“Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda, wa ni’mata, laka wal mulk, la syarikalak” (Kami datang menyahut panggilanMu, ya Allah, kami datang menyahut panggilanMu. Kami datang memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagiMu. Kami datang menyahut seruanMu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu). Inilah seruan yang dikumandangkan oleh seluruh jemaah haji. Seruan yang diajarkan ole h Rasulullah saw yang merupakan ikrar bagi kaum Muslimin untuk datang memenuhi panggilan Allah dan menerima serta menjalankan perintahNya, tanpa menyimpang sedikitpun dari apa yang Allah telah tetapkan.
Pada tanggal 9 Zulhijjah, semua bakal haji akan diwajibkan hadir ke padang ‘Arafah untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan satu daripada rukun haji. Tidak ada perbezaan di antara yang berkulit putih mahupun hitam, yang kaya dan yang miskin, pemerintah ataupun rakyat – semuanya dibaluti dengan kain putih tidak berjahit dan berada di tengah padang pasir, mengharap pahala dan keredhaan dari Maha Pencipta. Selain itu, ibadah haji juga mengajar kita untuk menanggalkan semua ikatan Jahiliyyah samada berupa ikatan kaum, keturunan, bangsa, negara dan lain-lain ikatan kekufuran. Yang ada dalam setiap fikiran jemaah haji adalah ikatan Lailaha illallah Muhammad Rasulullah. Ini bermakna manusia itu adalah sama di sisiAllah, kecuali ketaqwaan yang membezakan mereka.
Yang Menyedihkan Boleh dikatakan keseluruhan mereka yang berangkat menunaikan haji tentunya merasa gembira kerana dapat melengkapkan rukun Islam yang kelima. Tetapi pada masa yang sama, ada banyak perkara lain yang menyedihkan kita. Ramai yang menyatakan bahawa ibadah haji adalah simbol penyatuan umat Islam, kesetaraan, persaudaraan dan seumpamanya. Tetapi pada masa yang sama para ulama dan pemerintah tidak mempersatukan kita di bawah satu kepimpinan, satu negara, satu Daulah. Malah mereka yakin dan redha dalam mempertahankan sempadan ciptaan kuffar penjajah. Mereka lupa bahawa semua tanah kaum Muslimin adalah tanah kita. Rasulullah berjuang menghapuskan semua sempadan ini dan menyatukan umat Islam, sebaliknya pemimpin hari ini berjuang mempertahankan sempadan ini dan memecahbelahkan kita. Mereka menyatakan umat Islam itu bersaudara, walhal mereka menghalausaudara mereka yang masuk ke negara mereka tanpa pasport dan visa. Mereka menyatakan umat Islam wajib bersatu, tetapi mereka tidak menyatukan umat Islam di bawah Daulah Khilafah. Malah mana-mana gerakan Islam yang ingin mempersaudarakan sesama Islam, menghapuskan segala sempadan dan menyatukan umat Islam di bawah satu kempimpinan dan pemerintahan, telah dipersalahkan. Kita juga amat sedih melihat sesetengah umat Islam yang salah faham tentang konsep ibadah haji. Mereka menganggap Mekah sebagai satu tempat untuk ‘confession’ (pengakuan salah) dan sebagai tempat ‘pembersihan’ dosa. Sebelum ke Mekah, mereka hidup tanpa mempertimbangkan halal dan haram, dosa dan pahala, syurga atau neraka. Mereka tidak menghiraukan semua ini dengan alasan suatu hari nanti mereka akan ke Mekah untuk ‘membersihkan’ diri mereka. Kita kesal apabila ada di kalangan umat Islam yang berfikir sebagaimana Kristian yang menganggap dirinya telah ‘bersih’ setelah melakukan satu ‘confession’ di tempat ibadat mereka. Ada segelintir umat Islam menganggap 6 haji adalah episod akhir di dalam ibadah. Kita harus sedar bahawa menunaikan haji bukanlah perkara terakhir yang diperintahkan oleh Allah kepada kita. Banyak lagi perintah