Apabila tibanya Aidilfitri, setiap Muslim dan Muslimah mengambil peluang melakukan ziarah ke rumah saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai.Meskipun kita dianjurkan untuk melakukan ziarah, mengukuhkan silaturahim dan bermaafan pada sepanjang waktu, ia wajar diserlahkan dengan kehadiran Aidilfitri dan sempena Syawal yang mulia ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari)
Amalan kunjung-mengunjung sesama kita dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan. Lebih penting lagi, ia membuka pintu rahmat dan keberkatan dalam hidup mereka yang menjadikannya sebagai budaya. Inilah antara suasana kegembiraan yang dapat dirasai selepas berjaya menunaikan perintah Allah sepanjang Ramadan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Terdapat sebahagian ulama yang menjelaskan dimaksudkan dengan kegembiraan pertama iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa turut membawa makna kegembiraan ketika menyambut 1 Syawal. Hal ini kerana pada ketika itu umat Islam diharamkan sama sekali untuk berpuasa dan dianjurkan bergembira dan membesarkan Allah. Namun, dewasa ini dapat diperhatikan ramai dalam kalangan anak muda yang lebih suka menghabiskan waktu di rumah. Tambahan pula, pelbagai rancangan menarik disajikan dalam televisyen. Golongan muda mungkin beranggapan amalan ziarah pada hari raya adalah amalan yang kurang penting dalam kehidupan mereka. Sebab itu ada yang mengambil peluang cuti hari raya untuk makan angin bersama rakan dan menganjurkan aktiviti hiburan melalaikan. Hakikatnya, fenomena ini perlu dibanteras. Remaja perlu faham kehidupan dunia ini tidak boleh dipisahkan sama sekali dengan perancangan kehidupan di akhirat nanti.
Keseronokan yang melampau serta tersasar daripada garis panduan agama akan menyebabkan mereka termasuk dalam golongan yang rugi di akhirat nanti. Firman Allah bermaksud:
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)
Banyak faedah yang boleh diperoleh sekiranya dapat menghidupkan amalan ziarah sempena cuti Aidilitri ini. Selain dapat merapatkan hubungan yang sedia terjalin, ia juga satu wadah terbaik menambahkan kenalan baru. Hubungan atas dasar ukhuwah Islamiah ini akan mencerminkan betapa indahnya Islam dalam mengatur hubungan sesama manusia (hablum minannas).
Firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku supaya kamu saling mengenal (ta’aruf).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Bagi hubungan yang bersifat kekeluargaan pula, amalan ziarah ini mampu untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan selain dapat menyuburkan sifat mulia dalam diri seperti menghormati, menyayangi dan toleransi. Golongan muda menghormati yang tua, manakala golongan tua menyayangi yang muda. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?” Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga).” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam konteks kita di Malaysia, penganjuran majlis ‘rumah terbuka’ bagi golongan yang berkemampuan dapat menghidupkan suasana ziarah-menziarahi sesama insan. Amalan mulia ini meskipun bukanlah satu syariat diwajibkan oleh Islam, tetapi jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, maka ia boleh menjadi satu ibadah yang menguntungkan di akhirat kelak. Sebenarnya, menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik adalah amalan kalangan rasul. Hal ini seperti dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim AS yang memuliakan tetamu bertandang ke rumahnya. Firman Allah yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang yang tidak dikenali.” “Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 24 hingga 27) Namun, dalam penganjuran majlis seperti ini, selaku tuan rumah terdapat adab perlu dipatuhi. Antaranya tuan rumah perlu bijak menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Pembaziran dilarang Allah. Firman Allah yang bermaksud: “...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)
Semoga dengan amalan ziarah-menziarahi akan mengukuhkan ukhuwah persaudaraan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan ukhuwah yang erat kita akan terus mampu mempertahankan agama Islam daripada sebarang pencerobohan dan penghinaan.
(sumber: hmetro.com ~ Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin) 4 Syawal 1434H
Amalan Ziarah Buka Pintu Rahmat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment