Kasih Sayang & Perpaduan Sesama Manusia


Jika kasih sayang sudah tidak wujud di kalangan manusia, perpaduan tidak akan berlaku. Kalau kasih sayang sudah hilang, bekerjasama jika berlaku adalah secara terpaksa dan pura-pura. Manakala kasih sayang sudah gersang, peri kemanusiaan pun hilang. Jika kasih sayang sudah tidak ada, yang miskin papa tidak akan terbela. Bertimbang rasa sesama manusia pun tidak akan ada. Orang yang susah akan terbiar di dalam penderitaan. Jikalau kasih sayang sudah hilang, orang yang teraniaya tidak akan ada orang yang membela. Penzalim-penzalim bermaharajalela tidak siapa yang akan menghalang. Bila kasih sayang hilang mudah sahaja terjadi perbalahan dan permusuhan. Mudah sahaja berlaku pergaduhan dan perkelahian di kalangan manusia. Apabila kasih sayang hilang maaf-bermaafan payah berlaku di dalam pergaulan. Masing-masing individu-individu prejudis satu sama lain. Kalau begitu di manalah kebahagiaan dan keharmonian. Sudah tentu kebahagiaan dan keharmonian hilang. Hiduplah manusia di dalam ketakutan dan kebimbangan. Jiwa manusia tidak tenang, fikiran berserabut dan kusut. Barulah kita sedar kasih sayang adalah anak kunci segala kebaikan. Kasih sayang tidak akan wujud jika setiap insan tidak mencintai Tuhan. Cintakan Tuhan rahsia kasih sayang sesama manusia. Kalau inginkan perpaduan, berjuanglah untuk menanamkan rasa cinta dengan atau kepada Tuhan. Secara automatis akan berlaku kasih sayang sesama manusia. Di sini kita faham, perpaduan bukan boleh berlaku sekadar slogan-slogan. Lebih-lebih lagi perpaduan tidak akan wujud dengan diakta dan diundang-undangkan. Kerana perpaduan adalah bersifat kejiwaan. Kalau jiwa kasih sayangnya sudah hilang bagaimana mungkin lahir perpaduan?
Satu tandatanya masyarakat yang perlu dijawab ialah mengapa boleh terjadi perubahan kasih? Yakni asalnya kasih, kemudiannya tidak kasih lagi. Kasih murni antara anak-anak dan ibu bapa, yang timbul sejak dalam rahim lagi, mengapa boleh berubah bila anak sudah besar? Hingga terjadilah sikap derhaka anak-anak dan ketegangan dalam rumahtangga atau keluarga. Mengapa pula pasangan suami isteri yang sebelum kahwin lagi sudah bercinta-cintaan tetapi bila kahwin akhirnya bercerai-berai? Mengapa manusia yang sepatutnya saling berkasih sayang tetapi tidak dapat memelihara dan mengekalkan kasih tersebut? Lunturnya kasih boleh berlaku dengan berhagai-bagai sebab. Lain jenis kasih sayang, lainlah sebab berubahnya atau lunturnya kasih dan lain pulalah cara-cara untuk mengembalikan kasih sayang itu.


Untuk kita lihat sebab-sebab kasih itu pudar dan hilang: 
1. Kasih tabi’i yang berakar umbi dalam hati orangorang yang ada hubungan darah atau keturunan. Kasih jenis ini memang payah untuk dicabut dari hati, tetapi ia boleh lekang juga bilamana:
a. Terjadi perlakuan yang terlalu kejam dari mana-mana pihak atau kedua-dua pihak. Dengan kata lain, bilamana masing-masing tidak saling jaga-menjaga atau tidak hormat-menghormati, maka tawarlah hati masing-masing. Kalau ini sering terjadi, rasa marah dan tersinggung akan melunturkan atau menutup kasih tabi’i yang murni itu.
b. Anak-anak tidak kenal orang tua kerana sejak kecil dipisahkan atau selalu terpisah-pisah hingga tidak kenalmengenal, lalu benih kasih tabi’i mati sebelum sempat subur. Kalau dewasa baru dikenalkan semula kepada ibu bapanya, kasih tabi’i sudah tidak boleh hidup lagi. Yang tinggal hanya yakin dan rasa simpati sahaja.
2. Kasih murni aradhi (mendatang) yang tumbuh kerana terpaut pada pengaruh jasa, akhlak, kebolehan dan keistimewaan yang ada pada manusia, juga boleh hilang bilamana orang yang dikasihi itu:
a. mengungkit-ungkit jasa. Misalnya, guru-guru mengungkit pengorbanannya atau pemimpin mengungkitungkitkan jasanya pada rakyat dan lain-lain lagi.
b. sombong dan membesar diri kerana merasa dirinya bijak, alim atau istimewa. Ringkasnya, faktor hilang kasih ialah kerana orang yang dikasihi tidak berakhlak lagi.
3. Kasih nafsu hilang bilamana daya tarikan nafsu sudah tiada. Datanglah jemu untuk hidup bersama. Ditambah pula dengan perangai masing-masing yang menyakitkan. Maka tidak pelik kalau hari ini ramai suami isteri muda bercerai-berai. Kasih mereka yang marak menyala sebelum kahwin itu sebenarnya kasih nafsu. Kasih yang berkepentingan. Ia sangat lemah, tidak tahan diuji dan mudah sekali luntur. Begitu juga kasih orang-orang politik atau ahli-ahli perniagaan. Semuanya amat rapuh ikatannya kerana mempunyai kepentingan. Masing-masing kurang jujur, tidak mementingkan perasaan kawan dan sanggup menipu. Sebab itu pecah-belah mudah berlaku. Kasih sayang umpama

embun yang lesap ditelan panas matahari. 
Daripada huraian di atas, nampaknya kasih murni lebih kukuh dan tahan uji. Kasih nafsu sangat longgar dan mudah hilang. Sebab itu kita jangan membiarkan diri terikat kepada kasih nafsu semata-mata. Kita mesti usahakan agar kasih kita lebih suci dan murni Kalau tidak, kita akan kecewa. Kasih nafsu yang halal tidaklah salah tetapi kalau tidak disokong oleh kasih murni, ia. mudah hilang. Pengikat atau penyokong kasih supaya tidak putus ialah faktor akhlak. Sebab itu kasih sayang hanya terpelihara bilamana manusia boleh berakhlak atau berperangai baik. Untuk dapatkan akhlak yang baik, perlu pada belajar. Akhlak tidak datang sendiri. Mesti diusahakan. Sepertimana kalau kita hendak pakai baju cantik, kita kena usahakan membelinya dengan harga yang mahal. Begitulah juga untuk menghias diri dengan akhlak baik, kita mesti perjuangkan dengan sungguh-sungguh melalui tarbiah dan pimpinan yang baik.
[sumber: usahataqwa.com]

No comments:

Post a Comment