dan laranganNya yang wajib dilakukan samada sebelum atau sesudah menunaikan haji. Dakwah contohnya, merupakan sebuah perjuangan yang wajib dilakukan oleh setiap kaum Muslimin hingga ke akhir hayat. Menegakkan Khilafah adalah kewajipan yang tidak akan berkesudahan sehinggalah dilantiknya seorang Khalifah bagi umat ini dan banyak lagi kewajipan-kewajipan lain yang hukumnya kekal hingga Kiamat. Kita yakin bahawa setiap jemaah haji tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan sebanyak-banyak ibadah semasa mereka berada di Tanah Suci sama ada ibadah wajib mahupun sunat. Mereka juga tentu mengambil kesempatan untuk bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa mereka. Tetapi, ada sebahagian antara mereka yang telah kembali dari haji tetapi tetap melakukan dosa-dosa besar. Berapa ramai yang terlibat dengan amalan riba walhal mereka adalah golongan yang bertaubat dan menangis di hadapan Ka’abah semasa haji. Berapa ramai yang masih terlibat dengan rasuah, walhal mereka berzikir siang dan malam di Arafah. Berapa ramai yang memegang kekuasaan tetapi menyalahgunakan kuasa dan masih terus mempertahankan undang-undang kufur, sistem kufur serta membuat undang-undang sendiri yang bertentangan dengan undang-undang Allah serta lain-lain dosa dan keharaman walhal mereka memohon keampunan kepada Allah semasa tawaf. Ya Allah, Engkaulah yang Maha Tahu akan hakikat haji mereka!
Berkorban Dalam Menunaikan Kewajipan
Ibadah haji mengajar kita erti pengorbanan karena pada hari ini umat Islam disyariatkan oleh Allah untuk menyembelih haiwan kurban. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya Kami telah memberi kamu nikmat yang banyak. Karena itu, dirikan solat karena Tuhanmu, dan berkorbanlah”. [TMQ al-Kautsar (108):1-2]. Kita juga dituntut untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Kedua-duanya telah melakukan satu pengorbanan yang besar di dalam keadaan tunduk patuh kepada perintah Allah. Setiap jemaah haji sebenarnya banyak berkorban samada sebelum atau semasa menunaikan rukun Islam kelima ini. Umat Islam berkorban di dalam usaha menggenapkan belanja (wang), membayar segala hutang, berpisah dengan keluarga dan sanak saudara, masa, pekerjaan dan sebagainya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah. Para jemaah juga sanggup berkorban di dalam melakukan rukun haji itu sendiri dalam keadaan yang penuh sesak, berebut-rebut, berhimpit-himpit, cuaca yang panas di siang hari, sejuk pada malamnya, pelbagai penyakit yang melanda dan lain-lain kesukaran lagi. Inilah sedikit dari pengorbanan yang setiap orang akan lalui dengan penuh redha. Tidak seorang pun yang akan mempertikai akan kewajipan dan amalan-amalan yang wajibkan di dalam ibadah haji ini walaubagaimana sukar sekalipun.
Alangkah mulianya umat Islam jika mereka juga turut redha di dalam melakukan kewajipan-kewajipan yang lain. Sungguh mulia umat Islam apabila mereka redha dan bersungguh-sungguh meninggalkan riba walaupun terpaksa menyewa rumah dan memiliki kereta buruk. Alangkah mulianya umat Islam apabila mereka bersungguh-sungguh berdakwah di jalan Allah untuk menegakkan deen ini walaupun terpaksa berkorban wang ringgit, masa, status sosial, kedudukan, pekerjaan, menghadapi celaan, berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan pelbagai ujian lain lagi. Alangkah mulianya jika umat Islam redha sepenuhnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Khilafah, tanpa memperhitungkan segala halangan dan rintangan yang mendatang.
