Cintai Dia Yang Mencintai

Memang Benar, fitrah manusia itu sentiasa ingin disayangi dan dicintai. Ramai antara kita sanggup mengembara jauh semata-mata untuk meraih cinta sang kekasih. Katanya, “Inilah kebahagiaan yang aku cari selama ini”. Namun, lama-kelamaan, bila waktu makin jauh berjalan, tiba-tiba hati rasa sunyi. Seperti ada sesuatu yang tak kena. Lalu, sepasang kekasih bertungkus lumus untuk memperbaiki hubungan cinta mereka. Ya, keadaan semakin pulih. Tapi masih ada kekosongan dalam hati yang minta diisi. Tiba-tiba jiwa berasa haus!
Sahabat, mungkinkah kita dapat merasai cinta seorang kekasih tanpa mencintai pemilik cinta itu sendiri?
Mungkinkah kita dapat meraih kebahagiaan tanpa mengenal pencipta kebahagiaan itu sendiri?
Mungkinkah kita akan hidup dalam kegembiraan tanpa mengasihi pengatur kegembiraan itu sendiri?
Dan mungkinkah kita akan terus berlari teguh tanpa Allah yang menggerakkan tangan dan kaki? Carilah sejuta alasan pun, jawapannya tetap tidak mungkin!
Lihatlah bagaimana pengakhiran kebanyakan selebriti luar negara. Di dunia mereka disemai dengan sanjungan peminat, dihujani dengan harta yang berjuta, dibanjiri dengan lautan kemewahan. Tetapi pada akhirnya, ada yang membunuh diri. Pokoknya mereka tidak merasakan kebahagiaan yang sejati.
Di manakah Allah s.w.t di hati mereka? Tidak pernah wujud. Untuk kita yang beragama Islam, patutkah kita juga menafikan kewujudan Allah s.w.t di hati kita, sedangkan Allah s.w.t itulah sebenarnya pemilik hati? Selama berpuluh tahun kita hidup di dunia ini dengan segala macam nikmat yang Allah beri, takkan cinta Allah kita tolak tepi? Sayangnya, kita sangka kita dah cukup bahagia tapi sedarlah, jika kita tidak mencintai Allah sekarang, kita sedang hidup dalam kerugian yang paling dasyat.
Manusia tidak kira lelaki atau wanita, inginkan seorang pasangan yang penyayang, penyabar, bijaksana, sentiasa melindungi, lemah-lembut, pemaaf, boleh diharap dan pelbagai lagi sifat yang baik. Ciri-ciri inilah yang dicari dalam diri setiap pasangan agar rumahtangga yang dibina nanti akan sentiasa aman dan bahagia. Saya begitu, anda juga begitu. Oh sebentar! Mari kita renungi sifat-sifat dibawah ini.

Ar-Rahim = Yang Maha Mengasihani
As-Sobur = Yang Maha Penyabar
Al-Hakim = Yang Maha Bijaksana
Al-Waliyyu = Yang Maha Pelindung
Al-Halim = Yang Maha Lemah Lembut/Penyabar
Al-‘Afuww = Yang Maha Pemaaf
Al- Somadu = Yang Maha Diharapkan/Diperlukan

Ya, inilah Asma’ul Husna. Lantas, tanya pada hati kita yang paling dalam, siapa sebenarnya yang kita cari? Siapa sebenarnya yang kita inginkan? Bukankah semua ciri-ciri yang kita mahukan ada pada Dia? Lalu jawab, apa sebenarnya yang kita mahukan? Cinta Allah atau cinta manusia?
Fitrah kita inginkan Allah!
Sahabat, ketika kita sibuk mencari cinta abadi daripada seorang yang bernama kekasih, kita lupa pada Allah yang tidak pernah sesaat pun berhenti mencintai hamba-hambaNya. Marilah kita mendidik jiwa kita agar mencintai sang pemilik cinta terlebih dahulu kerana tanpa cintaNya tidak mungkin wujud definisi cinta terhadap manusia.
Marilah kita kembali pada cinta Allah. Ingatlah, Dia sentiasa menunggu kita! Semoga kita tidak meletakkan cinta kita pada yang lain melebihi Allah s.w.t. Jangan biarkan jiwa kita semakin haus, ayuh kita isikan kekosngan itu. InsyaAllah, semoga Allah redha.
[sumber: quranicgen.com ~ Farah Hani Azman]

No comments:

Post a Comment