Bendung Konflik Kepentingan Dengan Amal dan Berbaik Sangka

Secara amnya persaudaraan umat Islam adalah baik dan terjalin kuat, tetapi dalam realitinya ia masih digugat salah faham apatah lagi jika ia dikaitkan dengan umat Islam yang berpuak-puak. Apa yang kita lakukan, berfikir, bercakap dan bekerja jika ia memberikan kebaikan sama ada kepada diri kita sendiri atau orang lain, Islam tetap menganggapnya sebagai ibadat.Setiap orang boleh menyeru persaudaraan Islam, tetapi apabila ia bertembung dengan keperluan dan hasrat peribadi, maka seruan persaudaraan itu akan hanya tinggal di bibir dan melayang di udara. Sesiapa pun boleh menghebahkan persaudaraan Islam tapi apabila ia bercanggah dengan kepentingan peribadi dan kelompok maka ia tinggallah dalam catatan kitab dan buku agama.Segala apa yang kita lakukan hendaklah berlandaskan bahawa manusia perlu menjaga hubungan baik dengan Allah SWT dan keharmonian masyarakat serta negara. Oleh itu usaha menjatuhkan kumpulan lain yang bertentangan falsafah politik sebenarnya lebih merupakan usaha untuk menutup kelemahan perjuangan sendiri.
Berdasarkan pengertian dan luasnya makna ibadah, setiap Muslim perlu sedar bahawa tujuan melakukan ibadat adalah untuk mencapai hidup yang harmoni, aman, sejahtera dan damai. Ia tidak akan dapat direalisasikan jika kita melakukan amalan baik tetapi memutuskan silaturrahim dan melakukan hasutan.Inilah yang kita hadapi sekarang. Umat Islam mengetahui sebuah hadis yang maksudnya:
 “Janganlah kalian saling dengki mendengki, jangan saling tipu menipu, jangan saling benci membenci, jangan saling bela-kang membelakangi dan jangan membeli suatu barang yang (akan) dibeli orang. Jadilah kamu sekalian hamba Allah SWT yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, tidak layak untuk saling zalim menzalimi, berbohong kepadanya dan tidak hirau kepadanya. Takwa itu ada di sini (sambil menunjuk dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang dikatakan jahat jika dia menghina saudaranya sesama Muslim. Haram bagi seorang Muslim dari Muslim yang lainnya, darahnya, hartanya, dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim).
Sedarkah mereka bahawa hasad adalah tidak suka melihat saudaranya mendapat kenikmatan. Hasad adalah akhlak yang sangat tercela. Selain penolakan terhadap takdir, ia juga buruk sangka kepada Allah SWT apabila menganggap nikmat itu tidak layak dimiliki saudaranya. Amalan yang soleh – amar makruf – tidak hanya diukur oleh sumbangan tetapi turut dinilai oleh banyaknya kebaikan terhadap sesama manusia. Ia termasuklah inisiatif untuk menghapuskan pertelingkahan atau penderitaan orang lain. Tetapi jika kita bertindak dan berfikir untuk terus menambahkan lagi pertelingkahan dan mengapi-apikan perpecahan, ia akan dianggap sesuatu yang memudaratkan. Kemudaratan ditegah oleh Islam dan termasuk dalam senarai dosa-dosa besar.
Bagi mereka meletakkan takwa sebagai pengembaraan melengkapkan keimanan, mereka mesti percaya Islam adalah agama untuk menyatukan umat. Kalau ada yang suka mempersendakan ajaran agama, dia sebenarnya belum sampai pada darjat ketakwaan. Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat di antara mereka daripada manusia." (Riwayat At-Tabrani). Ada riwayat yang menceritakan bahawa di antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda soleh (As-habul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur dengan kuasa Allah SWT.
Namun yang paling baik ialah seseorang yang beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat. Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan baik yang dituntut oleh Islam dan dihayati oleh semua manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah.Seorang sahabat pernah bertanya Nabi SAW: “Apa yang dimaksud dengan berhati tulus? Nabi menjawab: Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki. Nabi ditanya lagi: Sesudah itu siapa? Kata Nabi, Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat. Sesudah itu apa lagi? Mukmin yang berakhlak baik.”
Sementara manusia yang paling jahat ialah yang suka menyebarkan fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain tetapi hakikatnya mereka jahil. Atas perbezaan ideologi yang disertai dengan kejahilan, telah menutup pintu hati dan pemikirannya sehingga berani membuat tuduhan kafir, munafik ke atas sesama Muslim. Malah mereka mengkhususkan syurga hanya untuk puaknya dan neraka untuk puak lain. Pengucapan dua kalimah syahadah, ikhlas atau tidak bukanlah urusan manusia, ia adalah hak mutlak Allah SWT untuk menilainya. Begitu juga dosa dan pahala.Kita memerlukan setiap umat tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan umat Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam.
