Pemikiran siyasah syar’iyyah Hasan al-Banna tentang bentuk dan sistem pemerintah banyak diambil oleh para intelektual Islam dan aktivis Islam di seluruh dunia. Sebagai satu konsep yang sudah menjadi wacana intelektual yang sudah mapan, gagasan Hasan al-Banna tentang sistem pemerintahan sebenarnya bukan wacana baru lagi dalam dunia Islam.Namun demikian, disebabkan oleh kesungguhan dan semangat Hasan al-Banna dalam merealisasikan pemerintahan dan negara Islam sehingga sanggup dirinya menjadi martir dalam usaha mewujudkan idealisme itu, maka beliau banyak dijadikan inspirasi oleh kalangan Islamis dan menjadi ikon kepada perjuangan menegak dan memartabatkan Islam. Dimensi ini yang menjadi elemen pembeza dengan pemikiran-pemikiran lain yang dikemukakan oleh para pemikir Islam lain.
Pengaruh Hasan al Banna dalam Pelaksanaan Islam di Malaysia
Secara keseluruhannya, pemikiran siyasah syar’iyyah Hasan al-Banna mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam menilai dan melihat pelaksanaan Islam di Malaysia. Pengaruh yang cukup menonjol adalah wujudnya satu keyakinan bahawa Islam adalah bahagian yang inheren dalam percaturan politik negara. Kuasa politik harus dipegang oleh umat Islam. Islam menjadi unsur penentu kepada unsur-unsur yang lain. Oleh itu, secara hakiki, terdapat beberapa titik persamaan dan kesesuaian di antara teori dan gagasan Hasan al-Banna dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.
Ini termasuk lah pendekatan kerajaan yang berusaha mengislamisasikan institusi kerajaan, masyarakat dan rakyat menerusi dasar-dasar kerajaan yang menyerlahkan kepentingan Islam sebagai keutamaan. Penegasan Hasan al-Banna yang berpendapat bahawa sesebuah negara dapat disebut negara Islam sekiranya negara berkenaan tidak bertentangan dengan prinsip syariah dan menerapkannya dapat dilihat secara nyata di Malaysia dalam berbagai bidang seperti dalam perlembagaan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan politik.Di dalam perlembagaan, secara tegas dinyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi negara sebagaimana yang berlaku di Mesir yang mengisytiharkan kedudukan yang sama. Peruntukan perlembagaan yang jelas dan tegas ini membolehkan kerajaan membentuk beberapa jabatan dan institusi pemerintahan yang secara khusus mengakomodasi kepentingan dan keperluan umat Islam. Meskipun Malaysia adalah negara yang terdiri daripada strukur masyarakat dan agama yang pelbagai, namun perkara itu tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama yang istimewa dan pada masa yang sama menghormati agama-agama lain dengan memberi kebebasan mereka beribadah dan menjalankan keyakinan masing-masing.Dalam bidang undang-undang dan mahkamah misalnya, kerajaan telah mengasaskan mahkamah syari’ah beserta undang-undang, enakmen dan peraturan-peratuan yang mengatur secara khusus kedudukan umat Islam. Selaras dengan matlamat meninggikan martabat Islam, kedudukan mahkamah syariah sudah berdiri sejajar dengan mahkamah sivil sejak 1988. Menerusi pindaan Perlembagaan perkara 121, kuasa dan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.Dalam bidang mualamat, kerajaan telah menubuhkan institusi kewangan yang berdasarkan kepada sistem Islam. Penubuhan Bank Islam pada 1 Julai 1983, diikuti oleh munculnya sistem mualamat yang lain seperti insurans (takaful), gadai (arrahn), sijil halal dan produk-produk ekonomi yang lain menjadikan Malaysia kini dikenali sebagai role model oleh negara-negara Islam yang lain. Hari ini kita dapat menyaksikan kejayaan sistem ekonomi dan perbankan Islam menjadi faktor utama kepada bank konvensional menubuhkan sistem tersendiri di dalam bank mereka yang berasaskan kepada aturan dan prinsip Islam.[1]
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada era pentadbirannya menunjukkan asas-asas Islam menjadi unsur penting dalam wilayah pentadbiran. Nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, cekap, amanah, jujur, adil, bersih dan efesien yang ditekankan dalam dasar itu merupakan manifestasi daripada prinsip syariah sebagaimana yang disyaratkan Hasan al-Banna dalam konsep siyasah syar’iyyahnya.Dimensi substansi syariah Islam juga dapat dilihat menerusi pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Badawi pada era legasi beliau. Prinsip-prinsip Islam Hadhari yang terdiri daripada sepuluh prinsip itu menepati kehendak yang diinginkan maqashid syariah. Sebagai satu pendekatan yang mengidealkan terciptanya masyarakat, bangsa dan negara yang bertamadun tinggi berdasarkan prinsip Islam, Islam Hadhari menyerlahkan dimensi Islam dalam segenap gerak kerja dan program kerajaan dalam mendepani zaman moden yang semakin mencabar.
