Dahulu dan Sekarang

Aku yang dulu bukanlah yang sekarang...
(lagu Tegar bermain-main di mindaku)
Pasti ramai yang bercakap, apatah lagi yang membicarakan tentang kehidupan ku masa lalu dan sekarang. Mereka yang rapat dan mengenaliku suatu ketika dahulu pasti tersenyum; ada juga yang memanjat syukur. Perubahan ini bukanlah mendadak, tetapi hampir 4 tahun kebelakangan ini aku lebih ke arah kebaikan. Terkesan dengan pemergian Daddy tersayang; buat aku berubah agar kehidupan di alam barzakh beliau tidak dipersalahkan. Aku selalu memunajatkan doa kepada Allah agar jangan dipersalahkan ayahku atas kesilapan dan apa jua kejahatan yang pernah ku lakukan. Sesungguhnya daddy adalah seorang abah yang baik. Memenuhi kehendakku aku agar aku mendapat pendidikan yang cukup sempurna mungkin. Cuma perangai huduh remaja memberontak buat aku jauh lain daripada 2 adik beradik perempuanku. Walaupun kami lahir dalam satu rahim ibu yang sama, tapi diri ini berbeza. Jangan diungkit lagi kisah lampau diriku. Aku yang dahulu sangat berbeza dari sekarang. Berusaha ke arah kebaikan dan memperbaiki perangai serta kehidupan muslimahku. Semoga aku tetap istiqomah dalam mujahadah memerangi hawa nasfuku sendiri; inshaaAllah.
Marilah kita sama-sama menjadikan Ramadan tahun ini merupakan yang terakhir dalam diri kita supaya kita lebih bersungguh-sungguh dan menginsafi diri. Ya Allah ya Tuhanku; panjangkanlah umurku dan jadikanlah Ramadan tahun ini yang terbaik buat diriku..amin ya robb..
~nukilan jiwa; ikhlas dari ♥

Apa itu bahagia?

Tawakkal hanya pada-MU

Hanya Allah sahaja yang tahu...
Aku menerimanya hanya kerana-Mu
Tetapkan hatinya dan hatiku
Semoga kasih sayang ini akan kekal hingga ke peringkat  seterusnya...
Bantulah kami ya Allah..
amin ya robb
~nukilan jiwa; ikhlas dari ♥

Ciri-ciri Lelaki Pilihan "Mr. Right"

Pemilihan seorang wanita bagi mencari bakal suami yang memiliki ciri-ciri calon pilihan suami yang baik menurut Islam adalah sukar sebenarnya. Memang benar bahawa jodoh dan pertemuan itu takdir dan ketentuan Allah سبحانه وتعالى. Namun ketentuan ini tidak menafikan usaha dan ikhtiar. Syaidatina Aisyah r.ha. berkata, “Pernikahan hakikatnya adalah penghambaan, maka hendaknya dia melihat dimanakah kehormatannya akan diletakkan."

Berikut adalah ciri-ciri calon pilihan suami yang baik menurut Islam: 

1. Berkemampuan 
Lelaki yang berkemampuan sebagaimana hadis Rasulullah Riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah :“Wahai permuda-pemuda; sesiapa di antara kamu bernikah, maka hendaklah ia bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu.” Mampu yang dimaksudkan, berupaya menyediakan tempat tinggal, saraan hidup yang kebiasaan, serta pakaian untuk menutup aurat. Seperti memberi makan dengan apa yang dia (suami) sendiri makan, memberi pakaian dengan apa yang dia sendiri pakai. Bukan bermaksud memberi pakaian lelaki kepada isterinya, tetapi taraf kualiti sesuatu itu, yang diperuntukkan untuk dirinya, itulah yang diperuntukkan untuk isterinya juga. Maknanya lelaki yang bertanggung jawab. Perkara-perkara ini wajib dilaksanakan suami dan kegagalan menyempurnakannya boleh mendatangkan kesan buruk dan mudah berlaku perceraian..

2. Tidak Dayus 
Lelaki yang sanggup menjadi pembela pasangannya. Boleh dijadikan sebagai ganti ayah bonda. Sanggup melindungi perempuan daripada segala bahaya dan kecelakaan yang menimpa kerana apabila seorang wanita rela dinikahi dan menjadi isterinya, bererti ia rela melepaskan dirinya daripada ayah bonda yang selama ini menjadi tempat pergantungan hidup. Kini berpindah kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya..

3. Baik Pandai menjaga darjat diri dan menepati janji, apabila berkata dikota dan diamalkan.
Selain daripada itu suami yang baik akan sentiasa mengajak isteri ke arah kebaikan, menjauhkan yang mungkar dan mendahului perbuatan itu..

