Kewujudan kita hari ini sesungguhnya satu nikmat yang amat besar dari Allah swt. Melalui dua orang insan mulia, satu ketika dahulu kitalah yang menjadi ‘sang juara’ mengatasi ribuan yang lain dalam sebuah perjuangan demi sebuah kehidupan. Tanpa mereka, siapalah kita..? Tanpa mereka,akan lahirkah kita melihat dunia hari ini..?AYAH dan IBU... BAPA dan EMAK...ABI dan UMMI.. Ya,merekalah dua orang insan yang mulia itu. Bertuahnya kita kerana dikurniakan mereka yang mana sejak lahir hinggalah ke saat ini, merekalah insan yang benar-benar menyayangi kita tanpa memperoleh sebarang balasan pun. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah, penghargaan dan sebagainya mereka dengan ikhlasnya menjaga dan membesarkan kita dengan penuh susah dan kepayahan.Dan bukan cuma seorang! Tetapi berlima,berenam malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain.
Lihatlah garis-garis halus dan kedutan di wajah ayah dan ibu..Satu ketika dahulu,wajah yang tampan dan cantik itu kini berubah dek kerana usia yang kian dimamah waktu. Segala kekerutan di wajah mereka, segala kebimbangan mereka, tidak lain hanyalah kerana risau memikirkan hidup anak-anaknya.Lihatlah pula rambut mereka yang dahulunya hitam kini berubah putih beruban. Ayah dan ibu pernah tidak mempedulikan diri mereka sendiri lantaran memikirkan untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Bagi mereka, biar susah. Biar payah. Yang penting, anak-anak membesar bahagia tanpa merasa ada kukurangan sedikit pun berbanding insan lain. Tanpa memikirkan kelelahan yang terpaksa dihadapi, ayah gigih dan tabah keluar berkerja saban hari untuk mencari rezeki buat keluarganya. Tidak cukup sekadar itu, ibu juga turut membantu ayah untuk meringankan beban yang ditanggungnya sendiri. Ya Allah..betapa besarnya pengorbanan insan ini.
Sejak hari pertama kita lahir, hidup mereka seolah-olah sudah pasti akan dikorbankan demi kesejahteraan insan yang bernama anak-anak. Dengan belaian kasih sayang, sentuhan manja, keprihatinan, kerisauan mereka..semua itu pernah membuatkan kita merasa sangat bahagia kerna disayangi dan sentiasa berasa selamat lantaran ada yang menjaga dan melindungi kita.
Namun, tatkala usia si anak semakin menganjak dewasa, kita mula terlupa akan mereka. Kita terlupa betapa satu ketika dahulu, mereka sangat menyayangi kita lebih dari nyawa mereka sendiri. Hari ini.. kasih sayang,keprihatinan dan kerisauan mereka terhadap kita membuatkan kita merasa bahawa hidup kita dikongkong dan disekat! Kita merasa bahawa dalam banyak hal kitalah yang benar, dan mereka hanyalah insan tua yang tidak tahu apa! Seandainya inilah yang berlaku, bayangkanlah perasaan mereka yang dulu pernah memanjai dan mendidik kita bagai menatang minyak yang penuh.
Wahai anak, sedarlah! Insafilah..bahawa merekalah insan yang paling layak untuk kita patuhi dan sayangi selepas taat kita kepada Sang Khaliq. Kerana itulah, kita dapat lihat betapa Allah swt telah menyebut berulang kali, bahawa selepas ketaatan kita dipersembahkan kepada Allah swt,maka ayah dan ibulah yang keduanya.Allah swt berfirman yang mafhumnya:(Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa) An Nisa:36
(Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia) Al Isra’: 23
Hadith peninggalan Rasulullah saw juga banyak sekali menyebut tentang keutamaan untuk kita berbuat baik kepada ayah dan ibu selepas ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya. Di samping itu, Rasulullah saw juga ada mengingatkan tentang balasan buruk apabila kita menderhaka dan menyakiti mereka.Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:(Wahai Rasulullah, Siapakah orang yang paling berhak aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.” Lelaki itu berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.”Lelaki itu bertanya lagi: “ Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.wmenjawab: “ Ayahmu.”) HR Bukhari (Rasulullah saw bersabda, Dosa-dosa besar: Syirik terhadap Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh diri dan bersumpah dengan dusta) HR Bukhari
Hari ini kita dapat lihat, bagi mereka yang mempunyai kekasih hati, mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang atau terlupa. Ada masanya, kita lebih mengutamakan untuk bertanya khabar si kekasih, bertanya sakit peningnya, meminta pendapat, nasihat, doa dan sebagainya. Sedangkan kita terlupa bahawa ayah dan ibulah yang lebih berhak ke atas diri kita untuk mendahulukan mereka berbanding semua insan lain.
Ayuh, kita cakna semula diantara adab-adab yang perlu kita jaga selaku seorang anak kepada ibu bapa.Together towards anak soleh/solehah..!!
1) Hendaklah kita memuliakan mereka2) Bersalaman dan mencium tangan mereka sebagai tanda kasih dan hormat
3) Menjaga adab ketika bercakap dengan mereka
4) Menyahut panggilan mereka tanpa melengah-lengahkannya
5) Sentiasa berusaha menggembirakan mereka
6) Menjaga harta mereka
7) Tidak mencaci dan meninggikan suara terhadap mereka
8) Tidak mendahului mereka dalam segala hal
9) Tidak duduk di tempat tinggi daripada mereka
10) Sentiasa meminta izin dan pandangan mereka mengenai sesuatu hal
11) Menghormati sahabat-sahabat mereka
12) Tidak berlebih-lebih dalam memuliakan isteri (khusus bagi yang bergelar suami)
13) Memperbanyakkan doa kepada merekaWahai anak, rebutlah kesempatan yang masih Allah berikan pada kita hari ini.
Hargailah mereka, sayangi mereka dan mohonlah ampun maaf atas segala salah silap kita selama ini. Semoga dengan doa dan restu mereka, nescaya tergolonglah kita di dalam golongan insan yang berbahagia dan berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak. Kerna sesungguhnya, redha Allah swt itu datangnya jua daripada redha ayah dan ibu.Abdullah bin Amru berkata, Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).
‘Ya Allah,ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku.. Rahmatilah mereka sepertimana mereka telah mengasihiku sejak kecil..’ Amin..
(sumber: azlinahabdulghani.blogspot)
No comments:
Post a Comment