan Tuhan.Kuasa politik, Islam sebagai sistem pemerintahan dan Islam terintegrasi dengan politik merupakan intipati pemikiran Hasan al-Banna. Islam menjadi nilai dan panduan utama dalam segenap aspek kehidupan manusia sebagai individu dan sebagai bahagian kehidupan kemasyarakatan dan kenegaraan. Menurut Hasan al-Banna:
الاسلام نظام شامل يتناول مظاهرالحياة جميعا: فهو دولة ووطن او حكومةوامة وهو خلق وقوة او رحمة وعدالة, وهو ثقافة وقانون¸او علم وقضاء, وهو مادة وثروة او كسب وغني, وهو جهاد ودعوة او جيش وفكرة كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء. [11] ”
Ertinya: Islam adalah sistem menyeluruh yang menyentuh seluruh dimensi kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlaq dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan sistem mahkamah, materi dan sumber daya alam, pendapatan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana ia adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang tidak lebih”.Bagaimanapun, meskipun Hasan al-Banna begitu kuat memegang dan meyakini Islam sebagai ideologi politik, namun dari segi bentuk dan pelaksanaan, Hasan al-Banna menyerahkan kepada penguasa bagi menentukan sistem dan bentuk pemerintahan. Nama dan sistem pemerintahan tidak penting sama ada dalam bentuk sistem parlimen, kesultanan, khilafah, republik dan sistem-sistem yang lain. Sepanjang prinsip-prinsip syariah Islam menjadi paksi utama dalam pemerintahan dan negara tersebut, maka nama dan bentuk negara tersebut boleh juga disebut negara Islam. Merujuk kepada sistem di Mesir yang mengaplikasikan sistem parlimen, Hasan al-Banna berpandangan hal itu tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah Islam. Dalam hal ini Hasan Al-Banna mengatakan:
فليس فى قواعد هذا النظام النيابي ما يتنافى مع القواعد التي وضعها الأسلام لنظام الحكم, وهو بهذا الاعتبار ليس بعيدا عن النظام الاسلامي ولا غربيا عنه. وبهذا الاعتبار يمكن أيضا ان نقول فى اطمئنان ان القواعد الأساسية التى قام عليها الدستور المصري لا تتنافى مع قواعد السلامي[12]”
Ertinya: Tidak ada kaidah-kaidah sistem parlimen yang bertentangan dengan kaidah-kaidah yang digariskan Islam dalam urus tadbir pemerintahan. Itu bererti sistem parlimen tidak bercanggah dan tidak asing bagi sistem Islam.
Atas premis ini, dapat kita katakan dengan mantap bahawa kaidah-kaidah asas yang menjadi tumpuan tegaknya perlembagaan Mesir tidak bertentangan”. Perlembagaan dan undang-undang yang dibuat di Mesir telah menunjukkan pelaksanaan tiga prinsip utama yang menjadi tiang utama dalam sistem pemerintahan sebagaimana yang disyaratkan oleh Hasan al-Banna iaitu tanggung jawab pemerintah, kedaulatan rakyat dan penghargaan terhadap aspirasi rakyat.[13]
----------------------------------
RUJUKAN:
[1] Dalam usia muda, Hasan al-Banna sudah dikagumi kerana kata-kata yang disampaikan dalam khutbah-khutbah dan ceramahnya dapat dengan mudah dan jelas difahami oleh orang ramai, sama ada dari golongan awam mahupun kalangan intelektual. Kemunculan Hasan al-Banna yang terinspirasi oleh tokoh Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Ridha, telah berjaya melahirkan golongan mukmin yang sebenar menerusi ceramah dan sahsiah diri untuk menyebarluaskan akidah yang sahih dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang dengan sungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi oleh masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam kehidupan masyarakat. Lihat, Rauf Syalabi, Jiwa Yang Tenang, Lahirkan Ide Cemerlang: Mengurai Benang Merah Sosok Imam Hasan Al-Banna dengan Madrasah Ikhwanul Muslimin, dterjemahkan dari Syeikh Hasan al-Banna wa Madrasatuhu al-Ikhwa al Muslimun, penerjemah M. Habiburrahman, Jakarta: Nuansa Press, 2004, hal: 79-92.