4. Tidak Membebankan 
Berkebolehan di dalam urusan rumahtangga. Kebolehan memasak, menjahit juga membasuh akan membantu kerana lelaki yang biasa membuat kerja begini, tidak akan membebankan isterinya membuat kerja rumah sekiranya isteri tiada kemampuan. Bukan dari jenis lelaki yang tidak bertimbang rasa, yang sentiasa memerintahkan isterinya itu dan ini tanpa mengira isterinya sakit atau kepenatan. Kelebihan ini juga bukan jalan kepada pihak isteri untuk mengambil kesempatan dan mesambil lewakan layanannya kepada suami..

5. Mempercayai Isteri Mempunyai penuh kepercayaan kepada perempuan dan tidak mudah bersikap ‘suuzon’ iaitu tidak bersangka buruk terhadap isteri. Biasanya apabila suami bertugas mencari nafkah maka isteri akan menjaga segala amanah harta dan anak di rumah. Sekiranya suami tidak mempunyai kepercayaan kepada isteri, ini bererti suami akan sentiasa menyangka buruk. Si isteri pula janganlah memusnahkan amanah dan kepercayaan yang diberi..

6. Bertanggungjawab Rajin, berpemikiran luas dan tidak memakan harta perempuan.
Lelaki begini adalah ciri-ciri lelaki yang tidak pemalas, inginkan kemajuan serta tidak mengharapkan titik peluh isteri. Mungkinlah pendapat ‘memakan harta perempuan’ di sini adalah sepertinya seorang suami yang tidak melakukan apa-apa dengan bersenang-senangan semata-mata. Dan menghabiskan harta isterinya dalam jalan mungkar, syahwat dan sia-sia pula. Allah سبحانه وتعالى sangat tidak menyukai manusia yang hanya bertawakal dan menyerah diri tanpa usaha sedangkan kejayaan dicapai melalui usaha yang semaksima mungkin. Namun begitu suami boleh menggunakan harta si isteri dengan kerelaannya bukan berdasarkan niat mengambil kesempatan.
Dan seperti yang kita ketahui juga Khadhijah r.ha. telah menghabiskan hartanya demi membantu suaminya (Rasulullah) dalam menegakkan agama suci, Islam. Khadijah r.ha. diriwayatkan telah membuka isi hati kepada suaminya dengan ucapan: “Wahai Al-Amiin, bergembiralah! Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak maupun yang tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah, barang-barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Kamu bebas membelanjakannya ke jalan mana yang kamu redhoi!” Dan sebagaimana Firman Allah yg bermaksud:“Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan.”(Surah Adh-Dhuhaa: Ayat 8).

7. Mudah Memaafkan Sifat mudah memaafkan ini adalah sebahagian daripada sifat terpuji Rasulullah ketika menegakkan agama Islam. Oleh itu suami bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak..

8. Berketurunan Baik Dan Rajin Beribadah 
Datang daripada keturunan orang yang baik-baik lagi rajin beribadah. Mempunyai akhlak dan budi bahasa mulia serta sangat menghormati orang tua, berpegangan agama lagi rajin beribadah dan tidak berpenyakit keturunan seperti gila atau penyakit merbahaya yang boleh membawa kepada kesengsaraan hidup..

Apa yang lebih utama dari segala huraian di atas ialah Agamanya. Pilihlah yang beragama dan teguh dengan pegangan Islam ini. Tidak mengapa jika calon suami itu terkurang sedikit dari segi keduniaannya, tetapi lebih dari segi agamanya. Firman Allah yg bermaksud: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Bahawasanya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujuraat 49: Ayat 13) 
Syarat bagi seorang lelaki untuk masuk syurga menjadi anak yang soleh kepada ibu bapanya manakala syarat bagi wanita pula menjadi isteri yang solehah kepada suaminya yang akan membawanya ke syurga kelak. Inilah ciri terpenting dalam memilih calon suami yang beriman sebagai ketua dan pemimpin dalam  mendidik isterinya dan seterusnya mentarbiyahkan anak mengikut lunas-lunas syarak..
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

(sumber: blogger)

Sepi Itu Indah

Kehidupan berseorangan di muka bumi ini pastinya indah jika kita senantiasa memenuhi ruang masa dengan sesuatu yang berfaedah. Selain beribadah dan bertaubat kepada Allah SWT, hargailah mereka-mereka di sekeliling kita (keluarga dan rakan-rakan) melakukan tugas seharian sebaik mungkin. Kekuatan iman dan ajaran agama islam perlulah seiring agar dapat melayakkan kita di dalam syurga Allah kelak..inshaaAllah.
Andai Allah belum ketemukan jodoh kita dengan seseorang; sentiasalah berdoa agar hadirnya seseorang itu nanti pastinya bakal membimbing kita ke arah kebaikan dan sama-sama menuju kebahgiaan dengan redha Allah hingga akhirat kelak. Semoga Allah tautkan hati, cinta dan kasih sayang dengan pasangan masing-masing; membina keluarga dan mendidik anak-anak yang soleh dan solehah..inshaaAllah.
Sabar dan sentiasa yakin dengan rahmat Allah.
~nukilan jiwa; ikhlas dari ♥

