Nikmat Syukur

Syukur dapat diertikan sebagai satu ucapan terima kasih kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang dianugerahkan pada diri manusia, sama ada yang lahir mahu pun yang batin. Syukur akan melahirkan jiwa hamba yakni sentiasa taat dan sujud kepada penciptaNya jika dihayati dalam erti kata yang sebenar. Sentiasa rasa bertuah dan tidak menjadi takabbur. Syukur akan melorongkan seseorang untuk terus beramal ibadat tanpa rasa jemu, sekalipun nikmat itu kecil.
Bersyukur kepada Allah SWT mesti dilakukan oleh setiap manusia seperti FirmanNya yang bermaksud:-“Dan syukurilah nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepadaNya.” – (Surah an-Nahl, ayat 114).  Malangnya, hari ini ramai yang lupa bersyukur apabila menikmati kesenangan bahkan ada yang menafikan sama sekali kenikmatan yang diterimanya. Maka orang sebegini berlawanan dengan sifat syukur lalu menjadi kufur.
Kita seharusnya mengingati bencana yang telah menimpa ke atas Qarun. Seorang yang hidup pada zaman nabi Allah Musa AS iaitu orang yang terkaya di dunia ketika itu, tetapi tidak bersyukur kepada Allah SWT. Akibatnya, Allah SWT membinasakan Qarun bersama-sama dengan segala harta kekayaannya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kita mesti bersyukur? Jawapannya, mudah! Sebab kita adalah makhluk kejadian Allah SWT. Kita dikurniakan kelebihan berbanding makhluk lain. Kita diberikan akal. Akal yang dipandu oleh wahyu akan menjadikan manusia beriman dan bertakwa. Inilah kayu ukur dalam menilai darjat seseorang. Bukan pada harta, pangkat, rupa paras atau kedudukan, walau tidak dinafikan peri pentingnya. Nilai manusia daripada kacamata Allah SWT, bukannya kacamata manusia. Penilaian manusia selalu silap, tetapi penilaian Allah SWT tetap benar dan tidak pernah silap. Kita mungkin hebat di dunia, tetapi belum tentu kita hebat di akhirat. Justeru, jika mahukan hebat kedua-duanya, mesti berpandu kepada iman dan takwa. Berbekal iman dan takwa, manusia akan terpandu untuk bersyukur."Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri"(Luqman: 12). Dalam ayat yang lain Allah berfirman bermaksud:  Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih (Ibrahim: 7) 
Persoalan seterusnya ialah bagaimanakah cara kita bersyukur kepada Allah SWT? Cuba berfikir sejenak kisah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pernah ditegur oleh isterinya, Aisyah. Baginda tidak pernah putus bersembahyang sunat malam hari sehingga menyebabkan kaki baginda bengkak dan air mata membasahi wajahnya. Aisyah bertanya: “Bukankah Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan yang akan datang? Kenapa masih melakukan sedemikian? Jawab Baginda: “Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”Inilah contoh ikutan kita. Baginda mengajar kita bagaimana cara untuk bersyukur. Segala nikmat yang telah kita terima, mestilah dibalas dengan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT, yakni dengan melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi segala yang dilarang.
Sebenarnya, jika kita mahu menghitung, setiap hari yang dilalui oleh manusia penuh dengan nikmat dan menuntut kita untuk bersyukur. Bermula dari celik mata sehinggalah kita memejam mata, semuanya adalah nikmat yang silih berganti setiap hari. Tiada suatu detikpun manusia tersisih daripada sebarang kenikmatan. Justeru , segala kenikmatan ini perlu disyukuri. Bayangkan, apakah akan terjadi sekiranya nikmat ini diberhentikan buat seketika? Misalnya, udara yang kita hirup saban hari? Apakah akan terjadi kepada manusia, binatang dan makhluk yang lain jika nikmat udara itu diberhentikan? Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada kita untuk bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dimiliki. Nikmat yang kita perolehi terlalu banyak sehingga tidak mampu untuk kita menghitungnya. Firman Allah SWT.“Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” – (Surah an-Nahl, ayat 18)
Bayangkan sekiranya matahari terus menerus memancarkan cahayanya tanpa silih berganti dengan waktu malam? Sudah tentu pada ketika itu tiada kehidupan yang dapat bertahan hidup di atas muka bumi ini termasuklah manusia. Allah berfirman yang bermaksud,“Katakanlah lagi: “Terangkanlah kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus-menerus sampai hari Kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?“ (Surah Al-Qashash, ayat 72)
Contoh lain, cuba kita teliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh kita sendiri seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata. Sudah cukup untuk kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan pemurahnya Allah SWT. Betapa lemah dan kerdilnya manusia yang menghuni alam ini.Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta dapat bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, merasa, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya. Firman Allah SWT yang bermaksud:“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur (berterima kasih).” – (Surah an-Nahl, ayat 78)
Banyak lagi contoh lain yang boleh diketengahkan bagi menunjukkan bahawa segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanam tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan hasil galian perut bumi, semuanya diperuntukkan supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:“Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan. Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan daripada yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?” – (Surah Yasin, ayat 33-35)
Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya. Dengan kata lain, setelah dicabut oleh Tuhan SWT. Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah kita sedari betapa nikmatnya mempunyai mata, mempunyai kaki dan tangan yang tidak cacat. Pendek kata, nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.Kejadian yang berlaku di depan mata kita hari ini sudah cukup untuk memberikan pengajaran buat kita melayari hidup ini. Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang. Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan bankrap, akan terasa olehnya betapa besar nikmat kekayaan yang pernah dikecapi sebelum ini.
Justeru, marilah kita pelihara setiap nikmat yang diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah SWT agar nikmat itu akan terus kekal.Janganlah hendaknya kita menjadi manusia yang kufur atau tidak bersyukur. Yakni menggunakan nikmat yang dikurniakan pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaan Allh SWT. Misalnya, nikmat kuasa atau pangkat digunakan menindas orang lain. Nikmat nikmat tangan digunakan untuk mencederakan orang lain dan sebagainya. Sebaliknya, gunakanlah nikmat yang diperolehi untuk memakmurkan bumi Allah SWT ini. Misalnya nikmat kekayaan, digunakan untuk keperluan kebaikan seperti membantu fakir miskin, menolong orang yang memerlukan dan sebagainya. Orang berpangkat dan berkuasa, menggunakan nikmat ini dengan melakukan kebaikan terhadap orang di bawah atau rakyat jelata.
Ingatlah, sesungguhnya, bersyukur kepada Allah SWT adalah untuk keuntungan manusia semata-mata. Allah SWT tidak mendapat apa-apa keuntungan dengan perbuatan syukur yang dilakukan oleh hambaNya. Sebaliknya, Allah SWT juga tidak akan rugi apa-apa dengan sikap kufur dan engkar yang ditunjukkan oleh hambaNya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:“Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang engkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya lagi Maha Mulia.” – (Surah al-Naml, ayat 40)
Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin tenang. Mereka akan bertambah dengan penciptaNya dan semakin sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Illahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama insan. Justeru, marilah kita mulanya rasa bersyukur ini dengan melafazkan kata-kata Alhamdulillah setiap masa dan ketika, waktu senang atau susah. Semoga hidup kita diberkati Allah SWT.
(sumber: iceps9.wordpress.com ~ Di tulis Oleh Ustaz Mohd Ridhuan Tee Abdullah)

No comments:

Post a Comment