Alangkah mulianya jika umat Islam tidak pernah memberi apa-apa alasan di dalam menunaikan segala kewajipan yang Allah telah tetapkan! Wahai kaum Muslimin!Kenapakah kalian sanggup berkorban di dalam melakukan ibadah haji tanpa sedikit pun memberi alasan kepada Allah akan kelemahan dan kekurangan kalian? Kenapakah kalian tidak redha sepenuhnya kepada Allah di dalam kewajipan-kewajipan lain, sebagaimana redhanya kalian di dalam kewajipan haji? Di manakah pengorbanan kalian di dalam berdakwah ke jalan Allah? Di manakah pengorbanan kalian di dalam menegakkan deenullah? Demi Allah, di saat ini kami hanya mampu bertanya dan mengajukan persoalan agar kalian tidak lupa dan tidak lalai. Namun di saat Izrael datang menjemput kalian, milik Allahlah segala soalan-soalan ini dan hanya kepadaNyalah kalian perlu menjawab!
Haji – Politik Dan Penyatuan
Di dalam perjalanan dakwah Rasulullah semasa ke Mekah, baginda telah menjadikan musim haji sebagai waktu dakwah untuk menjalin hubungandengan rombongan haji dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Bermula tahun ke-10 kenabian, Rasulullah mendatangi para pemimpin kabilah pada musim haji untuk menawarkan Islam dan meminta nusrah (pertolongan) dari mereka. Ibn Hisyam meriwayatkan bahawa tidak satu pun dari mereka yang menyambut seruan Rasul itu sehinggalah ke musim haji tahun ke-11 kenabian, di mana datang 6 orang pemimpin suku Khazraj dari Madinah yang menyambut seruan beliau. Lalu mereka kembali ke Madinah dan mendakwahkan Islam di sana. Saat musim haji tahun berikutnya, seramai 12 orang dari kalangan para pemimpin Madinah datang menemui Rasul dan melaksanakan Bai’at Aqabah I. Kemudian pada musim haji tahun ke-13 kenabian, seramai 75 orang wakil penduduk Madinah, menemui Rasul dan membai’at beliau dalam Bai’at Aqabah II. Bai’at ini merupakan akad penyerahan kekuasaan kepada Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan merupakan akad penegakan Daulah Islam di Madinah. Pada tahun ke-6 Hijriah, yakni pada fasa dakwah di Madinah, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menjadikan momentum ibadah haji sebagai usaha untuk mengukuhkan dakwah Islam di Jazirah Arab. Saat itu dengan strategi hendak menunaikan ibadah haji, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berhasil mencipta satu atmosfera dakwah Islam di Jazirah Arab. Dengan strategi itu pulalah, termeterinya Perjanjian Hudaibiyah, yang seterusnya menjadi jalan kepada penyebarluasan dakwah Islam di Jazirah Arab. Perjanjian Hudaibiyah jugalah yang kemudiannya menjadi pembuka jalan bagi penaklukan Mekah (Fathu Makkah). Akhirnya, Mekah berjaya dibebaskan dari cengkaman sistem dan aturan kufur, dan kemudian diganti dengan sistem dan aturan Islam. Mekah akhirnya berubah dari Dârul Kufur menjadi Dârul Islâm.
Hubungan siyasah (politik) dengan ibadah haji juga jelas dapat dilihat ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat Abu Bakar untuk mengetuai rombongan ibadah haji kaum Muslimin pada tahun ke-9 Hijriah. Setelah keberangkatan Abu Bakar, turunlah surah at-Taubah tentang pembatalan perjanjian yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dengan kaum Musyrikin. Seseorang kemudian mencadangkan kepada Rasulullah agar surah itu dikirimkan kepada Abu Bakar. Lalu, Rasulullah mengutuskan Ali karramallhu wajhah untuk menyusul serta membacakan surah at-Taubah ketika kaum Muslimin yang berkumpul pada hari Kurban di Mina. Ali kemudian bertemu dengan rombongan Abu Bakar dan beliau menyampaikan kepada kaum Muslimin apa yang diperintahkan Rasul kepadanya, dia berucap “Hai manusia, sesungguhnya orang kafir tidak akan masuk syurga, orang musyrik tidak boleh melakukan haji setelah tahun ini (9H), orang telanjang tidak boleh melakukan tawaf di Baitullah, siapa sahaja yang mempunyai perjanjian dengan Rasulullah, maka perjanjian tersebut berlaku hingga waktunya…..” [Sirah Ibnu Hisham].
