Tips Melancong Di Musim Hujan

As Salam kenalan/sahabat. Sudah hampir ke penghujung tahun; agenda pelbagai menanti semua (cuti sekolah /majlis perkahwinan /cuti-cuti Malaysia). Yang pastinya membangkitkan keterujaan untuk keluar bercuti (termasuklah saya..hehe). Pengalaman cuti Krismas tahun lepas di Gambang Waterpark dan Kuantan ditenggelami air membuatkan saya dan keluarga serik untuk bercuti panjang di sebelah timur Malaysia. Macam lagu Gun's N Roses ~ November Rain. Taburan air hujan yang lebih banyak dan kadang-kadang luar biasa menyekat pergerakan dan perancangan untuk kita pergi bercuti. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kalau dah plan, pastikan menjadi ya! Tetapi kita harus ingat; dengan izin Allah SWT in shaa Allah segala yang dirancang menjadi kenyataan. Saya mendapat tips dari pembacaan myMetro hari ini. Jom kita lihat tips penulis. Senyum selalu~~!

Menyaksikan titisan air hujan dari tingkap kereta, dalam penerbangan, bas, hotel atau di mana saja antara pengalaman paling menarik ketika hari hujan.

Si kecil pula pastinya akan meloncat keriangan saat diberi peluang bermain di taman ketika hujan sedang membasahi bumi. Melihat keseronokan, kegembiraan dan keterujaan anak berlari riang bermain hujan sememangnya cukup membahagiakan.
Musim hujan bukanlah alasan untuk anda tidak membawa anak berjalan atau mungkin membatalkan percutian yang sekian lama dirancang. 

Alasan risaukan kesihatan anak kini bagaikan tidak sesuai digunakan bagi membatalkan atau menunda percutian bersama ke destinasi kegemaran mereka.

Ini kerana, walaupun musim hujan dan cuaca yang sejuk, banyak faktor boleh dititikberatkan supaya segala hal merisaukan bertukar kepada keseronokan, sekali gus menjadi detik terindah buat anda sekeluarga.
Dengan perancangan yang teliti, pilihan destinasi sesuai dengan keadaan cuaca serta aktiviti dirancang, bercuti ketika musim hujan adalah sesuatu yang menyeronokkan. 


Secara tidak langsung, anda juga berpeluang menikmati pengalaman baru dan melihat aktiviti ma­syarakat tempatan di lokasi percutian saat musim hujan.
Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu anda merancang atau akan bercuti ketika musim hujan.

1) buat perancangan awal. Dengan perancangan awal, anda sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika musim hujan.

Anda juga boleh menyediakan beberapa alternatif lain saat hujan lebat dengan menyediakan permainan di bilik penginapan supaya anak tidak merasa bosan sementara menunggu hujan reda.

2) dalam melakukan perancangan bercuti di musim hujan, adalah lebih baik anda babitkan anak, kecuali ia adalah percutian kejutan buat mereka.

Dengan membabitkan mereka dalam merancang percutian, mereka akan ­berasa lebih dihargai. Selain itu, ia juga merangsang ­mereka untuk lebih kreatif dan peka terhadap percutian di musim hujan yang ­memerlukan perhatian khusus.

Pembabitan si anak dalam perancangan percutian dengan cuaca basah juga akan membuatkan mereka sentiasa bersedia dengan pelbagai perkara terutama ketika sesuatu rancangan itu terpaksa dibatalkan.

Dengan itu, mereka tidak akan berasa kecewa jika apa yang dirancang itu terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

3) siapkan keleng­kapan secukupnya. Dengan cuaca yang agak basah kerana hujan, menyediakan semua kelengkapan mengenainya sangat dituntut.

Ini termasuk membawa pakaian sesuai, jaket, payung dan kasut kalis air bagi semua anggota terutama si kecil. Sesetengah orang ­berpendapat membawa payung tidak praktikal, tetapi ada pula yang membawanya kerana mereka lebih selesa menggunakannya ketika hujan.

Jika anda tidak mahu membawa payung, pastikan jaket yang dipakai bersesuaian dengan musim berkenaan atau mungkin anda boleh membawa baju hujan pakai buang yang lebih ri­ngan setiap kali berjalan.

4) bagi anda yang ingin mengikuti pakej bersama agensi pelancongan, pilih pakej pelancongan bersesuaian dengan keadaan anda sekeluarga.

Memilih pakej ditawarkan agensi pelanco­ngan adalah alternatif menarik di musim hujan. Ini kerana dengan mengikuti rombongan, pelancong akan menaiki bas persiaran disediakan.

Oleh itu, anda tidak perlu bertukar-tukar kenderaan dan berisiko terkena hujan ketika mengunjungi tempat menarik.

5) pemilihan tempat yang betul. Sebelum pergi bercuti, pastikan anda sudah memilih tempat menarik yang akan dikunju­ngi.

Namun, pastikan lokasi yang akan dilawati itu mudah kemudahan awamnya. Dengan itu, anda sekeluarga tidak terlalu lama berjalan dan mengambil risiko kehujanan di jalan.

6) membawa ubatan bersesuaian. Bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika melancong di musim hujan ini, bawalah ubat bersesuaian untuk kegunaan anda sekeluarga terutama si anak.

Ubat selesema dan batuk adalah satu keutamaan kerana penyakit itu senang menyerang di musim hujan.

7) bercuti bersama keluarga dengan lebih tenang dan santai. Walaupun musim hujan, jangan tertekan atau kecewa dengan keadaan.

Percutian adalah saat yang menyenangkan dan masa cukup berkualiti dihabiskan bersama anak dengan keseronokan.

Oleh itu, nikmatilah saat indah bercuti bersama anak yang memangnya menjanjikan kenangan terindah buat anda sekeluarga. 


Selamat berbercuti!

[sumber:hmetro.com.my ~ Suliati Asri]

No comments:

Post a Comment