Dalam bidang pendidikan, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 1983, menjadi pertanda kepada terwujudnya sistem pendidikan yang berpaksi kepada perspektif Islam sebagai teras utamanya. Ia sekaligus menepati objektif kerajaan yang menghendaki UIA sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa. Kewujudan UIA sekaligus menjadi bukti nyata bahawa masalah pendidikan tinggi merupakan masalah yang mustahak yang menjadi keperluan asas kepada seluruh rakyat dan umat Islam di Malaysia. Ketersediaan pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan sebagaimana yang digariskan Hasan al-Banna dalam merumuskan beberapa tanggungjawab asas satu pemerintahan.
Pada peringkat yang lebih rendah, kerajaan juga telah menggubal Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang menjadi tunjang kepada pendidikan pra universiti. Kurikulum baru ini dilihat sebagai pengislaman kurikulum sekolah memandangkan banyak pelajaran agama yang diajarkan. Dibuka juga Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang mencecah 40 buah dan kelas-kelas aliran agama diperkenalkan di lebih 200 buah sekolah Menengah Kebangsaan di seluruh negara. Perkembangan pendidikan Islam semakin rancak dengan lahirnya beberapa universiti-universiti dan kolej-kolej Islam yang diasaskan oleh pihak swasta dan beberapa kerajaan negeri yang disokong penuh oleh kerajaan pusat.
Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanifestasikan asas-asas siyasah syariyyah yang dikemukakan Hasan al-Banna. Menurut Hasan al-Banna, prinsip-prinsip utama yang menjadi teras kepada sistem pemerintahan Islam mesti lah terdiri daripada tiga prasyarat yang wajib dipenuhi kerajaan.
Pertama, tanggungjawab kerajaan (masuliyyah al hakim). Dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin, ketua kerajaan harus bertanggung jawab kepada Allah dan rakyatnya. Pemerintah adalah pelayan dan pekerja bagi rakyat yang menjadi tuannya.
Kedua, kesatuan umat (wahdah al-ummah). Umat Islam adalah umat yang satu karena ukhuwah adalah salah satu tunjang iman. Bagi umat Islam, tidak ada perbezaan dalam hal-hal prinsip sementara perbezaan dalam hal-hal furu’ (cabang) tidak membahayakan persatuan umat.
Ketiga, menghormati aspirasi umat (ihtiram iradati al ummah). Kewajiban pemerintah adalah bermusyawarah dengan rakyat, menghargai aspirasinya dan mengambil masukan dan gagasan yang baik.[2]
Gagasan 1Malaysia yang menekankan dimensi satu persatuan ummah dan satu bangsa tanpa mengira kaum dan agama di bawah satu payung kebangsaan yang sama, telah menepati prasyarat yang dikemukakan Hasan al-Banna terutama dalam konteks persatuan umat. Rakyat berbilang agama dan kaum digesa bersatu tanpa mempersoalkan latar belakang masing-masing bagi menjayakan program transformasi yang dicanangkan kerajaan. Persatuan rakyat akan mengukuhkan semangat dan jiwa rakyat bagi membangun negara selari dengan visi wawasan 2020 yang akan membawa Malaysia sebagai negara berstatus maju. Perpecahan dan saling bercakaran di kalangan rakyat khasnya umat Islam disebabkan egoisme perbezaan fahaman politik, hanya akan membantutkan agenda pembangunan dan kejayaan negara. Pergaduhan ini juga akan melemahkan kesatuan ummah yang sepatutnya bersatu padu dalam satu kumpulan bagi mempastikan negara berdaya saing kepada negara yang sudah maju sekaligus menjadi peneraju dan model kepada negara Islam yang lain.
Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dicanangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan manifestasi tanggungjawab kerajaan yang telah digariskan Hasan al-Banna. Cogan kata ini menjadi tagline kerajaan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab kerajaan bagi mempastikan kebajikan dan kemakmuran rakyat. Mendengar dan menyerap aspirasi rakyat sebagaimana yang dicontohkan Perdana Menteri menerusi program turun padang secara langsung bertemu rakyat. Perkara ini amat ditekankan oleh Hasan al-Banna agar seorang pemimpin boleh mendengar dan melihat secara langsung apa yang menjadi hajat dan kehendak majoriti rakyat. Prasyarat dan garis panduan ini menjadi elemen terpenting kepada tertegaknya kerajaan dan negara yang berpegang kepada prinsip dan syariah Islam sebagaimana yang dikemukakan di dalam pemikiran Hasan al-Banna tentang siyasah syar’iyyah.
KESIMPULAN
Kesemua dasar dan pendekatan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan ini menunjukkan kepimpinan negara menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip syariah Islam bagi diterapkan dalam wilayah pemerintahan dan negara. Tidak diragukan lagi, secara umumnya kerajaan telah menepati ciri-ciri yang telah digariskan oleh Hasan al-Banna dalam pemikiran siyasah syar’iyyahnya. Kedudukan yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan ketua agama persekutuan dapat diqiyaskan sebagai khalifah yang mempunyai fungsi dan peranan dalam mensyiarkan dan memartabatkan Islam di dalam persada bangsa dan negara. Perluasan dan pelaksanaan penerapan syariah Islam di semua peringkat semakin mantap dan kukuh dengan peranan dan fungsi Perdana Menteri sebagai pelaksana eksekutif (tanfidz) yang dibantu menteri-menteri khasnya menteri hal ehwal agama. Ditambah lagi dengan kedudukan dan kuasa yang ada pada jabatan agama Islam peringkat negeri di seluruh negara, maka sudah pasti pelaksanaan syariah Islam semakin menyeluruh dan menyentuh ke semua lapisan masyarakat Islam di seluruh negara. Perkara ini tentu sahaja menjadi elemen pembeza yang signifikan dibandingkan dengan sistem dan konsep pemerintahan yang sekular yang meminggirkan prinsip syariah dan tidak memberi ruang kepada syariah untuk diterapkan pada mana-mana bahagian dalam kehidupan rakyat, masyarakat dan negara.
----------------------------------
RUJUKAN:
[1] Pada awal tahun 1993, sebanyak 21 produk bank Islam telah berjaya diwujudkan, antaranya adalah al-wadiah, al-mudharabah, al-musyarakah, al-murabahah, al-bai bithaman ajil, baiul salam, al ijarah, al-bai al-ta’jiri, al-wakalah, al-rahn, al-qardhul hasan, dan al-kafalah. Pada penghujung tahun 1993, sistem perbankan Islam di Malaysia telah mengandungi sebuah bank Islam dan 20 buah institusi kewangan konvensional yang terdiri dari 10 buah bank perdagangan, lapan buah syarikat kewangan dan dua syarikat saudagar yang menawarkan perkhidmatan dan produk berdasarkan prinsip Islam. JAKIM, Pembangunan Islam di Malaysia, laman sesawang, http://www.islam.gov.my/e-rujukan/islammas.html.
[2] Hasan Al-Banna, op.cit, hal: 318-319.
oleh: Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir
(sumber: wasatiyyah.my)
No comments:
Post a Comment