Para Khalifah juga sentiasa meletakkan urusan ibadah haji sebagai perhatian utama mereka. Mereka menggunakan musim haji untuk menjaga urusan kaum Muslimin. Di dalam kitab ‘Tarikh al-Khulafa, Imam As-Suyuti banyak menceritakan perkara seperti ini. Di antaranya kisah Mu’awiyah Bin Abu Sufyan yang menggunakan masa ibadah haji untuk mendapatkan bai’at kaum muslimin untuk anaknya, Yazid. Dia berucap untuk mengingatkan ketidakbolehan kaum muslimin tidak mempunyai Khalifah walaupun satu malam dan supaya menjaga kesatuan umat. Lalu Ibnu Umar menjawab setelah memuji Allah, “Para Khalifah sebelum kamu, mereka mempunyai putera, dan putera kamu tidaklah lebih baik daripada putera-putera mereka. Mereka tidak berpendapat untuk putera mereka seperti apa yang aku lihat pada putera kamu (iaitu mereka tidak meminta untuk membai’at putera mereka). Mereka memutuskan apa yang terbaik untuk kaum muslimin. Engkau memperingatkan aku supaya tidak memecah-belahkan kesatuan kaum muslimin dan aku tidak melakukannya. Aku hanyalah seorang di antara kaum muslimin. Jika mereka setuju, aku hanyalah salah seorang di antara mereka. Semoga Allah mengampuni kamu”. Setelah berucap, Ibnu Umar lalu pergi meninggalkannya.
Apa yang jelas dari peristiwa ini adalah amalan siyasah(politik) yang berlaku pada saat ibadah haji. Ibnu Umar yang tidak memisahkan siyasah ketika ibadah haji ternyata menggunakan kesempatan haji untuk menilai, menasihati dan memuhasabah pemimpin. Inilah bentuk aktiviti siyasah di dalam Islam. Segala peristiwa ini ada kaitannya dengan politik.
Sejarah ibadah haji telah menjadi bukti yang nyata kepada kita bahawa Rasulullah dan para sahabat telah mempersatukan kaum Muslimin di bawah satu kesatuan. Perbezaan suku, bangsa, keturunan, bahasa, status sosial, dan latar belakang budaya terbukti tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk bersatu di dalam menyahut perintah Allah ini. Inilah hakikat yang menunjukkan bahawa umat Islam akan dapat bersatu semula di bawah satu payung pemerintahan apabila tujuan dan matlamat mereka sama, yakni untuk menegakkan syariat Allah dengan melantik seorang pemimpin yang akan melaksanakan pemerintahan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Khatimah Wahai kaum Muslimin! Ibadah haji sepatutnya menimbulkan kesedaran bahawa tuhan kita satu, agama kita satu dan kiblat kita juga satu. Umat Islam berkumpul semata-mata kerana seruan Allah. Semoga dengan ibadah Haji kali ini, umat Islam mendapat berkat terutamanya para jemaah haji. Semakin bertambah ketaatan kaum Muslimin kepada Allah, semakin bersemangat untuk mereka menerapkan syariat Islam, sedia berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasul-Nya. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada kesatuan umat dalam satu kepimpinan, iaitu Khilafah. Allah Subhanuhu wa taala berfirman: “Berpeganglah kalian semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kalian bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (pada masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, lalu kalian dengan nikmat Allah itu menjadi bersaudara…..” [TMQ Ali-Imran (3):103]. WaLlâhu a’lam
(sumber: blogger)
No comments:
Post a Comment