Di dalam pergaulan khususnya dengan golong yang berkedudukan ataupun “bos”, kita sering bertemu dengan manusia-manusia yang sombong dan bongkak. Orang yang suka berlagak dan menonjolkan dirinya secara berlebih-lebihan. Bila bercakap sering menyebut-nyebut status dan kedudukannya, “aku bos kamu”, “aku orang kuat di sini” dan segala macam kedudukan yang di sudut hatinya mengharapkan simpati dan hormat orang kepadanya. Jangan gentar dan gerun dengan orang seperti ini kerana mereka sebenarnya orang yang lemah dan kurang.
Kesombongan dan keangkuhan yang ditunjukkan mereka itu adalah semata-mata tabir palsu yang dipasang dengan tujuan untuk melindungi sesuatu kekurangan dan kelemahan yang dirasa ada pada dirinya. Fahamilah bahawa setiap orang yang terlampau menonjolkan keangkuhan dan kesombongannya mempunyai kelemahan-kelemahan yang tertentu. Mereka adalah orang yang dahagakan penghargaan, perhatian, pengakuan dan penghormatan orang sekelilingnya serta cuba mencari dan mencapainya dengan cara yang salah dan ikhtiar yang palsu. Oleh kerana itu manusia yang seperti ini seringkali mudah rebah bila dipuji dan diampu. Malah akan mudah meletus kemarahannya dengan serta-merta bila dikritik atau disinggung perasaannya.
3 Tips berhadapan dengan bos yang sombong dan panas baran.
Biasanya bos yang sombong dan panas baran ini orangnya jenis “high expectation”. Citarasanya tinggi. Dia agak cerewet. Cakapannya kekadang sedikit kasar kerana emosinya sensitif pada perubahan situasi di sekitar tempat kerja. Sebab itu asal ada sahaja yang tidak kena, dia akan cepat melenting.
Tips 1: Tonjolkan diri
Untuk mengambil hati seorang bos yang sombong dan panas baran, anda perlu mencapai ekspektasi yang dimahukannya. Anda kena tunjukkan kepadanya kerajinan anda, professionalisma, juga kecekapan anda bekerja supaya dia sedar yang anda ada kelebihan tersendiri. Berikan kepadanya idea-idea bernas yang anda fikirkan. Beranikan diri memberi pendapat di kala rakan-rakan sekerja anda teragak-agak untuk mengutarakan pendapat mereka. Stand out from the crowd! Sikap sombong dan panas baran itu jika dipandang dari sudut positif, sebenarnya mendesak anda untuk memajukan diri sendiri supaya prestasi anda sama seperti prestasi kecemerlangan yang dimahukan oleh bos anda itu.
Tips 2: “Dalam dia marah-marah tu, mesti ada waktu untuk dia ‘cool’ seketika.”
Orang yang sombong dan panas baran ini, hatinya perlu dirawat dengan pujian namun janganlah pula berlebihan. Dari luar terlihat keras dan angkuh, tapi di dalam begitu lembut dan rapuh. Ya, seperti buah durian. Kebanyakan orang yang bersikap sombong dan panas baran memiliki hati yang lembut. Disinilah kunci utamanya! Orang yang memiliki sifat seperti ini sangat mengharapkan perhatian yang lebih, kerana dia akan menyimpan dan memandam segala masalahnya sendiri. Ada sisi rapuh di sini, di mana dia mudah terkoyak oleh sesuatu yang mengena seperti kasih sayang. Ambilah sisi ini, kerana sisi tersebut sangat sensitif dan mudah mempengaruhinya.
Ajak dia bercerita tentang kisah hidupnya, bercerita pasal anak-anak, ahli keluarganya, majlis-majlis tertentu, sukan rekreasi yang dia selalu lakukan. Seorang bos akan merasa bangga apabila ada dikalangan para pekerja atau orang bawahannya yang ingin tahu bagaimana dia berusaha untuk berjaya sehingga sampai ke tahap kedudukan dan jawatannya sekarang ini. Sudah tentu dia akan menceritakan segala pengalamannya dengan senang hati. Bila dia sudah senang hati, mudahlah untuk anda berhadapan dengannya bila-bila masa. Anda boleh dekatinya, dan dia juga akan merasa selesa untuk bergaul dengan anda.