Kasih Ibu Membawa ke Syurga; Kasih Ayah Berkorban Nyawa

Kewujudan kita hari ini sesungguhnya satu nikmat yang amat besar dari Allah swt. Melalui dua orang insan mulia, satu ketika dahulu kitalah yang menjadi ‘sang juara’ mengatasi ribuan yang lain dalam sebuah perjuangan demi sebuah kehidupan. Tanpa mereka, siapalah kita..? Tanpa mereka,akan lahirkah kita melihat dunia hari ini..?AYAH dan IBU... BAPA dan EMAK...ABI dan UMMI.. Ya,merekalah dua orang insan yang mulia itu. Bertuahnya kita kerana dikurniakan mereka yang mana sejak lahir hinggalah ke saat ini, merekalah insan yang benar-benar menyayangi kita tanpa memperoleh sebarang balasan pun. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah, penghargaan dan sebagainya mereka dengan ikhlasnya menjaga dan membesarkan kita dengan penuh susah dan kepayahan.Dan bukan cuma seorang! Tetapi berlima,berenam malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain.

Lihatlah garis-garis halus dan kedutan di wajah ayah dan ibu..Satu ketika dahulu,wajah yang tampan dan cantik itu kini berubah dek kerana usia yang kian dimamah waktu. Segala kekerutan di wajah mereka, segala kebimbangan mereka, tidak lain hanyalah kerana risau memikirkan hidup anak-anaknya.Lihatlah pula rambut mereka yang dahulunya hitam kini berubah putih beruban. Ayah dan ibu pernah tidak mempedulikan diri mereka sendiri lantaran memikirkan untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Bagi mereka, biar susah. Biar payah. Yang penting, anak-anak membesar bahagia tanpa merasa ada kukurangan sedikit pun berbanding insan lain.  Tanpa memikirkan kelelahan yang terpaksa dihadapi, ayah gigih dan tabah keluar berkerja saban hari untuk mencari rezeki buat keluarganya. Tidak cukup sekadar itu, ibu juga turut membantu ayah untuk meringankan beban yang ditanggungnya sendiri. Ya Allah..betapa besarnya pengorbanan insan ini.
Sejak hari pertama kita lahir, hidup mereka seolah-olah sudah pasti akan dikorbankan demi kesejahteraan insan yang bernama anak-anak. Dengan belaian kasih sayang, sentuhan manja, keprihatinan, kerisauan mereka..semua itu pernah membuatkan kita merasa sangat bahagia kerna disayangi dan sentiasa berasa selamat lantaran ada yang menjaga dan melindungi kita.
Namun, tatkala usia si anak semakin menganjak dewasa, kita mula terlupa akan mereka. Kita terlupa betapa satu ketika dahulu, mereka sangat menyayangi kita lebih dari nyawa mereka sendiri. Hari ini.. kasih sayang,keprihatinan dan kerisauan mereka terhadap kita membuatkan kita merasa bahawa hidup kita dikongkong dan disekat! Kita merasa bahawa dalam banyak hal kitalah yang benar, dan mereka hanyalah insan tua yang tidak tahu apa! Seandainya inilah yang berlaku, bayangkanlah perasaan mereka yang dulu pernah memanjai dan mendidik kita bagai menatang minyak yang penuh.
Wahai anak, sedarlah! Insafilah..bahawa merekalah insan yang paling layak untuk kita patuhi dan sayangi selepas taat kita kepada Sang Khaliq. Kerana itulah, kita dapat lihat betapa Allah swt telah menyebut berulang kali, bahawa selepas ketaatan kita dipersembahkan kepada Allah swt,maka ayah dan ibulah yang keduanya.Allah swt berfirman yang mafhumnya:(Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa) An Nisa:36
(Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia) Al Isra’: 23
Hadith peninggalan Rasulullah saw juga banyak sekali menyebut tentang keutamaan untuk kita berbuat baik kepada ayah dan ibu selepas ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya. Di samping itu, Rasulullah saw juga ada mengingatkan tentang balasan buruk apabila kita menderhaka dan menyakiti mereka.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:(Wahai Rasulullah, Siapakah orang yang paling berhak aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.”Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.wmenjawab: “ Ayahmu.”) HR Bukhari (Rasulullah saw bersabda, Dosa-dosa besar: Syirik terhadap Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah dengan dusta) HR Bukhari

