Kasih sayang mempunyai erti begitu tinggi nilainya sehinggakan manusia sanggup bertindak liar kerana tidak mampu mengawal perasaan. Kasih yang mengikut perasaan boleh menyimpang daripada kehendak Tuhan. Oleh itu, kasih sayang tanpa kawalan dan berbelah bagi tidak direstui dan diredai Allah. Dalam jiwa setiap insan pasti disemat dengan sifat kasih sayang, tetapi tidak semua berjalan di atas landasan sebenar dengan mengikut perasaan. Ada antaranya bertindak atas landasan yang dihanyuti arus kerana godaan syaitan.Sesungguhnya kerja syaitan adalah memesong dan menyesatkan. Akibatnya jika tidak dijaga, tidak akan wujud kasih sayang dan takwa.
Tiga perkara penting dalam perjuangan kehendak manusia iaitu harta, takhta dan wanita. Jika tidak dikawal tanpa berlandaskan garis panduan Allah yang Maha Esa, akan membawa padah yang boleh memesongkan iman manusia. Firman Allah bermaksud:
“Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta dan anak daripada mengingati Allah. Dan sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” - (Surah al-Munafiqin, ayat 9)
Sesiapa yang terpesong akibat berebut harta, takhta dan wanita akan melupai nilai sebenar kasih sayang dan takwa. Mereka hanya mampu berkasih sayang di kalangan sebaya, sedangkan menyemat kebencian dan bermusuhan pula dengan lawan mereka. Rapat sesama sebulu hanya kasih mengikut nafsu. Kasih sayang dan bertakwa hanyalah kerana Allah. Fahaman walaupun tidak sama tetapi Islam menggalakkan hidup berbaik dan menjauhi sebarang masalah.Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”- (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Pada hari ini, ada umat Islam tenggelam dalam laungan ombak perjuangan, tetapi pada masa sama lupa menyemat nilai berkasih sayang mengikut landasan Islam. Demi kerana berlainan fahaman ideologi dan pendekatan politik, mereka sanggup bertindak secara fanatik. Memaki hamun sesama seagama! Yang nyata, manusia tidak akan sefahaman sampai bila-bila, tetapi mengapa asas persaudaraan Islam pula dicabul dan dinodai. Fahaman berbeza sepatutnya tidak menggugat hubungan bersaudara. Di manakah letaknya nilai agama?
Hidup berprinsipkan kebencian sesama saudara semakin menular dalam umat Islam hari ini tanpa takutkan dosa. Memaki hamun, menghentam dan berdendam sesama sahabat, tidak dihiraukan lagi. Janganlah kerana hendak mengejar harta, takhta dan wanita, umat Islam sanggup memutuskan kasih sayang sesama saudara.Umat Islam perlu sedar, perkara ini berlaku dalam masyarakat hari ini, yang mana sifat kebencian, kecam-mengecam dan dendam-mendendam adalah kenyataan yang dapat dilihat dengan jelas pada masa ini. Perlu diingat, kebencian bukan tiket ke syurga. Sabda Nabi s.a.w dari Abu Hurairah bermaksud: “Tidaklah kamu masuk syurga tanpa beriman dan tidaklah sempurna iman kamu tanpa berkasih sayang, inginkan kamu ku tunjukkan sesuatu apabila kamu kerjakan, terwujudlah kasih sayang di kalangan kamu? Semarakkanlah salam di kalangan kamu.”Mengapakah pula salam pun sukar disambut, sedangkan sifat Muslim adalah lemah lembut.Jika mahu meningkatkan nilai penghayatan Islam, setiap orang Islam mesti mengakui semua orang Islam adalah saudaranya tanpa dibataskan dengan anutan parti dan perbezaan fahaman.Allah mengiktiraf isyarat bahawa salam itu tanda seseorang Islam. Firman Allah bermaksud:
“Hai orang beriman, apabila kamu pergi (berperang) di jalan Allah, maka telitilah dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepadamu: Kamu bukan seorang mukmin (lalu kamu membunuhnya) dengan maksud mencari harta benda kehidupan di dunia, kerana di sisi Allah ada harta yang banyak...” - (Surah an-Nisa, ayat 94)
Sabda Nabi s.a.w dari Abu Hurairah bermaksud “Orang Islam bersaudara sesama Islam. Tidak boleh menganiaya dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tidak boleh membohonginya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini, kata Nabi sambil menunjuk ke dadanya tiga kali.” Cukup banyak kejahatan seseorang itu apabila dia merendah-rendahkan saudaranya sesama Islam.
(Kitab Matnul Arbainan Nawawiyah)
Sumber: islamgilrid.com
Kasih sayang sesama manusia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment