Ada Hubungan vs Berhubungan

Baik, kembali bercakap tentang isu hubungan lelaki dan perempuan. Macam-macam versi berselerakan di ruang maya. Boleh didapati dengan mudah pada kotak carian google. Dan saya mungkin hanya tukang tambah kepada koleksi sedia ada.Tahukah anda, isu couple, cabarannya untuk ahli couple, bukan orang yang tidak bercouple. Orang bercouple, bercinta, berpasangan, ujiannya besar dan mujahadah yang perlu dia buat amat berat. Orang tidak pernah bercouple, cakapnya kadang-kadang cukup lebat, hentam sana sini, tetapi dia mungkin tidak pernah diuji. Tetapi hakikatnya, orang yang berada dalam situasi bercouple dan ada pasangan, memang sukar. Bukan dia tidak mengerti tazkirah, peringatan dan pelbagai jenis nasihat. Bukan juga semua itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Bukan.
Kalau anda adalah salah seorang pembenci couple dan penghentam golongan couple dalam sesi tazkirah anda, serta dalam masa yang sama mendakwa mereka ‘kebal’ dari tazkirah, tidak mahu berubah dan sebagainya, ketahuilah bahawa anda mungkin salah seorang dari golongan penghukum yang banyak merugikan dakwah. Post ini, jauh sekali mahu membela golongan bercouple. Tidak. Sekadar berdiri di atas paksi bersederhana dalam pendekatan dan empati dalam menilai.
Ramai orang bercouple yang memang salah dan ramai juga pencegah orang bercouple yang memang salah. Soalnya; Method. Pendekatan. Cara. Hakikatnya, terdapat sejumlah besar orang yang terlibat dalam gejala bercouple, sedang cuba untuk keluar dari gejala tersebut. Tetapi kita mungkin tidak faham keadaan sesetengah dari mereka. Dalam kesukaran memanjat tebing untuk naik ke atas, orang di atas bukan menghulur tangan sebaliknya memijak-mijak tangan yang sedang memaut tebing. Mereka ramai yang sedar couple itu bobrok, rosak , negatif, tidak molek, mendekati zina dan seribu satu keburukan yang lain. Tetapi untuk bertindak, mereka naif. Lemah. Tak mampu. Adakala, perlukan masa untuk mengumpul kekuatan dan berubah. Justeru, beri dorongan. Jangan hanya tahu menghentam.

Ada Hubungan Tak Semestinya Berhubung
Dalam artikel saya bertajuk saya couple saya OK, seseorang bertanya kepada saya bagaimana caranya untuk mereka berubah. Mereka yang bagaimana? Mereka yang ada pasangan, ada couple, ada perasaan antara satu sama lain, bertunang dan sebagainya, tetapi nak berubah sehingga tidak digelar sebagai ahli couple lagi. Perlukah sampai ke tahap clash, break. Tinggalkan pasangan.  Situasinya jelas, tetapi ramai yang keliru. Ada hubungan merujuk kepada antara kamu dan dia, saling kenal mengenali, sampai ke pengetahuan keluarga, saling mengiktiraf cinta, perasaan dan kasih sayang, saling memberi perhatian, hubungan yang dianggap lebih dari sebagai kawan biasa – TETAPI status tersebut kekal sebagai status rahsia, tidak perlu diwar-warkan kepada semua orang, tidak perlu dibuktikan dengan keluar bersama siang dan malam, dan tidak perlu diambil kesempatan dengan bergayut, bersms dan ber’ym’ pantang ada peluang.
Ada hubungan? Ya, ada. Tetapi terjaga. Dijaga oleh keluarga. Diperisai dengan sifat amanah sang teruna. Dipagari oleh sifat malu si anak dara. Itu tidak ada masalah sama sekali. Tetapi berhubung, kondisinya jauh berbeza.

Berhubungan merujuk kepada perbuatan, tindakan yang menjurus kepada maksiat dan perlanggaran hukum Tuhan. Samada di ruang maya mahupun di alam maya, semuanya membawa kepada maksud yang sama ; memenuhi kehendak hati – yang sebenarnya adalah desakan hawa nafsu dan bisikan para syaitan.Keluar bersama, study bersama, mengadu masalah, meluahkan isi hati, saling kejut qiamullail, mesej ayat-ayat tazkirah, kata-kata hikmah, bergayut di telefon dan pelbagai lagi tindakan yang bisa disimpulkan dalam maksud BERHUBUNGAN. Justeru kena faham, ada hubungan bukan masalah. Hendak jatuh hati, siapa boleh sekat. Hendak terasa rindu, siapa boleh halang. Tetapi berhubung, kita boleh ikhtiar untuk sekat, boleh usaha untuk halang.

Maka solusi bagi mereka yang bercouple, tetapi mahu berubah dan tidak ingin digelar sebagai ahli couple – biarkan status anda dan dia kekal sebagai ada hubungan, tetapi anda dan dia tidak berhubung. Kecuali, hal-hal yang bersifat urgent, sangat penting dan terikat dengan disiplin-disiplin perhubungan yang digariskan syarak. Selesai masalah. Jika anda boleh buat begitu, maka anda bukan ahli couple. Tidak ada masalah untuk anda ada hubungan dengan mana-mana calon pasangan yang ada suka atau anda jatuh hati. Kerana Islam itu sifatnya memberi ruang dan membuka saluran, bukan menyekat dan menghalang. Tetapi ingat, Islam juga tegas dan jelas dalam hukum hakamnya. Haram tetap haram, selagimana wujud dalil yang jelas akan pengharamannya. Contohnya bermain mata, merendahkan suara (melentok-lentok atau bernada manja ), bersentuhan, berdua-duaan dan yang sewaktu dengannya. Adapun yang halal dan harus, tiada siapa boleh mengharamkannya.Si mamat suka minah, minah pun suka mamat, keluarga pun sudah tahu. Mamat dan Minah ada hubungan. Jadi apa masalahnya? Jalinkan hubungan dengan keluarga masing-masing, sampai masa dan ketikanya, berkahwin. Apa yang haram jadi halal. Masa itu, barulah boleh berhubungan. Zahir batin pun tiada masalah.

(sumber: myilham.com)

No comments:

Post a Comment