Hari ini kita dapat lihat, bagi mereka yang mempunyai kekasih hati, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang atau terlupa. Ada masanya, kita lebih mengutamakan untuk bertanya khabar si kekasih, bertanya sakit peningnya, meminta pendapat, nasihat, doa dan sebagainya. Sedangkan kita terlupa bahawa ayah dan ibulah yang lebih berhak ke atas diri kita untuk mendahulukan mereka berbanding semua insan lain.
Ayuh, kita cakna semula diantara adab-adab yang perlu kita jaga selaku seorang anak kepada ibu bapa.Together towards anak soleh/solehah..!!
1) Hendaklah kita memuliakan mereka2) Bersalaman dan mencium tangan mereka sebagai tanda kasih dan hormat
3) Menjaga adab ketika bercakap dengan mereka
4) Menyahut panggilan mereka tanpa melengah-lengahkannya
5) Sentiasa berusaha menggembirakan mereka
6) Menjaga harta mereka
7) Tidak mencaci dan meninggikan suara terhadap mereka
8) Tidak mendahului mereka dalam segala hal
9) Tidak duduk di tempat tinggi daripada mereka
10) Sentiasa meminta izin dan pandangan mereka mengenai sesuatu hal
11) Menghormati sahabat-sahabat mereka
12) Tidak berlebih-lebih dalam memuliakan isteri (khusus bagi yang bergelar suami)
13) Memperbanyakkan doa kepada merekaWahai anak, rebutlah kesempatan yang masih Allah berikan pada kita hari ini.

Hargailah mereka, sayangi mereka dan mohonlah ampun maaf atas segala salah silap kita selama ini. Semoga dengan doa dan restu mereka, nescaya tergolonglah kita di dalam golongan insan yang berbahagia dan berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Kerna sesungguhnya, redha Allah swt itu datangnya jua daripada redha ayah dan ibu.Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).
‘Ya Allah,ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku.. Rahmatilah mereka sepertimana mereka telah mengasihiku sejak kecil..’ Amin..
(sumber: azlinahabdulghani.blogspot)

Counting Days of Ramadan

Kunci Kejayaan Muslim

Situasi A: ”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya, tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak ada” 
Situasi B: ”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.”  
Situasi C: ”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.” 

Apakah penanda aras bagi kejayaan? Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita  kata mahu jadi manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah dalam berfikir. Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang  kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui  peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah  diri. 

¤Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian. Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahuinya.” Persoalannya sudah tentu berkaitan dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)  tidak ragu-ragu lagi.”            
Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan  yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri orang yang beriman yang mesti ada pada kita.            
Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan tidak  sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.
Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman  dapat dikatakan sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar." Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, dijamin akan berjaya kerana mereka dijanjikan jalan keluar  (dari segala perkara yang menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati. (lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa akan gagal dalam kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT. 

¤Bicara tentang Ilmu Pengetahuan  
Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”  semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah lagi,  adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (berilmu)...,” Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami sesuatu perkara seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan.
Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia jdapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan, ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan menggunakan ”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109 bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan". 

¤Bicara tentang Pembersihan Jiwa 
"Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya" layakkah kita untuk berkata begitu? Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan izin Allah jika kita tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”  Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya. 
Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita, diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih seperti kain putih bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar. Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup  tidak sia-sia.  
Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa. Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu, pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa ilmu adalah kosong. 
Solusi  Menuju Kejayaan Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua kaliyang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati, bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan, kita fikir tempat kesudahan?
Kesimpulannya dari fikir dan fikir kita akan temukan jawapan,  kita ingin menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin  menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki. Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini? 

Sumber: *Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian & ditulis oleh: Ustazah Nik Norliza binti Mustapa

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan

Assalammualaikum wbt
Doa semoga semua sihat dan bahagia selalu hendaknya.18 hari lagi kita bakal menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan...inshaaAllah. Rakan-rakan Muslimah, semoga telah selesai menggantikan puasa. Marilah kita menjaga kesihatan, membersihkan rumah dan bersedia melalui bulan yang mulia ini dengan mempertingkatkan amal ibadah seharian kita. Rajin-rajinlah bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan. Saling memaafkan satu sama lain, banyakkan berdoa dan hindari perbuatan yang tidak baik dan melalaikan. Semoga kita mendapat keberkatan berlipat ganda dan sentiasa dilimpahi rahmat serta kasih sayang Allah swt  dalam kehidupan..inshaaAllah..amin ya robb.
Wallahualam.
~ nukilan jiwa; ikhlas dari ♥