Part 2: Suka Duka Gerakan Islam "Ikhwanul Muslimin"

Al Ikhwanul Muslimin adalah satu harakah yang tersusun rapi dengan ahlinya yang dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu. Terdapat ahli peringkat pertama, peringkat kedua, penyokong dan pekerja. Seseorang itu tidak dinaikkan peringkatnya,
sebelum diberi ujian tertentu. Apabila ahli sudah dianggap aktif, mereka akan dipanggil alam mesyuarat khas, dimana Sheikh Hassan al Banna sendiri yang menjadi ketuanya. Bagi mengendalikan ahli, mereka dibahagikan kepada nuklias, sel, usrah dan barisan. Apabila cawangan-cawangan bertambah, satu yunit pentadbiran ditubuhkan dengan ahlinya dipilih khas oleh Muktamar (General Assembly). Markas akan menerima tentang
maklumat semua kegiatan ahli 10 hari sebelum Muktamar. 
Di Muktamar, semua cawangan menghantar wakil masing-masing. Persetujuan Markas Pusat diperlukan untuk meluluskan satu-satu keputusan yang dipersetujui oleh Muktamar Cawangan. Markas Pusat juga berkuasa untuk meluluskan atau menahan penubuhan sesuatu cawangan atau Jawatankuasa Tadbir. Untuk melicinkan lagi operasi, Jawatankuasa Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kecil bagi department-department tertentu seperti kebajikan masyarakat, hubungan dengan Dunia Islam dan lain-lain. Di Khahirahlah letaknya Markas Pusat. Jawatankuasa Pusat terdiri dari 100 orang Jawatankuasa Pengasas dan 12 orang penasihat, yang dilantik sendiri oleh Hassan al Banna dari Jawatankuasa Pengasas. Setiap ahli membuat bai'ah atau sumpah setia. Mereka bersumpah untuk melindungi saudara-saudara Ikhwan hatta dengan mengorbankan nyawa mereka sendiri, disamping menaruh kepercayaan dan ketaatan dengan lapang dada terhadap ketua mereka. Mereka sanggup menerima perintah walaupun bercanggah dengan kehendak mereka. Disetiap perjumpaan mereka akan memperbaharui sumpah mereka dan mengulangi "Sami'na wa Ata'na".
Hassan al Banna mengetahui dengan terperinci ahli-ahli yang aktif dan dipercayai. Mereka ini dikehendaki merekodkan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk penghafalan Qur'an serta kehadiran mereka pada sembahyang berjemaah. Mempelajari Al Qur'an, Hadith dan Syari'ah diwajibkan ke atas mereka. Mereka diajar menggunakan bermacam-macam senjata dan pertolongan cemas. Pada akhir pengajian mereka akan diperiksa apa yang telah mereka pelajari. Satu perjumpaan diadakan dua tahun sekali diperingkat cawangan apabila diarah oleh Hassan al Banna. Di dalam tulisannya, Sheikh Hassan al Banna memegang teguh kepada beberapa prinsip. Pertamanya, beliau melarang keras ahlinya menjadi Ikhwanul Muslimin sebagai tempat medan percanggahan pendapat. Dalam soal ini, Hassan al Banna mengikut nasihat dari seorang Ketua Sufi di mana ia masih berada di bangku sekolah. Ketua Sufi itu telah menasihatkan muridnya supaya jangan berbalah dalam perkara-perkara yang kecil dan jangan menggunakan kalimah-kalimah orang-orang atheist, murtad dan missionari kristian di khalayak ramai.

"Buatlah perkara ini semasa kamu berbincang dan bermusyawarah sesama kamu. Di hadapan orang-orang kampung, gunakanlah perkataan yang berkesan yang dapat membimbing mereka kepada Islam".
Yang keduanya, Hassan al Banna, begitu kurang mempercayai kalangan orangorang kaya terkenal yang ingin menyertai Ikhwan. Pada anggapan beliau, mereka berbuat demikian mungkin untuk kepentingan diri atau mencari kepentingan dunia. Di dalam penulisan beliau dan pengikutnya terdapat penekanan tentang kepentingan membentuk harakah secara beransur-ansur. Sesebuah harakah itu mestilah mendapat sokongan orang ramai yang kuat sebelum dapat menggantikan kerajaan yang ada. Massa mestilah diberi dengan cukup prinsip-prinsip perjuangan Islam. Al Ikhwan dapat menjalankan programnya hasil dari kekuatan Iman dan prinsip-prinsip Islam yang tulin, perpaduan dan Ukhwah Islamiah di kalangan ahli-ahli harakah dan penyokong. Al Ikhwan berpendapat bahawa kekuatan hanya perlu digunakan apabila semua cara lain gagal. Di dalam ucapan dan tulisannya, Sheikh Hassan al Banna menafikan bahawa Ikhwan mahu mengadakan Revolusi bunuh membunuh atau Coup d'etat. Tidak juga ia mengatakan langkah tersebut sebagai berkesan.

Aktiviti asas bagi Al Ikhwan ialah soal pendidikan dan pembukaan sekolah-sekolah yang bermacam jenis. Berulang kali Al Ikhwan menyeru kepada Kerajaan Mesir supaya mengambil berat tentang pengajaran agama dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia kepada generasi muda yang sedang meningkat umur di sekolah-sekolah umum. Program persekolahan yang dilaksanakan sepatutnya mempunyai empat matlamat :

1. Menyebarkan prinsip Agama Islam.

2. Menaikkan taraf moral yang tinggi.

3. Kemegahan terhadap tamaddun Islam.

4. Menyediakan pakar-pakar di dalam semua bidang sains untuk membantu kebangkitan Islam di Mesir.


Di dalam Kurikulum sekolah, al-Ikhwan menyeru supaya pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah Islam, dan Tamaddun Islam. Mereka juga mendesak supaya mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti-universiti. Guru-guru yang tidak berakhlak, tidak mnegambil berat tentang Islam serta tidak jujur dalam usaha-usaha untuk memperbaiki negara hendaklah dipecat. Sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan hendaklah diharamkan. Inilah antara contoh dan peranan aktif yang dimainkan oleh Al Ikhwan.
Di Markas Pusat, sebuah Jawatankuasa Khas mengenai penubuhan sekolahsekolah diadakan. Sekolah-sekolah rendah, menengah, teknik yang ditubuhkan adalah lain dari sekolah-sekolah swasta serta lain dari segi penekanan prinsip Islam terhadap murid-murid. Untuk menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja-pekerja dan orang-orang kampung. Pada siang hari terdapat kelas menghafal Quran sementara di malam harinya terdapat kursus-kursus untuk pemuda yang tidak berpeluang belajar pada siang hari. Kelas bimbingan bagi membantu mereka yang gagal dalam peperiksaan juga diadakan di sebelah malam. Guru-guru yang mengajar terdiri dari pelajar-pelajar universiti yang telah dilatih khas. Mereka juga membuka sekolah "Ummul Mu'minin" bagi Muslimat Ikhwan. Itulah contoh-contoh betapa beratnya perhatian yang diberikan oleh Ikhwanul Muslimin terhadap pendidikan sehingga boleh dikatakan tiada satu pun cawangan Ikhwan yang tidak mempunyai sekolah sendiri.
[sumber: nowwhytwo.wordpress.com ~ penulis: Maryam Jameela dgn Terjemahan: Nazri Mohd. Amin]

No comments:

Post a Comment