Ada yang terkesima sehingga benar-benar percaya kehidupan hanya bermula ketika usia menjejaki umur 40 tahun seperti ungkapan popular wartawan Amerika Syarikat, Helen Rowland, "LIFE BEGINS AT 40" yang sering dirujuk untuk dikaitkan dengan perubahan diri.
Di sudut pandang yang lain, seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada satu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak sempurna lalu mampu membuat keputusan dengan bijaksana. Umur ini juga permulaan umur dewasa yang selayaknya seseorang berfikiran lebih waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal sempurna. Al-Quran secara khusus menyebut mengenai umur 40 tahun supaya menjadi peringatan manusia untuk bermuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan diri sendiri.
FirmanNya yang bermaksud: “Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Malah persoalan penting untuk dibicarakan ialah apakah yang perlu dilakukan oleh golongan yang sudah menjejaki umur 40 tahun. Adakah ia suatu permulaan kepada kehidupan dipenuhi keseronokan, kelalaian dan kealpaan atau difokuskan untuk melipatgandakan usaha mendekatkan diri kepada Ilahi.
Bagi yang jarang solat berjemaah, boleh jadi inilah masa terbaik untuk mula berjinak-jinak ke masjid. Bagi yang selalu disibukkan dengan pelbagai aktiviti seharian, cubalah untuk mencuri masa bagi membaca ayat suci al-Quran mahupun melakukan pelbagai aktiviti yang disunnahkan.
Jika ada yang belum berkesempatan menunaikan fardu haji kemungkinan bolehlah menyediakan perbelanjaan untuk menunaikan ibadah umrah dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW sambil menanti kuota haji.
Atau setidak-tidaknya berusaha mempertautkan hubungan silaturahim antara sesama manusia bukan menimbun dosa menceritakan keburukan dan perihal orang lain seharian.
Golongan yang seronok menghabiskan masa berborak-borak di warung atau kedai mamak, eloklah berubah melakukan aktiviti yang lebih berfaedah. Apatah lagi jika ada golongan berusia 40-an, tetapi masih seronok bertukar pasangan dan berfoya-foya.
Semua ini sepatutnya mula menjadi rutin harian golongan berusia 40-an sebagai persediaan menyahut panggilan Ilahi yang bakal kunjung tiba tanpa disedari. Benar, mati tidak mengenal usia akan, tetapi kalau sudah mula dipanggil pakcik dan makcik, tetapi masih berperangai buruk dan kebudak-budakan boleh jadi suatu petanda buruk buat individu berkenaan.
Ibrahim al-Nakhai pernah menyebut, seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya.
Umur 40-an turut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana Allah SWT mengangkat kebanyakan nabi dan rasul-Nya termasuk Nabi Muhammad SAW sebagai rasul untuk mengajak manusia kepada mengesakan Allah SWT dan mencegah perbuatan mungkar dilarang.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat sehingga ditanya empat perkara, iaitu umurnya ke mana dihabiskan, usia mudanya ke mana dipergunakan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah sudah diamalkan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kematian tokoh Ulama Muda Indonesia iaitu Habib Munzir al-Musawa merangkap ketua Majelis Rasulullah iaitu majlis zikir terbesar di Jakarta pada usia 40 tahun sepatutnya dijadikan iktibar.
Ia sememangnya suatu kehilangan besar buat umat Islam di Alam Melayu yang mengenali beliau sebagai ikon pemuda yang taat beribadah dan lidahnya sentiasa basah dengan berzikir mengingati Allah SWT dan RasulNya.
Pemergian beliau bukan sekadar ditangisi, tetapi dijadikan pengajaran bahawa mati tidak pernah mengenal usia tua mahupun muda. Apabila sampai detik dan ketika yang ditentukan, ia tidak akan berganjak walau sesaat.
Tiada seorang pun mampu meramal detik kematian apatah lagi mengetahui bagaimana dan di mana dia akan dicabut rohnya oleh Malaikat Izrail. Lebih utama baik bagi golongan muda mahupun tua, berusahalah untuk membuat persiapan menemui mati dalam keadaan khusnul khatimah.
Tinggalkan dunia ini dengan menabur jasa bakti dan nama yang baik sehingga dikenang buat selama-lamanya. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
[sumber: Mohd Ali Muhammad Don ~ bharian.com.my]
Entri kali ini khas ditujukan kepada nenda tersayang yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 September 2013 yang lalu, di saat umurnya genap 90 tahun (sakit tua). Kasih sayang dari anak2 dan cucunda2 serta cicit2 tiada batasan, akan dikenang hingga akhir hayat kami. Ila arwahi Hajjah Rokiah binti Mohamed, al-fatihah..
No comments:
Post a Comment