[2] Karya-karyanya sudah banyak yang diterbitkan dalam berbagai bahasa. Salah satu buku yang dianggap sebagai magnus opusnya Hasan al-Banna adalah Majmuatur Rasail. Sebuah buku ontologi pemikiran al-Banna yang merangkumi semua aspek seperti politik, ekonomi, system pemerintahan, platform perjuangan gerakan dakwah dan sebagainya. Karya-karyanya yang lain antaranya adalah,
1. Mudzakirat al- Da’wah wal-al Da’iyah, buku pertama yang dihasilkan Hasan al-Banna yang mengandungi tentang kehidupan pribadinya dan aktivitinya di Ikhwan,
2. Risalah Ta’lim, sebuah buku kecil yang berisi panduan kepada anggota Ikhwan yang sudah dibaiat.
3. Maqalat Hasan Al-Banna, sebuah buku yang mengandungi himpunan nasihat dan panduan kepada sahabat dan anggota Ikhwan.
[3] Slogan addin wa dawlah sendiri pada asasnya bukan istilah baru dalam wacana siyasah Islam. Pada era pemikir klasik seperti Al Mawardi dan Ibnu Taimiyah, telah menyebut Islam sebagai agama yang mengatur negara dan pemerintah yang terwujud dalam institusi khalifah. Muhammad Abduh dan Rashid Ridha menyebutnya addin wa syar’i. Slogan ini menjadi penting dan menjadi kontroversi terutama apabila dikaitkan dengan reaksi dari realiti yang berlaku di dunia Islam di mana implikasi daripada sistem penjajahan menjadikan negara-negara Islam yang dijajah tidak menjadikan Islam sebagai dasar negara. Pentingnya slogan ini juga kerana negara-negara Islam terpecah-pecah ke bentuk negara bangsa (nation-state) dan meninggalkan bentuk kesatuan Islam (khilafah). Hasan al-Banna mempertegas konsep ini yang diapliksikan di Ikhwanul Muslimin di mana aksi-aksi politiknya banyak mengundang simpati dan kekaguman dari gerakan-gerakan Islam di negara-negara Islam. Huraian lanjut tentang fenomena ini lihat, John L. Esposito, Islam and Politics (third edition), New York: Syracuse University Press, 1984.
[4] Lihat Hasan Al-Banna, Majmuah Rasail al-Imam As-Syahid Hasan al-Banna, ttp: Dar at-Tawzi’ wa al-Nasyr al-Islamiyyah, 1992, hal: 318.
[5] QS. 2: 208.
[6] QS. 24: 55.
[7] QS. 12: 40.
[8] Pemikiran Hasan al-Banna ini merupakan reaksi dan tanggungjawabnya sebagai pendakwah yang berusaha untuk meluruskan satu pemahaman yang selama ini disuarakan secara bertalu-talu dan diajarkan oleh orientalis kepada umat Islam yang mahu Islam dipandang sebagai agama ritual an sich yang tidak mempunyai dimensi lain. Lihat Hasan Al-Banna, Majmuah Rasail al-Imam As-Syahid Hasan al-Banna,ttp: Dar at-Tawzi’ wa al-Nasyr al-Islamiyyah, 1992, hal: 159.
[9] Ibid.
[10] Ibid.
[11] Ibid., hal: 356. Untuk huraian tentang konsep Islam sebagai sistem yang menyeluruh lihat, Abdullah bin Qasim Al Wasyli, Syarah Ushul ‘Isyrin: Menyelami Samudera 20 Prinsip Hasan Al-Banna, Solo: Era Intermedia, 2009, hal. 33-138.
[12] Hasan al-Banna, op.cit, hal: 322.
[13] Ibid, hal: 320.
oleh: Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
(sumber: wasatiyyah.my)
No comments:
Post a Comment