Akibat terlalu setia kepada sesuatu puak, kita mungkin akan mendewakan orang lain. Kita akan menganggap setiap perkataannya sempurna, walhal keterbatasan akal rasional telah menutup emosi dan jerat ketaksuban kita.Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita takbur dan riak kerana bakal menimbulkan kerosakan di muka bumi.Orang yang mulia dan baik di sisi Allah SWT ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Oleh itu golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling dibenci oleh Allah SWT. Islam itu adalah agama yang meletakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian di atas segala-galanya. Agama tidak seharusnya digunakan sebagai senjata bagi memecahbelahkan umat.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah akan Kami beritahu kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu mereka yang mensia-siakan hidup di dunia ini, sedangkan sangkaan mereka telah melakukan kebaikan”. (Surah Al-Kahfi ayat 103-104). Tapi sedarkah mereka untuk melaksanakan hadis di atas? Sedarkah mereka bahawa hasad adalah tidak suka melihat saudaranya mendapat kenikmatan. Hasad adalah akhlak yang sangat tercela. Selain penolakan terhadap takdir, ia juga buruk sangka kepada Allah SWT apabila menganggap nikmat itu tidak layak dimiliki saudaranya.
Sedarkah mereka bahawa kebencian kepada saudaranya ada dua bentuk, iaitu:-
Pertama - benci kerana agama. Kebencian seperti ini boleh bahkan wajib, iaitu membenci saudaranya kerana kejelekan agamanya. Kebencian seperti ini tidaklah kebencian secara mutlak, dalam erti di samping rasa benci, ada juga dalam hatinya rasa cinta kerana masih saudaranya.
Kedua - benci kerana dunia. Kebencian seperti ini haram hukumnya. Maka jika seseorang berasakan dirinya membenci saudaranya, maka hendaklah dia melihat kepada kebaikannya agar kebencian itu hilang. Sedarkah mereka bahawa perbuatan memulaukan saudaranya itu sebenarnya ada dua macam – memulau kerana alasan agama. Hukumnya boleh jika mendatangkan maslahah bagi yang memulau atau bagi yang dipulau.
Ketiga - memulau kerana alasan dunia. Hukumnya boleh jika saudaranya sudah menyakiti dirinya dengan batasan masa maksimum tiga hari. Namun, lebih baik dia memaafkan dan melupakan kesalahan saudaranya dan tidak memulaunya. Sedarkah mereka bahawa haram hukumnya bagi seseorang merendah-rendahkan saudaranya.Kalangan sahabat Nabi sudah memberikan contoh penerapan ajaran Islam berkaitan persaudaraan sehinggakan kitab suci al-Quran turut merakamkannya dalam beberapa ayat-ayatnya.Sahabat itu menyedari bahawa dalam persaudaraan mesti ada pengorbanan yang diutamakan. Al-Quran menjelaskan maksudnya: 
“Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Hasyr: 9).
Sudah terbukti dalam sejarah bagaimana mereka berjaya dalam kehidupan sehingga menjadi umat terbaik yang dimiliki masyarakat antarabangsa. Kejayaan mereka menerapkan semangat persaudaraan tidak terlepas daripada sebuah hadis yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat.” Kami (sahabat) bertanya: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan untuk seluruh Muslimin.” (Hadis riwayat Muslim). Kalangan sahabat Nabi saling mendoakan kebaikan untuk saudaranya begitu juga orang yang mengikuti jejak mereka seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkan dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu.” (Surah al-Hasyr: 10).
Jika sahabat berjaya membina tamadun berlandaskan persaudaraan saling menasihati dan berdoa tanpa buruk sangka yang sesuai dengan zaman mereka, maka tidak ada sebabnya kita tidak boleh mengikuti jejak mereka untuk membina tamadun sesuai dengan zaman kita yang berlandaskan nilai murni ini. Dalam doa, nasihat dan persaudaraan ada keberkatan Allah SWT. Walaupun pada amnya ia kelihatan mudah tapi pada hakikatnya ia amat sukar kecuali bagi orang pilihan Allah.Sesungguhnya kita perlu yakin bahawa amalan soleh dan berbaik sangka sesama kita akan membendung konflik dan sengketa.
(sumber: Umar Luqman ~ terangbulan.net)

No comments:

Post a Comment