Tips 3: “Bila bos anda marah anda, biarkan saja dia memarahi anda semahunya.”
Orang yang sombong dan panas baran ini, memiliki perasaan sakit hati pada situasi-situasi tertentu dalam hidupnya. Semua perasaan sakit hati itu telah terkumpul lama dalam ingatannya. Makin lama semakin bertambah dan makin membanyak. Mungkin dia ada masalah kewangan, masalah perhubungan atau merasa tertekan dengan tanggungjawab kerjanya yang bertimbun. Bila dia ada peluang untuk marah, dia akan melepaskan semua perasaan sakit hatinya yang terkumpul selama ini.
Apabila anda berdepan dengan bos yang pemarah, panas baran atau “cepat naik angin”, biarkan saja dia melepaskan kemarahannya selagimana dia mahu. Beri peluang untuk dia lepaskan kesemua yang terbuku di hatinya. Dia gunakan kemarahannya itu pada anda sebagai cara untuk dia lepaskan geram.
Apabila anda berdepan dengan bos yang pemarah, panas baran atau “cepat naik angin”, biarkan saja dia melepaskan kemarahannya selagimana dia mahu. Beri peluang untuk dia lepaskan kesemua yang terbuku di hatinya. Dia gunakan kemarahannya itu pada anda sebagai cara untuk dia lepaskan geram.
Elakkan untuk memberi apa-apa respon pada waktu itu. Lama kelamaan bila keadaannya sudah reda, bila geramnya sudah hilang “power”, dia akan menjadi seseorang yang amat baik. Masa inilah anda boleh gunakan untuk mendekatinya. Pastikan suasana ketika itu sunyi, bebas dari apa jua gangguan. Beritahu bos anda yang anda faham dengan situasi-situasi sukar yang dihadapi olehnya.
Pasti hatinya luluh dengan keikhlasan anda. Bos anda akan menganggap anda seorang kakitangan yang boleh dipercayai. Selepas itu, setiap kali anda berdepan dengannya atau duduk berhampiran dengannya, anda akan merasa selesa, tidak ada lagi perasaan takut-takut atau segan-segan.
Kesimpulannya
Setiap orang yang kena marah memang agak sukar untuk melupakan rasa dimarahi itu, melainkan kita mengganggap yang kita sedang memberi peluang kepada bos kita untuk melepaskan tekanan yang telah lama terbuku di hatinya. Inilah caranya untuk kita memiliki ketahanan apabila dimarahi. Jika fikiran anda terganggu dengan seseorang yang berwatak sombong atau panas baran, bukan berarti bos anda tersebut telah melakukan kesalahan. Perasaan jengkel anda disebabkan cara berfikiran yang berbeza. Anda melihat situasi dari sisi “anda sendiri”. Anda berfikir segala yang terjadi seharusnya sesuai dengan cara anda. Sedangkan bos anda mempunyai cara berfikiran yang lain. Memang rumit, tapi bersangka baiklah dengan kemarahan orang yang memarahi anda!
Belajarlah menerima sesiapa sahaja dengan seadanya. Yang penting mulakan segala kebaikan pada diri sendiri terlebih dahulu. Jika kita inginkan kebaikan orang pada kita maka kita hendaklah terlebih dahulu memulakan kebaikan itu pada diri sendiri. Dengan cara ini kita akan mampu bergembira apabila bertemu dengan sesiapa sahaja, walaumacamana sekalipun perangainya. Moga Allah SWT memberi kelapangan dada untuk kita menghadapinya, insya Allah.
[sumber: mohamadzakihalim.com]
No comments:
Post a Comment