Setiap makhluk diciptakan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga Allah s.w.t. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu Islam menggalakkan umat dari agama Islam mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi s.a.w merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke Syurga. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi s.a.w dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak.Persoalannya adalah bagaimana seorang Muslim dapat mengenalpasti ciri Muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.
Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara pendekatan yang dapat dilaksanakan :
1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku Muslimah dalam kehidupan harian.Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu :
a. Ibadah yang khusyu’
b. Berpakaian menutup aurat yang sempurna.(menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan).
c. Cara percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).
d. Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya).
e. Bergaul dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah.
Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan kepada siapa yang mengenalinya. Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh Muslimah itu, bahawa ia sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya jadi tak natural (bersahaja).
2. Melihat keadaan rumah tangga keluarga wanita.
Hal ini adalah dibolehkan, semasa bertunang. Ia dapat dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama.
3. Penglibatan dalam Dakwah Islam
Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam.Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak.Sekiranya ibu bapa kita tergolong dalam golongan yang tidak menjadikan nilai agama sebagai tunggak dalam perjodohan anaknya maka adalah wajar mendapatkan bantuan mereka yang membimbing dalam pendidikan Islamnya sebagai orang tengah. Melalui kaedah ini adalah lebih baik dan terpelihara dari unsur kerosakan akhlak seperti percintaan sebelum pernikahan yang mendekati zina (bertemu janji berdua-duaan sebelum pernikahan).
Menurut al-Qur’an, wanita ideal mempunyai kriteria adalah seperti berikut :Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
“… Wanita yang baik (solehah) adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah An-Nisa’ ayat 34)
Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah s.w.t. tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata ‘kita kawin dulu, nanti kita tarbiyyah kemudian’. Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidak ada masa untuk mendidik isteri, dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga Muslim kecundang ditengah jalan. Oleh itu pemilihan berdasarkan agama (wanita solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau kerjayanya.
Setiap wanita pula perlulah mempersiapkan diri mereka untuk menjadi wanita solehah samaada yang belum berkahwin atau yang telah bersuami. Kerana sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Di akhirat nanti wanita yang solehah di dunia ini apabila ia dimasukkan ke dalam Syurga, kedudukannya lebih cantik dan mulia daripada bidadari Syurga. Seandainya kedua-duanya suami dan isteri yang soleh dan solehah, andainya mereka dapat memasuki Syurga mereka akan di nikahkan semula oleh Allah s.w.t. di Syurga dan ini adalah kenikmatan yang tidak ada tolok bandingnya.
[sumber: penpatah.blogspot.com]
No comments:
Post a Comment