“Sahabat-sahabat Ansar mengutamakan kawan-kawannya (sahabat-sahabat Muhajirin) atas diri mereka sendiri, walaupun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu).” – Al-Hasyr 59
Pernah kita mendengar pepatah Arab menyatakan seseorang yang tidak mempunyai sesuatu tidak mampu untuk memberikan sesuatu. Untuk memberi, seseorang itu perlu untuk memiliki sesuatu. Seseorang yang tidak mempunyai pekerti yang mulia tidak mungkin mampu untuk berkongsi kebaikan dari pekerti mulia itu dengan orang lain. Begitu jugalah seseorang yang tidak mempunyai sesuatu barang, wang, ilmu dan sebagainya tidak mungkin dapat berkongsi dan memberi manfaat daripada apa yang dimilikinya.
Maka, konsep pemilikan adalah konsep yang sangat penting dalam deen kita. Persoalannya, adakah kita memiliki sesuatu? Di sana terdapat dua jawapan. Ada yang menyatakan pada dasarnya kita tidak mempunyai apa-apa dan kita diberi atau berusaha untuk memiliki sesuatu. Ada juga menyatakan kita memiliki sesuatu tetapi kemungkinan kita tidak sedar yang kita sebenarnya memiliki sesuatu. Kedua-dua jawapan ini benar.
Insan pada dasarnya tidak memiliki apa-apa tetapi dipinjamkan oleh Allah SWT. Pemberian ini wujud dalam segenap aspek hidup , hanya tinggal sama ada kita sedar atau tidak sedar. Selalu kita mendengar hadith Nabi saw, annasu kal ma’adin yang bermaksud insan ini ibarat galian logam, dan logam ini ibarat az-zahabi wal fiddah, yakni seperti emas dan perak. Orang-orang yang baik / mempunyai potensi dalam kehidupan jahiliyyah akan mempunyai potensi yang terus bergemerlapan dalam deen kita sekiranya adanya kefahaman. Konsep pemilikan dan nilai dalam diri insan berkait rapat dengan persoalan kesedaran dan kefahaman yang wujud.
Di sinilah titik tolak manfaat. Sebagai masyarakat, kita sebenarnya memiliki nilai, potensi yang sungguh mahal, hanya menunggu digali dan dicungkil. Namun, nilai sebuah potensi tidak mungkin wujud sekiranya hilangnya keupayaan untuk memberi manfaat kepada persekitaran. Ini bermakna untuk memberi, seseorang perlu memiliki dan memiliki bererti menggilap potensi, mempunyai kesedaran dan kefahaman supaya apa yang dimiliki adalah sesuatu yang bermanfaat untuk dikongsi dengan ahli masyarakat juga persekitaran.
Mari kita kembali kepada pepatah Arab tadi yang menceritakan bagaimana pentingnya konsep pemilikan dalam usaha memberi sesuatu. Walaupun ini benar, ada sesuatu yang lopong di sini. Ramai dalam ahli masyarakat pada hari ini kaya-raya, berpangkat, berkedudukan namun tidak pernah dalam sejarah kemanusiaan bahawa ini semua menjadi indikator kepada perkongsian dan pemberian manfaat kepada mereka yang memerlukan. Berapa banyak negara-negara Arab yang kaya tetapi masih melihat negara-negara Muslim yang bukan Arab miskin, juga compang-camping kekuatan ekonominya. Dari konteks sesebuah negara, berapa banyak pemimpin negara yang kaya meliana tetapi membiarkan rakyat miskin dan tanpa makanan. Ada satu nilai yang sering dilupakan yang sebenarnya memberi makna kepada manfaat kepada orang lain. Ia adalah nilai yang digambarkan oleh Allah SWT seperti yang tersebut di atas, yaknilah “mereka mengutamakan sahabat-sahabat mereka atas diri mereka sendiri” dan ditambah dengan sesuatu yang sangat mendalam yaknilah “ walaupun mereka memerlukan apa yang mereka berikan itu”.
Mudah untuk memberi apa yang menjadi lebihan dalam kehidupan, tetapi tidak mudah untuk memberi apa yang menjadi keperluan dalam kehidupan. Inilah rahsia dan tujahan kepada konsep bermanfaat kepada orang lain. Kita perlu berusaha untuk memberi dengan pemberian yang paling baik, memberi manfaat dalam banyak keadaan bermakna mengorbankan kepentingan diri. Sekiranya masyarakat Muslim kembali kepada kualiti masyarakat Ansar, meninggalkan kualiti hidup narcissistic kepada kualiti hidup mengutamakan mereka yang lain,maka kita akan lihat banyak transformasi dan reformasi ummat bagi memimpin kembali dunia ini dengan nilai-nilai rabbani.
Marilah kita sama-sama melihat kekurangan dalam diri sendiri, menggilap dan memperkaya potensi juga melihat kebaikan dalam diri yang lain supaya nilai memberi manfaat kepada orang lain dapat diterjemahkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim..insyaAllah
Wallahualam.
(sumber: duniadeen.com)
Kehidupan Bermanfaat Kepada Insan Lain
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment